PENGENALAN
Rakyat Malaysia amat istimewa jika dibandingkan dengan
rakyat negara-negara lain; kerana perjuangan mereka ke arah kemerdekaan telah
berjaya dilakukan tanpa pertumpahan darah, kemusnahan harta benda atau melibatkan
sebarang revolusi mahupun pemberontakan bersenjata. Kemerdekaan Tanah Melayu
telah dicapai kerana wujudnya suatu faktor yang tiada pada negara-negara lain
di dunia ini - kebersatuan yang kukuh di antara pelbagai kelompok etnik yang
menganuti pelbagai budaya, kepercayaan dan agama.
Kerjasama yang kukuh di antara kaum telah menjadi asas perjuangan kemerdekaan kerana masyarakat dunia, malah rakyat Tanah Melayu sendiri pada waktu itu tidak yakin negara ini boleh kekal aman dengan struktur masyarakat yang sebegini majmuk.
HASIL PEMBELAJARAN
1.
Menyatakan sebab-sebab dan
menghuraikan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union.
2.
Menyatakan kegiatan
subversif Parti Komunis Malaya dan langkah-langkah mengatasinya.
3.
Menghuraikan proses-proses
untuk mencapai kemerdekaan
5.1 MALAYAN UNION
5.1.1 LATAR BELAKANG
Penjajahan Jepun menyerah kalah pada
1945 dan dengan itu juga Perang Dunia II tamat.Tempoh di antara penyerahan
kuasa Jepun dan kedatangan semula British di Tanah Melayu telah memberi
kesempatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM) melalui Malayan Peoples Anti
Japanese Army (MPAJA) untuk mengambil alih kuasa pemerintahan di Tanah Melayu.
Sejarah menunjukkan bahawa PKM dapat
menguasai tanah Melayu selama 14 hari. Dalam
tempoh tersebut dan juga waktu selepas itu, anggota-anggotanya telah membuat
kekacauan dan huru-hara. British datang ke Tanah Melayu pada bulan September
1945. Untuk mengembalikan keamanan. Pentadbiran Tentera British (British
Military Administration – BMA) telah ditubuhkan.
Dalam keadaan huru hara pemerintahan
tentera dirasakan perlu. Sistem pentadbiran tentera tersebut tidak bertahan
lama. Berikutnya British telah mencadangkan sistem pentadbiran baru yang dinamakan
sebagai Malayan Union (Kesatuan Malaya). [1]
5.1.2 TUJUAN DIPERKENALKAN MALAYAN UNION
Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945
telah membentangkan satu kertas putih yang isinya adalah mengenai matlamat
British untuk mewujudkan satu sistem pentadbiran baru yang dikenali sebagai
Malayan Union.
Malayan Union yang dicadangkan merupakan
satu kesatuan negeri-negeri Melayu. Dalam pentadbiran ini negeri-negeri di
semenanjung yang tidak pernah lagi ditadbirkan sebagai satu kesatuan, dan
mempunyai cara pemerintahan tersendiri adalah ditadbirkan di bawah satu
kesatuan.
Tujuan utama diperkenalkan Malayan
Union ialah untuk mempastikan kepentingan British di Tanah Melayu terpelihara,
khususnya kepentingan ekonomi.[2]
Untuk tujuan ini tindakan menyeragamkan pentadbiran di bawah satu sistem (Malayan
Union) adalah perlu dengan sebab-sebab
tertentu iaitu:
i.
Melalui satu sistem pemerintahan, kos
pentadbiran negeri-negeri melayu dapat dijimatkan.
ii.
British juga pernah menyatakan kononnya
bahawa matlamat akhirnya ialah untuk memberikan kemerdekaan kepada negeri ini.
iii.
Selain daripada itu juga dikatakan bahawa
British segaja menubuhkan Malayan Union
kerana perasaan benci beberapa pegawai Inggeris terhadap orang Melayu yang
dikatakan menyokong Jepun semasa
penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
5.1.3 CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYAN UNION
a. Terdiri
daripada sembilan buah negeri Melayu,
Pulau Pinang dan Melaka.
b. Gabenor Inggeris merupakan ketua
pentadbir Malayan Union yang berpusat di
Kuala Lumpur, Gabenor dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis
Perundangan.
c. Raja-raja Melayu hanya berperanan sebagai
penasihat Gabenor, sedangakan kedaulatan mereka sebagai raja di negeri mereka
sendiri dihapuskan. Raja hanya berkuasa dalam soal agama Islam dan mengetuai
Majlis Penasihat Melayu.
d. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan
untuk tujuan mengurus kerajaan tempatan tetapi masih tertakluk kepada kawalan
pemerintahan pusat.
e. Malayan Union tidak melibatkan
Singapura, Singapura masih dikekalkan sebagai tanah jajahan di bawah kuasa
seorang Gabenor Jeneral British yang berkuasa ke atas Gabenor Malayan Union.
f.
Dari segi kerakyatan, ianya berdasarkan
prinsip jus soli. Melalui prinsip ini kerakyatan Tanah Melayu diperolehi
sekiranya:
i. Orang asing yang berumur 18 tahun ke atas dan telah
bermastautin di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15
tahun sebelum 15 Febuari.
ii. Seseorang itu dilahirkan di Tanah
Melayu selepas penubuhan Malayan Union
g. Hak warganegara yang sama rata bagi
semua orang tanpa mengira bangsa atau asal keturunan ini termasuk kemasukan ke
dalam perkhidmatan kerajaan dan hak mengundi
dalam pilihanraya umum.
5.1.4
IMPLIKASI PENUBUHAN MALAYAN UNION
Tentangan Orang
Melayu
Rancangan Malayan Union mendapat
bantahan. Mereka menyuarakan bantahan melalui pelbagai cara, antaranya melalui akhbar-akhbar
Melayu seperti Majlis, Utusan Melayu dan Warta Negara, menghantar surat
bantahan kepada kerajaan British di London.
Bantahan dilakukan secara teratur dan secara bersama melalui
persatuan-persatuan Melayu di peringkat negeri seperti mengadakan perarakan dan
tunjuk perasaan di seluruh Tanah Melayu.[3]
Pada 1 April 1946 Malayan Union
ditubuhkan secara rasmi dengan Sir
Edward Gent menjadi Gabenor Jeneral
yang pertama. Orang Melayu bertindak memulaukan upacara perlantikan Gabenor
Malayan Union dan semua majlis yang dianjurkan oleh kerajaan British. Sebagai
tanda bantahan, orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain
putih pada songkok.
Kongres Melayu Se Malaya Kedua di
Johor Bahru pada 11 Mei 1946 meluluskan pembentukan Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu (UMNO) yang diberi tugas untuk menyatukan orang Melayu bagi
menentang Malayan Union dan Dato’ Onn bin Jaafar di pilih menjadi yang dipertua UMNO yang pertama.[4]
Sebab-Sebab Penentangan
Antara sebab-sebab penentangan Malayan
Union ialah:
a.
Perlembagaan Malayan Union digubal tanpa
mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Raja-raja Melayu diberi
masa yang singkat untuk meneliti kandungan perjanjian Malayan Union. Mereka
tidak di beri peluang berbincang dengan para pembesar atau Majlis Mesyuarat
Negeri masing-masing.
b.
Persetujuan raja-raja Melayu kepada Malayan
Union dianggap tidak sah kerana tidak mematuhi perlembagaan negeri-negeri
Melayu yang memerlukan raja berunding dengan para pembesar terlebih dahulu
sebelum menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa asing.[5]
c.
Sir Harold Mac Micheal menggunakan ugutan
untuk menyingkirkan mana-mana raja yang tidak bersetuju dengan rancangan
Malayan Union. Beliau juga bersikap biadap, tidak mengetahui adat resam dan
memahami bahasa Melayu serta tiada pengalaman langsung tentang Tanah Melayu.
d.
Malayan Union menghapuskan kedaulatan dan kuasa
politik raja-raja Melayu. Kuasa raja-raja hanya terbatas kepada hal-ehwal agama
Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Kehilangan kedaulatan dan kuasa politik bermakna
raja-raja tidak lagi dapat melindungi hak dan kepentingan orang Melayu. Sebelum ini raja merupakan orang yang paling tinggi dalam struktur sosial
masyarakat Melayu tradisional. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengatasi raja.
Seseorang raja yang memerintah merupakan seorang pemimpin yang ditaati,
dihormati dan disegani.
e.
Malayan Union menawarkan syarat-syarat
kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu. Penerimaan kaum bukan Melayu
menjadi warganegara boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu. Terutama
apabila kesetiaan kaum bukan Melalyu kepada Tanah Melayu masih lagi diragui.
f.
Persamaan hak kepada semua rakyat di Tanah
Melayu tanpa mengira kaum dianggap mengancam hak dan kedudukan istimewa orang Melayu.
Sebagai penduduk peribumi di Tanah Melayu, orang Melayu berasakan bahawa mereka
perlu menikmati hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan kaum lain.
5.1.5 PENUBUHAN PARTI POLITIK
Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
·
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh Dato’
Onn Jaafar. Beliau merupakan presiden pertama UMNO. Beliau memegang jawatan ini
sehingga tahun 1951.
·
Matlamat jangka pendek penubuhan parti ini
ialah penentangan terhadap Malayan Union. Untuk menyatupadukan orang Melayu dan
mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dalam penentangan Malayan Union
ini.
·
Anggota ini parti ini berpegang kepada cogan
kata ‘Hidup Melayu’.
·
Pada tahun 1948, UMNO dijadikan sebagai
sebuah parti politik[6].
All
- Malaya Council Of Joint Action – (AMCJA)
·
Pada 22 Disember 1946 kaum-kaum bukan Melayu
menubuhkan Majlis Tindakan Bersama Tanah Melayu (AMCJA) bertujuan menentang
perlembagaan baru yang telah dicadangkan.
·
Komponen AMCJA ialah Kongres India Malaya
(MIC), Malayan People’s Anti Japanese Ex – Services Comrades Association dan Pan Malayan Federation of Trade Unions.
·
AMCJA diketuai oleh Tan Cheng Lock.
Perjuangan AMCJA adalah atas tiga prinsip iaitu:
i.
Penyatuan seluruh Tanah Melayu (termasuk
Singapura)
ii.
Pemerintahan sendiri melalui sebuah Badan
Perundangan Pusat dengan ahli-ahli dipilih oleh rakyat.
iii.
Hak-hak kerakyatan yang sama bagi semua orang
yang menganggap Tanah Melayu sebagai air dan tumpuan taat setia.[7]
·
Ternyata di sini bahawa prinsip yang dikemukakan
oleh AMCJA bercanggah dengan apa yang dikemukan oleh UMNO dan raja-raja Melayu.
AMCJA menolak cadangan perlembagaan yang
telah dikemukakan oleh raja Melayu dan UMNO
Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)
·
Merupakan
parti orang Melayu yang dianggap berhaluan kiri (radikal).[8]
·
Putera adalah gabungan parti-parti berhaluan
kiri iaitu Angaktan Pemuda Insaf (API) pimpinan
Dr Boestamam, Parti Kebangsaan Melayu Malaya
·
(PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi, dan
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh.
·
PUTERA telah memperjuangkan empat prinsip
iaitu:
i.
Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi
Negara.
ii.
Hal-ehwal luar dan pertahanan menjadi
tanggungjawab bersama Kerajaan Tanah Melayu dan British.
iii.
Perkataan “ Melayu hendaklah digunakan sebagai nama kerakyatan
atau kewarganegaraan Tanah Melayu.
iv.
Bendera Kebangsaan hendaklah mengandungi
warna-warna kebangsaan Melayu.
·
Prinsip perjuangan PUTERA nampaknya berbeza
dengan prinsip perjuangan AMCJA. Walau bagaimanapun kedua-dua kesatuan
bersepakat akhirnya.
·
AMCJA – PUTERA menyifatkan Jawatankuasa
Perundingan yang ditubuhkan oleh kerajaan British tidak mewakili kepentingan
kaum bukan Melayu. AMCJA –PUTERA menyerahkan satu cadangan perlembagaan Tanah
Melayu yang mengandungi 10 perkara, tetapi ditolak oleh kerajaan British kerana
dianggap terlalu radikal[9].
5.1.6 PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Akibat bantahan hebat orang Melayu,
Kerajaan British telah membatalkan rancangan Malayan Union. British sedar
bahawa tanpa sokongan orang Melayu, usaha mereka menubuhkan satu sistem pemerintahan baru di
Tanah Melayu tidak akan berjaya. Maka pada Julai 1946 kerajaan British telah
membentuk satu Jawatankuasa Kerja untuk menggubal perlembagaan baru mengantikan
Malayan Union. Jawatankuasa itu dianggotai oleh empat orang wakil raja-raja
Melayu, dua wakil UMNO dan enam orang pegawai kanan British. Perkara-perkara
yang dicadangkan ialah:
i.
Pemulihan kedudukan raja-raja Melayu dengan
kedaultan mereka dikembalikan.
ii.
Penubuhan Dewan Undangan Negeri bagi setiap
negeri di Tanah Melayu
iii.
Syarat-syarat kewarganegaraan yang lebih
ketat bagi kaum bukan Melayu
iv.
Jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dalam
perlembagaan[10]
Rangka Cadangan Perlembagaan Tanah
Melayu ini telah mendapat bantahan daripada kaum bukan Melayu melalui AMCJA. Manakala
pertubuhan politik Melayu yang tidak sealiran dengan UMNO iaitu PUTERA turut
sama menentang rangka perlembagaan
5.1.7
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
1948
Pada bulan Januari
1948, kerajaan British menerima cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Perlembagaan ini dipersetujui dan ditandatangani oleh sembilan orang raja
Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British pada 21 Januari 1948, dan berkuatkuasa
mulai 1 Febuari 1948.
Ciri-Ciri
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948
a.
Mengandungi sembilan buah negeri Melayu dan
dua buah Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Singapura
dikekalkan sebgai sebuah tanah jajahan British yang berasingan.
b.
Di Ketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British
dengan dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Undangan
Persekutuan
c.
Penubuhan Majlis Raja-raja Melayu yang
ditugaskan untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi British dan Majlis Mesyuarat
Kerja Negeri di peringkat negeri yang fungsinya sama seperti Majlis Mesyuarat
Kerja Persekutuan.
d.
Jawatan Menteri Besar diwujud bagi
menggantikan jawatan Residen British dan kuasa kerjaan negeri pula ditambah
termasuk kewangan, kerajaan tempatan dan kesihatan.
e.
Pemberian kerakyatan kepada orang asing
menetap di Tanah Melayu setelah Perlembagaan tahun 1984 dikuatkuasakan, mereka
yang dianggap sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu ialah:
i.
Semua rakyat raja di sebuah negeri Melayu
ii.
Rakyat British yang dilahirkan di Pulau
Pinang dan Melaka serta menetap selama 15 tahun berturut-turut di mana-mana
negeri dalam Persekutuan
iii.
Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan
yang bapanya sendiri dilahirkan di Persekutuan atau telah menetap selama 15
tahun berturut-turut.
iv.
Mereka yang dilahirkan dalam Persekutuan dan
bertutur dalam bahasa Melayu dan
mengamalkan adat istiadat Melayu.
v.
Mereka yang dilahirkan di Persekutuan dan ibu
bapanya juga dilahirkan di Persekutuan dan menetap selama 15 tahun berturut-turut.
f.
Penduduk lain layak memohon menjadi
warganegara dengan syarat-syarat berikut:
i.
Dilahirkan di Persekutuan dan menetap selama
lapan tahun dari tempoh 12 tahun atau menetap selama 15 tahun daripada 20 tahun
sebelum permohonan itu dibuat.
ii.
Pemohon mesti berkelakuan baik, mempunyai pengetahuan
dalam bahasa Melayu atau Inggeris dan mesti berumur tidak kurang dari 18 tahun[11].
Kesan Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu
a.
Kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu serta
kedudukan istimewa orang Melayu dipulihkan.
Jawatan Residen British digantikan
dengan jawatan Menteri Besar
b.
Orang Melayu
membuat pengorbanan besar dengan memberi kerakyatan kepada kaum
imigran. Ini bermakna kaum imigran kini
boleh menikmati hak yang sama dengan orang Melayu dan mengambil bahagian dalam
pemerintahan Negara.
c.
Orang Melayu berharap pengorbanan yang besar ini dibalas oleh pohak kerajaan
melalui usaha meninggikan taraf hidup mereka melalui peruntukan ‘kedudukan istimewa’
dalam perlembagaan, tetapi ini tidak dilakukan oleh kerajaan British
d.
Kaum bukan Melayu, terutama orang cina
menentang penubuhan Persekutuan kerana Singapura tidak dimasukkan ke dalam
Persekutuan mereka juga membantah pemberian taraf ‘kedudukan Istimewa’ kepada
orang Melayu dalam perlembagaan.
e.
Penentangan paling hebat dilakukan oleh Parti
Komunis Malaya (PKM) dan lain-lain pertubuhan sayap kiri. PKM berusaha merampas kuasa secara kekerasan
sehingga mengakibatkan darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu pada bulan
Jun 1946[12].
f.
Kejayaan
besar PKM ialah peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah
Melayu, Sir Henry Gurney dalam satu
serangan hendap yang dilakukan di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.
g.
Kejayaan PKM tidak berpanjangan akibat
langkah-langkah kerajaan menambahkan bilangan anggota pasukan keselamatan,
kedudukan PKM semakin lemah dan jumlah anggotannya semakin merosot
5.2 ANCAMAN
KOMUNIS
5.2.1
PARTI KOMUNIS MALAYA
Matlamat komunis di
Tanah Melayu ialah untuk menubuhkan sebuah negara Komunis. Ideologi komunis ini
mula disebarkan di Tanah Melayu pada 1930an dan semakin berkembang pada tahun
1941 hingga 1945 akibat perasaan anti Jepun.[13]
Walaupun British bekerjasama dengan MPAJA dan PKM semasa pendudukan Jepun
tetapi selepas tahun 1945 pihak British enggan menerima PKM. Sejak itu bermulalah
penentangan PKM terhadap kerajaan British di Tanah Melayu
5.2.2 PERKEMBANGAN SEBELUM DARURAT
Sebelum tahun 1937
sambutan orang Cina kepada PKM tidak begitu menggalakkan,namun selepas
kekalahan Negara China dalam perang China - Jepun. PKM berjaya mempengaruhi
perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu untuk menyokong
perjuangan mereka. Dasar PKM bekerjasama dengan British semasa Perang Dunia
Kedua menjadikan pengaruhnya semakin meluas. Kerjasama dengan British melalui
Force 136 memberi PKM peluang untuk meluaskan sokongan di kalangan orang awam.
Selepas Perang Dunia
Kedua beakhir dan sebelum British kembali semula ke Tanah Melayu. PKM dan MPAJA
keluar dari hutan dan mengambil alih pemerintahan selama tiga minggu. Dalam
tempoh itu, tentera komunis yang dipanggil Bintang Tiga bertindak kejam untuk
membalas dendam kepada penduduk tempatan yanag dituduh bersubahat atau
bekerjasama dengan tentera Jepun.
Setelah British
kembali semula memerintah, kerajaan British mengarahkan supaya MPAJA menyerahkan
semua senjata dan membubarkan pasukan gerila yang ditubuhkan semasa pendudukan
Jepun. Walaupun arahan itu dipatuhi, tetapi tidak semua senjata yang diserahkan
kerana sebahagian besar daripadanya dan bekalan makanan masih disembunyikan di
hutan. Tindakan MPAJA meletakkan senjata itu lebih merupakan satu langkah
simbolik untuk menggambarkan yang PKM berjuang atas landasan perlembagaan.
5.2.3 PENYUSUPAN
KE DALAM KESATUAN SEKERJA DAN PERGERAKAN
POLITIK
Selepas MPAJA dibubarkan, PKM memulakan kegiatan subversive
dengan menyusup masuk ke dalam kesatuan sekerja. PKM menerima sokongan kuat daripada sebuah
gabungan kesatuan sekerja yang dikenali sebagai Pan-Malayan Federation Of Trade
Unions (PMFTU). Melalui kesatuan sekerja PKM menganjurkan mogok di seluruh
Tanah Melayu[14]. Akibat tindakan mogok,
banyak kerja yang tergendala dan masa kerja terbuang begitu sahaja.
PKM juga menyusup masuk ke dalam
pergerakan politik. Menjadi tenaga penggerak
kepada usaha menyatukan golongan kiri melalui PUTERA – AMCJA untuk menentang Malayan Union. PUTERA mewakili parti politik orang Melayu yang berfahaman kiri dan AMCJA dikatakan mewakili kaum bukan Melayu. Kesemua
pertubuhan di bawah naungan PKM, kecuali
MIC diresapi atau bersimpati dengan komunis dan menjadi pertubuhan
barisan hadapan PKM.
Gabungan PUTERA – AMCJA mengemukakan
cadangan perlembagaan yang dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat pada tahun
1974. Cadangan itu di tolak oleh kerajaan British yang meneruskan usaha
menubuhkan Persekutuan Tanah melayu bagi menggantikan Malayan Union.
5.2.4 KEGIATAN SUBVERSIF PKM
PKM melancarkan serangan melalui
pasukan gerila yang diketuai Pegawai khas. Diperingkat pusat, pegawai ini
mengarahkan pegawai gerila daerah yang kemudian mengarahkan pegawai gerila di
peringkat negeri dan seterusnya di peringkat mukim.Setiap pasukan gerila
dibahagikan kepada unit-unit kecil untuk menjalankan kegiatan subversive[15]
Kumpulan gerila menjadi anggota utama dalam
pasukan bertindak PKM yang dikenali sebagai Malayan Races Liberation Army
(MRLA). Pasukan bertindak ini bertanggungjawab melakukan serangan bersenjata. MRLA
bekerjasama rapat dengan Min Yuen, iaitu orang awam Cina yang diarahkan untuk
mengumpulkan maklumat penting, menyediakan bekalan ubat, menyebarkan
risalah-risalah komunis, mencari bantuan kewangan dan mengambil rekrut-rekrut
baru.
Menjelang pengisytiharan darurat,
kempen keganasan PKM tersebar dengan meluas. Pasukan gerila komunis menjalankan
kegiatan di kawasan ladang getah dan lombong bijih timah di pesisiran hutan
belantara. Ini bertujuan untuk membangkitkan ketakutan, kegelisahan dan
perasaan tidak puas hati rakyat kepada pihak kerajaan.
Kejayaan terbesar PKM ialah peristiwa
pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney dalam
satu serangan hendap yang dilakukan di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951. Walaubagaimanapun,
kejayaan PKM tidak berpanjangan akibat langkah-langkah kerajaan menambahkan
bilangan anggota pasukan keselamatan, kedudukan PKM semakin lemah dan jumlah
anggotannya semakin merosot.[16]
Pada tahun 1952, PKM memindahkan markasnya di Bentong, Pahang ke Betong di
Selatan Negara Thai. PKM juga mula mengatur strategi lain untuk meneruskan
perjuangan bagi mencapai cita-citanya politiknya.
|
Rajah menunjukkan Gabungan AMCJA yang menjadi
sekutu Parti Komunis Malaya
5.2.5 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KOMUNIS
a. Mengisytiharkan Darurat
Menjelang pertengahan tahun 1948,
keganasan PKM semakin hebat. Antara bulan
Oktober 1945 hingga Disember 1947, PKM melakukan 191 pembunuhan dan
dalam enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 pembunuhan. Kemuncak keganasan berlaku pada
12 Jun 1948, apabila tiga orang pemimpin
Kuomintang dibunuh di Johor, dan
diikuti oleh pembunuhan tiga orang peladang Eropah dalam masa satu hari di Sungai Siput, Perak
pada 16 Jun 1948.
Peristiwa ini memaksa
kerajaan British mengisytiharkan darurat di Sungai Siput dan beberapa tempat di
Johor pada 18 Jun 1948. Sehari selepas
itu, darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu dan diikuti di Singapura
pada 23 Jun 1948. Setelah undang-undang Darurat dikuatkuasakan, PKM dan
pertubuhan di bawah naungannya diharamkan.
Darurat adalah istilah yang digunakan
oleh kerajaan British untuk merujuk kepada kekacauan yang meletus di Tanah
Melayu akibat kebangkitan komunis. Oleh itu, bermulalah secara rasmi usaha
kerajaan British untuk memerangi keganasan komunis di Tanah Melayu. PKM memulakan kegiatan secara gerila melalui
gerakan ‘bawah tanah’.
Semasa darurat
beberapa usaha telah dijalankan untuk mengatasi keganasan PKM. Antaranya ialah
:
i. Mengharamkan PKM melalui undang-undang
darurat
ii. Menggunakan tentera dan polis untuk
menangkap sesiapa yang disyaki.
iii. Memperkenalkan sistem kad pengenalan di
mana rakyat yang berumur 12 tahun ke atas diwajibkan mendaftar dan memiliki
dokumen pengenalan diri.
iv. Home
guard di kampung-kampung telah ditubuhkan.
v. Tentera-tentera komanwel telah dibawa
masuk
vi. Usaha-usaha menyatupadukan kaum-kaum
melalui Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum
b. Rancangan Briggs
Diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs
iaitu Pengarah Gerakan menentang Komunis pada tahun 1950. Rancangan
diperkenalkan bertujuan untuk membanteras kegiatan komunis melalui strategi
menempatkan golongan setinggan di pinggir hutan ke kampung baru dan melancarkan
gerakan kelaparan.
Rancangan ini bertujuan menghalang penduduk
Cina daripada membekalkan makanan dan
perubatan dan memberikan maklumat kepada gerila komunis yang bersembunyi dalam
hutan. Di bawah rancangan ini kampong-kampung dipinggir hutan ditempatkan
semula di kawasan baharu yang dipanggil Kampung Baru yang mudah dikawal. Kampung
Baru dipagar disekelilingnya dan disediakan kemudahan seperti sekolah dan pusat
kesihatan.
Rancangan ini didapati berkesan dalam
menggagalkan pembrontakan Komunis kerana ia dapat melemahkan kegiatan Min Yuen
dan seterusnya memaksa Komunis keluar daripada hutan.
c. Rancangan Templer (Perang Saraf)
Sir Gerald Templer telah melancarkan
perang saraf ke atas pengganas Komunis dengan mengambil beberapa tindakan.
Antaranya ialah:
i. melonggarkan syarat kewarganegaraan
bagi orang bukan Melayu
ii. memberikan pengampunan secara
beramai-ramai kepada anggota PKM yang menyerah diri
iii. memberi hadiah kepada mereka yang
memberikan maklumat mengenai pengganas Komunis
iv. menyebarkan risalah yang meminta agar
anggota PKM meninggalkan perjuangan mereka
v. memperkenalkan konsep perintah
berkurung di kawasan-kawasan tertentu ketika tentera memburu anggota Komunis
Sir Gerald Templer telah
memperkenalkan sistem pembahagian wilayah kepada kawasan Hitam dan kawasan
Putih. Pada tahun 1952. Kawasan Hitam ialah kawasan yang didapati giat dengan
aktiviti komunis dan perlu diberi kawalan ketat oleh pihak pertahanan. Manakala
kawasan Putih ialah kawasan yang selamat atau bebas daripada pengaruh Komunis
Melalui pengisytiharan ini kegiatan
gerila dapat dikawal dengan baik dan berkesan. Melaka menjadi negeri pertama
yang diisytiharkan sebagai kawasan putih pada bulan September 1953. Dibawah
rancangan ini juga tindakan menyekat kemasukan bekalan makanan ke kawasan yang menjadi sarang kegiatan Komunis telah
dijalankan
d. Rundingan Baling
Pada Pilihanraya Umum Persekutuan
pertama pada bulan Julai 1955 memberi
kemenangan besar kepada Parti Perikatan. Tunku Abdul Rahman dilantik
menjadi ketua Menteri Persekutuan Persekutuan Tanah Melayu. Di bawah sistem
berkerajaan sendiri. Pemberian taraf berkerajaan sendiri mengukuhkan sokongan
rakyat kepada kerajaan. Ini menjadikan pengaruh Komunis semakin merosot.
Tunku Abdul Rahman berjanji untuk
menamatkan darurat dengan segera. Pada bulan September 1955, beliau menawarkan
pengampunan secara beramai-ramai kepada semua pengganas komunis. Mereka yang
menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh pihak kerajaan. Kemerosotan
pengaruh Komunis menyedarkan para pemimpin PKM, terutama Chin Peng bahawa
perjuangan mereka tidak lagi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya, Chin Peng
bersetuju untuk berunding dengan kerajaan. Rundingan itu diadakan pada 28-29
Disember 1955 di Baling Kedah.
Perwakilan
|
Nama
|
Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu
|
Tunku
Abdul Rahman
|
Ketua Menteri Singapura
|
David
Marshall
|
Presiden MCA
|
Tan
Cheng Lock
|
Parti
Komunis
|
1.
Chin Peng (Setiausaha Agung)
2.
Chen Tien ( Ketua Propaganda)
3.
Rashid Mydin
(Ahli Jawatankuasa Pusat)
|
Tokoh yang
menghadiri Rundingan Baling di Kedah
pada 28-29 Disember 1955
Dalam rundingan itu, Tunku meminta PKM meletakkan senjata dan
menerima tawaran pemgampunan kerajaan.
Chin Peng menolak permintaan itu
dan sebaliknya meminta PKM dibenarkan
bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Rundingan Baling berakhir
dengan kegagalan kerana kerajaan enggan tunduk dengan tuntutan PKM. Pada tahun
1960, kegiatan PKM berjaya dilumpuhkan, akibat tindakan keras kerajaan
memerangi kegiatan Komunis. Pada 31
Julai 1960, darurat diisytiharkan tamat secara rasmi. Sepanjang tempoh darurat, seramai 6398 orang
anggota PKM dibunuh, 1245 di tawan dan 1938 menyerah diri[17].
Jawatan
dalam Parti Komunis Malaya
|
Hadiah Wang Tunai
|
1. Setiausaha
Agung (Chin Peng)
|
$ 250 000
|
2. Ahli
Biro Politik
|
$ 200 000
|
3. Ahli
Jawatankuasa Pusat
|
$150 000
|
4. Ahli
Jawatankuasa Negeri dan Daerah
|
$120 000
|
5. Anggota
Biasa
|
$2500-$2000
|
Tawaran hadiah wang tunai atas penangkapan atau
pemberian maklumat
tentang pengganas Komunis semasa darurat.
5.3 PERUNDINGAN
KEMERDEKAAN
Pada bulan Ogos 1955 Tunku Abdul
Rahman sebagai pemimpin Parti Perikatan menghantar satu memorandum kepada
Pejabat Tanah Jajahan British di London untuk menrundingkan soal kemerdekaan Tanah Melayu. Memorandum
itu diserahkan kepada Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan British. Alan
Lennox-Boyd. Dalam memorandum itu, Parti Perikatan meminta dua perkara iaitu:
i.
Pemberian kerajaan sendiri secepat mungkin
ii.
Penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk
menggubal perlembagaan baru Tanah
Melayu.
Raja-raja Melayu
memberi persetujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan
usaha ke arah kemerdekaan. Mereka juga
meminta supaya rundingan kemerdekaan tidak diadakan dengan wakil-wakil parti
perikatan sahaja, tetapi turut melibatkan wakil raja-raja Melayu. Pada bulan November 1955, wakil raja-raja
Melayu dan parti Perikatan berunding
terlebih dahulu untuk mencapai kata sepakat
tentang beberapa perkara asas seperti:
i.
Kawalan Kewangan
ii.
Perlantikan rakyat tempatan utnuk mengetui
jabatan-jabatan kerajaan
iii.
Keselamatan dalam negeri dan penggubalan
perlembagaan
Dalam
rundingan itu, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa kedudukan raja-raja
Melayu sebagai raja berperlembagaan tidak akan terjejas selepas Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan. Pada 1 Januari 1956, Rombongan
Kemerdekaan bertolak ke London. Rombongan itu terdiri daripada empat orang
wakil raja-raja Melayu dan empat orang wakil Parti Perikatan. Rombongan itu
bertolak ke London dengan tujuan untuk berunding dengan kerajaan British bagi
mendapat kemerdekaan Tanah Melayu.
Nama
|
Jawatan
|
i. Dato’
Haji Abdul Wahab bin Abdul Aziz (Ketua)
Dato’ Panglima Bukit Gantang).
ii. Dato’
Nik Ahmad Kamil Haji Nik Mahmud
iii. Dato’
Muhammad Seth bin Muhammad Said
iv. Abdul
Aziz bin Haji Abdul Majid
|
Menteri Besar Perak
Menteri Besar Kelantan
Menteri Besar Johor
Menteri
Besar Selangor
|
Abdul
Kadir bin Shamsuddin selaku Setiausaha rombongan
|
Rajah:
Wakil raja-raja Melayu dalam Rombongan Kemerdekaan 1956
Rundingan kemerdekaan
Tanah Melayu di London dipengerusikan oleh Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan
British, Alan Lennoxz Boyd. Rundingan itu yang diadakan mulai 18 Januari hingga
8 Febuari 1956 berjaya mencapai beberapa persetujuan iaitu:
i. Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan
kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Selepas merdeka, Tanah Melayu akan terus
kekal dalam lingkungan komanwel dengan mengamalkan sistem pemerintahan secara
demokrasi.
ii. Rakyat tempatan akan mengambil alih
jawatan-jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri,
Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan.
iii. Pihak British dibenarkan untuk
menempatan tenteranya di Tanah Melayu.
iv. Sebuah badan bebas dibentuk bagi
menggubal perlembagaan baharu Tanah Melayu.
Nama
|
Jawatan
|
1. Tunku
Abdul Rahman Putra (Ketua)
2. Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussien
3. Dr.
Ismail bin Dato’ Abdul Rahman
4. Kolonel
Hau Shek Lee (H.S.Lee)
|
Ketua Menteri
Menteri Pelajaran
Menteri Tanah dan Galian
Menteri Pengangkutan
|
T.H.
Tan ( Setiausaha Parti Perikatan)
selaku Setiausaha Rombongan
|
Rajah: Wakil Parti Perikatan dalam Rombongan
Kemerdekaan 1956
Suruhanjaya
Reid
Pada bulan
1956, sebuah suruhanjaya dibentuk untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu. Suruhanjaya itu dinamakan Suruhanjaya
Reid dengan dipengerusikan oleh Lord Reid dan dianggotai (Britain), Sir
William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid
(Pakistan). Suruhanjaya Reid membuat
beberapa tinjauan untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, iaitu
orang perseorangan, pertubuhan politik, kesatuan sekerja dan persatuan yang
mewakili kepentingan golongan tertentu dalam masyarakat.
Suruhanjaya
itu juga menerima 131 memorandum secara bertulis daripada pelbagai pihak,
termasuk memorandum Parti Perikatan dan raja-raja Melayu. Memorandum Perikatan
merupakan satu bentuk pakatan murni,
hasil rundingan dan tolak ansur antara UMNO, MCA dengan MIC yang mewakili tiga
kaum terbesar di Tanah Melayu.`Pakatan murni’ itu mengandungi dua perkara
penting, iaitu mengekalkan empat unsur tradisional dalam perlembagaan – bahasa
Melayu, agama Islam, institusi beraja dan kedudukan istimewa orang Melayu serta
hak untuk menjadi warganegara berasaskan prinsip jus soli kepada kaum bukan Melayu.
Suruhanjaya Reid mengadakan 118
mesyuarat antara bulan Jun sehingga Oktober 1956 untuk mengkaji dan mengambil
kira pandangan serta maklum balas daripada semua pihak. Pada bulan Mei 1957,
sebuah Jawatankuasa Kerja ditubuhkan yang terdiri daripada 11 orang ahli untuk
menyemak dan mengkaji Laporan Reid.
|
|
|
Rajah:
Keanggotaan dan bidang tugas Suruhanjaya Reid
Ciri-Ciri
Perlembagaan 1957
Terdapat empat ciri
utama dalam struktur kerajaan yang dicadangkan, iaitu:
a. Ketua Negara bagi Persekutuan Tanah
Melayu ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih daripada kalangan sembilan
orang raja Melayu. Baginda memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun.
b. Ketua kerajaan bagi Persekutuan Tanah
Melayu ialah Perdana Menteri yang dilantik di kalangan parti yang mempunyai
suara terbanyak dalam Dewan Rakyat. Perdana Menteri akan menubuhkan Kabinet yang
menjadi badan tertinggi dalam mengubal dasar-dasar kerajaan.
c. Sebuah badan perundangan di peringkat
persekutuan, iaitu Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan
Negara. Dewan Rakyat mempunyai 104 orang ahli yang dipilih melalui pilihan raya
untuk tempoh selama lima tahun. Dewan Negara mengandungi 38 orang ahli dan
mereka berkhidmatenam tahun.
d. Ketua perlembagaan di peringkat negeri ialah
raja atau gabenor. Setiap negeri mempunyai Majlis Undangan Negeri yang dipilih melalui
pilihan raya untuk tempoh lima tahun. Pentadbiran negeri diketuai oleh seorang
Menteri Besar atau Ketua Menteri.
Pemberian taraf
kewarganegaraan dibuat berasaskan perkara-perkara berikut:
a.
Mereka yang telah menjadi
warganegara Persekutuan sebelum Hari
Merdeka.
b.
Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu
pada atau selepas Hari Merdeka.
c.
Mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang
dilahirkan di Persekutuan dan telah bermastautin selama lima daripada tujuh
tahun yang terdahulu, boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan mengangkat sumpah
taat setia.
d.
Mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang dilahirkan
di luar Persekutuan, tetapi telah bermastautin selama lapan daripada 12 tahun
yang terdahulu, dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu serta mengangkat sumpah taat
setia.
e.
Pemilikan dua kerakyatan tidak dibenarkan,
kecuali bagi mereka yang memiliki kerakyatan Komenwel.
Peruntukan tentang
bahasa, iaitu:
a.
Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan di
Tanah Melayu. Pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa asing yang lain secara
umumnya tidak dilarang.
b.
Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam
persidangan Majlis Mesyuarat Undangan dan mahkamah atau lain-lain urusan rasmi
dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka.
Terdapat dua
peruntukan lain yang berhubung dengan agama Islam dan kedudukan istimewa orang
Melayu, iaitu:
a.
Agama Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan,
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas di mana-mana tempat dalam
Persekutuan.
b.
Kedudukan istimewa orang Melayu dijamin oleh
perlembagaan, iaitu berhubung dengan pemberian tanah di kawasan simpanan, kuota
dalam perkhidmatan awam dan perkhidmatan lain serta keutamaan dalam pemberian biasiswa,
lesen perniagaan dan lain-lain bantuan kerajaan[18].
Perisytiharan
Kemerdekaan
Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh raja-raja Melayu dan Persuruhjaya
Tinggi British, Sir Donald MacGallivry di King’s House, Kuala Lumpur pada 5
Ogos 1957. Perjanjian
itu mengekalkan sebahagian besar struktur Perjanjian Persekutuan, 1948 dengan
kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan, pembahagian kuasa
antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri[19].
Pada pukul 12.00 tengah malam 30 Ogos
1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor sebagai menandakan
berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan digantikan dengan bendera
Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.Pada pagi 31 Ogos 1957di Stadium Merdeka,
wakil Ratu Elizabeth II menyerahkan dokumen pengisytiharan kemerdekaan kepada
Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Pertama. Tunku kemudiannya melaungkan
perkataan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali dan disambut oleh ribuan rakyat
yang hadir di stadium itu.
Upacara bersejarah
ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman
ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, kesemua raja Melayu dan wakil-wakil kerajaan
asing. Pada hari yang sama, kabinet
Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diumumkan.[20]
|
Rajah:
Langkah-langkah menuju kemerdekaan
Kesimpulan
Negara menghadapi dugaan yang begitu
besar. Malayan Union yang diperkenalkan oleh British mendapat tentangan yang
hebat daripada orang Melayu. Berikutan dengan tentangan tersebut, Malayan Union
digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Dalam masa yang sama ancaman
komunis yang ganas dapat ditumpaskan. Darurat yang diisytiharkan pada tahun
1948 ditamatkan pada tahun 1960. Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan
yang penting dalam usaha negara mencapai kemerdekaan.
RUJUKAN
1.
Nazaruddin
Hj. Mohd Jali et. al. (2004), Pengajian
Malaysia Kenegaraan dan Kewarganegaraan, Edisi Kedua, Selangor: Prentice Hall.
2.
Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan dan Kewarganegaraan.
Selangor, Fajar Bakti.
3.
Mardiana Nordin et. al (2004), Pengajian
Malaysia, Selangor: Fajar Bakti.
[1] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et- al (2004), Pengajian
Malaysia Kenegaraan dan kewarganegaraan Edisi
Kedua.Selangor. Prentice Hall.hal 40.
[2] Hal. 40
[3] Pada bulan Mac 1946,
Persatuan Melayu Selangor menganjurkan Kongres Melayu Se Malaya di Kelab Sultan
Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres ini yang
dihadiri oleh wakil 42 buah pertubuhan Melayu bersetuju menyatukan kesemua
persatuan Melayu negeri untuk menentang Malayan Union secara berkumpulan.
[4] Ruslan Zainuddin et- al (2004), Kenegaraan dan
kewarganegaraan. Selangor. Fajar Bakti..hal 142
[5] Perkara ini ada disebut dalam
perlembagaan negeri Johor.
[6] Mardiana Nordin et-al (2004)
Pengajian Malaysia. Selangor. Fajar
Bakti. Hal 142
[7] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et- al (2004), Pengajian
Malaysia Kenegaraan dan kewarganegaraan Edisi
kedua.Selangor. Prentice Hall.hal 45
[9] Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan Dan Kewarganegaraan.
Selangor: Fajar Bakti, hal. 145.
[10] Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan Dan Kewarganegaraan.
Selangor: Fajar Bakti, hal. 145.
[11] Ruslan Zainuddin et- al (2004), Kenegaraan dan
kewarganegaraan. Selangor. Fajar Bakti..hal 146.
[12]
Hal 146 - 147
[13] Perasaan anti Jepun ini tersebar
dengan meluas dan bersatu di bawah satu pertubuhan yang dinamakan Malayan
People Anti Japanese Army (MPAJA) yang dinaungi oleh PKM. Hal 150.
[14] Antara mogok terbesar yang pernah
dianjurkan oleh PKM adalah di Lombong
Batu Arang, Selangor pada tahun 1935 yang melibatkan 6000 orang pekerja
hal 145.
[15] Pada tahun 1948, unit kecil ini
berjumlah 12 000 orang dengan 60 peratus daripada mereka mendapat latihan di
hutan belantara. Ruslan Zainuddin et.al. Hal 152.
[16] Daripada 12 5000 orang anggota
pasukan gerila pada tahun1948, bilangan itu menurun kepada 7000 orang pada
tahun 1951 dan tinggal sekitar 5000 orang sahaja pada tahun 1957. Kegiatan subversive PKM juga berkurangan
daripada 450 hingga 500 serangan sebulan antara tahun 1950-1 kepada 100 serangan
sebulan pada awal tahun 1953. Ruslan Zainuddin et.al. 153.
[17] Ruslan Zainuddin et- al (2004), Kenegaraan dan
kewarganegaraan. Selangor. Fajar Bakti..hal 154.
[18] Ruslan Zainuddin et. al. (2004), Kenegaraan dan
kewarganegaraan, Selangor: Fajar Bakti, hal 160-163.
[19] Menteri Besar sebagai ketua eksekutif
negeri, kuasa eksekutif dan perundangan, kuasa kewangan yang dipegang oleh
kerajaan persekutuan dan lain-lain kuasa berkaitan pemerintahan.
[20] Ruslan Zainuddin et. al.
(2004), Kenegaraan dan kewarganegaraan. Selangor: Fajar Bakti, hal 164
No comments:
Post a Comment