Friday 19 September 2014

BAB 14: DASAR SOSIAL

PENGENALAN

Dasar sosial boleh dianggap sebagai satu jenis dasar yang memberi keutamaan kepada nilai-nilai sosial yang berlandaskan keadilan, kerohanian dan kemanusiaan. Kesemua nilai ini adalah perlu untuk pembangunan manusia yang seimbang dalam pelbagai aspek. Dasar sosial diperlukan oleh sesebuah negara yang membangun untuk menangani pelbagai masalah yang timbul, termasuk masalah sosial.

Dasar sosial menitikberatkan isu-isu seperti perpaduan negara, perhubungan kaum dalam masyarakat majmuk dan perhubungan kemasyarakatan. Keperluan-keperluan ini dipenuhi melalui pelbagai dasar seperti pendidikan, kebajikan masyarakat, sumber manusia dan sebagainya.


HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menyenaraikan 5 dasar sosial di Malaysia.
2.            Menerangkan falsafah setiap dasar sosial tersebut.
3.            Menghuraikan strategi pelaksanaan setiap dasar sosial di Malaysia.
4.            Mengenalpasti pencapaian setiap dasar sosial yang dinyatakan.









13.1  DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAAN

Sejak sebelum merdeka, beberapa dasar telah diadakan untuk menggubal sistem pendidikan di negara ini. Sesuai dengan senario politik yang berlaku pada waktu ini, Tanah Melayu ingin mencapai kemerdekaan dan perpaduan yang merupakan elemen penting untuk menjayakan rancangan tersebut. Salah satu cara ialah melalui pendidikan.

Justeru, pihak pemerintah telah memperkenalkan satu Jawatankuasa Pelajaran 1955 yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein. Akhirnya, satu dasar pendidikan telah diperkenalkan oleh beliau yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Pada tahun 1960 satu lagi dasar telah diadakan untuk menyemak semula Penyata Razak 1956. Dasar ini dikenali sebagai Penyata Rahman Talib 1960[1].

Dasar Pendidikan Kebangsaan 1961 digubal berdasarkan Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Matlamat utama dasar ini ialah untuk mewujudkan persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat. Selepas itu, Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan pada 1974 untuk mengkaji semula dasar pendidikan bagi menyesuaikannya dengan pekembangan ekonomi negara, membentuk masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin di samping memenuhi sumber manusia dalam pembangunan negara. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979. Proses pembentukan individu cemerlang dan berorientasikan masyarakat ini diasaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara.


Objektif

i.              Menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
ii.             Menyatupadukan semua kaum dan menyediakan tenaga kerja yang mencukupi untuk pembangunan negara.
iii.            Melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
iv.           Menggalakkan perkembangan bidang kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
v.            Memenuhi keperluan tenaga rakyat negara dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek


Falsafah Pendidikan Negara

Falsafah Pendidikan Negara dinyatakan seperti berikut:

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan bekeupayaan mencapai kesejahteraan diri seta memberi sumbangan terhadap keharmonian  dan kemakmuran masyarakat dan negara.”[2]

Falsafah pendidikan negara merupakan satu pemikiran yang mantap mengenai sistem pendidikan negara Malaysia. Ia menetapkan arah haluan yang mesti ditujui oleh setiap rakyat dan mengandungi prinsip yang utuh dan daya ketahanan yang kekal bagi masyarakat majmuk di negara ini. Falsafah ini harus dijadikan teras dalam keseluruhan sistem pendidikan iaitu dari peringkat pra-sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Bagi mencapai matlamat dasar pendidikan negara, falsafsah ini telah menggariskan tiga bidang utama yang meliputi aspek-aspek keperluan individu, negara dan ekonomi. Tiga bidang utama ini ialah perkembangan individu secara menyeluruh, perpaduan rakyat dan kemakmuran negara. Langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pendidikan bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara ialah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).[3]

Pendidikan yang dirancang dan berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara akan melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memenuhi keperluan negara dan mampu menghadapi sebarang persaingan serta cabaran masa hadapan. Hasrat Falsafah Pendidikan Negara memberi penekanan kepada empat aspek penting bagi pekembangan seseorang individu iaitu intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kepercayaan kepada Tuhan dan patuh kepada ajaran agama merupakan teras kepada keempat-empat aspek ini.

Pendekatan yang digunakan untuk menjayakan matlamat pendidikan melalui pendidikan bersepadu ini menekankan perkara-perkara berikut :


Ilmu dan Kemahiran

i.              Kandungan kurikulum akan dapat mengembangkan kemahiran asasi yang diperoleh di peringkat rendah.
ii.             Mengembangkan kemahiran belajar.
iii.            Membina generasi intelek dan mengembangkan pemikiran untuk menghurai, mencari, merumus dan menghasilkan idea-idea bernas.


Nilai-nilai Murni

i.              Dalam pendidikan bersepadu, nilai-nilai murni akan diserapkan dalam setiap matapelajaran bukan sahaja dalam matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
ii.             Nilai-nilai murni yang akan diserapkan dalam diri pelajar adalah seperti berhemah tinggi, berdikari, keberanian, kerjasama, semangat kemasyarakatan dan lain-lain.


Bahasa

i.              Tumpuan diberikan kepada aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul meliputi sebutan, struktur ayat dan tatabahasa.
ii.             Selain itu, penekanan juga diberikan kepada kecekapan menggunakan bahasa, kemampuan berfikir dan kreatif dalam menghasilkan karya dalam bahasa Melayu.
iii.            Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris tetap diteruskan.

Ko Kurikulum

i.              Kokurikulum merupakan satu bidang pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Ini berlanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
ii.             Proses ini sebenarnya akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengamalkan pengetahuan yang telah dipelajari di bilik darjah.
iii.            Gerak kerja kokurikulum biasanya dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu:
a.            Pasukan beruniform
b.            Persatuan/ kelab
c.            Sukan


Budaya Sekolah

i.              Budaya sekolah merangkumi seluruh persekitaran sekolah sama ada secara fizikal ataupun bukan fizikal. Suasana persekitaran sebenarnya boleh memberi kesan tehadap proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
ii.             Antara perkara utama dalam pembentukan budaya sekolah ialah:
a.            Fizikal sekolah yang baik
b.            Aspek sosial yang boleh merangsang pembinaan insaniah
c.            Aspek budaya ilmu
d.            Penggunaan bahasa yang baik


Bahan Pengajaran

Buku-buku yang digunakan juga mesti mencerminkan kesepaduan dan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara.


Strategi Dan Pelaksanaan

Beberapa srategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:

i.              Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.
ii.             Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
iii.            Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.
iv.           Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
v.            Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
vi.           Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun.
vii.          Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar dan pedalaman.
viii.         Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral seta nilai etika yang kukuh.
ix.           Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978.
x.            Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan.
xi.           Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.
xii.          Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempurna bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
xiii.         Menggalakkan aktiviti kokurikulum yang memupuk disiplin seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, Puteri Islam dan lain-lain[4].

Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengadakan dan mengembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak.

Di Kementerian dan Jabatan Pendidikan pula, beberapa bahagian dan jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuat bagi memastikan tercapainya hasrat dasar ini. Beberapa contoh bahagian dan jawatankuasa ditubuhkan untuk mencapai cita-cita dasar ini iaitu:

i.                              Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan.
ii.                             Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional
iii.                            Jawatankuasa Pusat Kurikulum
iv.                           Biro Buku Teks
v.                            Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia[5]


Pencapaian

i.              Secara keseluruhannya, tenaga rakyat hasil pendidikan dapat memenuhi keperluan guna tenaga negara.
ii.             Pendidikan dapat mengeratkan jurang pengenalan pekerjaan mengikut kaum dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk.
iii.            Kesedaran kebangsaan Malaysia juga dapat dirasai antara kaum di sekolah.
iv.           Penguasaan bahasa Melayu antara kaum di Malaysia lebih memuaskan.
v.            Pendidikan dan latihan dapat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan membaiki taraf hidup mereka.


Kesimpulan
           
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan negara buat masa ini dan masa hadapan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara perindustrian, adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan bersesuaian dengan keperluan swasta bagi bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan dan sebagainya.


Oleh itu, dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah, tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata pada kerajaan untuk menyediakan kerja. Ini selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan sektor swasta secara aktif dalam usaha pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.



13.2  DASAR BELIA NEGARA

Dasar Belia Negara ini diadakan untuk memberi garis panduan bagi menyusun dan mengendali rancangan-rancangan belia negara ini. Generasi belia merupakan sumber terbesar dalam negara dan mereka berpotensi untuk menyambung kepada pembangunan negara. Keupayaan mengembeling tenaga belia akan menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik Negara.


Takrif Belia

Golongan belia dikategorikan kepada golongan berumur antara 15 – 40 tahun dan meliputi 42% daripada jumlah 20 juta penduduk Malaysia. Walaubagaimanapun, dari segi strategi pelaksanaan program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama ialah mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun. Golongan ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Memandangkan belia memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan sebagai bakal pemimpin Negara, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. Dasar Program Induk Belia Negara dilancarkan pada bulan Jun 1991. Belia merupakan separuh daripada penduduk di Malaysia. Kemajuan Belia merupakan kemajuan negara.


Matlamat

Matlamat dasar ini ialah “Membina Belia Untuk Kesejahteraan Negara”.


Objektif

i.              Memupuk keperibadian belia dengan memberi penekanan terhadap aspek kepimpinan dan kesukarelawanan, berakhlak mulia & berpengetahuan luas.
ii.             Mendorong penyertaan belia dalam pembangunan negara, di samping memandu mereka ke jalan yang searah dengan prinsip Rukun Negara.
iii.            Menjadikan belia sebagai teras integrasi nasional.
iv.           Belia dianggap benteng pertahanan ekonomi dan sosio politik negara.
v.            Memajukan belia.
vi.           Membangunkan sosioekonomi golongan belia selain memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara.
vii.          Melahirkan masyarakat yang memiliki sifat kepimpinan dan berfikiran matang selain mencapai taraf keilmuan yang tinggi.


Prinsip-Prinsip Dasar Belia Negara

Pembinaan belia di negara ini hendaklah berasaskan prinsip-prinsip berikut:

i.              Mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara
ii.             Mewujudkan semangat perpaduan, kesukarelaan dan menggalakkan autonomi
iii.            Mewujudkan sifat-sifat kepimpinan yang matang
iv.           Menggalakkan penyertaan dalam proses perancangan negara
v.            Membina moral yang tingi dan sikap yang mementingkan penjagaan kesihatan dan kecergasan diri
vi.           Mencapai taraf keilmuan yang luas dan mendalam


Strategi 

Bagi mencapai Dasar Belia Negara beberapa strategi akan dilaksanakan:

a.         Pembangunan Ilmu

Usaha akan dipertingkatkan ke arah mengembangkan ilmu pengetahuan di dalam berbagai aspek sebagai tungak kepada pembangunan dan kemantapan generasi belia[6]. Untuk memupuk ciri-ciri keperibadian yang sempurna, pendidikan hendaklah dibekalkan yang meliputi bidang-bidang berikut:

i.              Pendidikan agama dan moral.
ii.             Pelajaran yang formal dari awal (pra sekolah) hingga ke pusat pengajian tinggi.
iii.            Pendidikan tidak formal yang berterusan melalui kursus, bengkel, seminar dan lain-lain.
iv.           Pendidikan jasmani secara formal dan tidak formal.


b.         Pembentukan Sikap

Usaha ke arah penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sikap yang positif dan kreatif akan dipupuk di kalangan belia bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Untuk menyediakan taraf kepimpinan yang matang serta penglibatan yang berkesan dalam perancangan negara, usaha-usaha hendaklah diatur bagi menghasilkan golongan pemimpin yang berkaliber melalui:

i.              Kursus, seminar, bengkel dan lain-lain.
ii.             Penglibatan dan penyertaan yang aktif dalam badan-badan yang menggubal dasar di semua peringkat, iaitu daerah, negeri dan kebangsaan pendedahan yang luas, merangkumi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.






c.         Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan

Mempersiapkan generasi belia dengan teknologi terkini, kemahiran teknik dan vokasional serta kegiatan keusahawanan selaras dengan kehendak pembangunan negara. Untuk membekalkan kemahiran-kemahiran tertentu, rancangan-rancangan latihan hendaklah disusun untuk melatih para belia dalam pelbagai bidang seperti teknikal, usahawan dan pertanian.

d.         Pemupukan Gaya Hidup Sihat

Generasi Belia digalakkan menyertai persatuan atau aktiviti sukarela yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan dinamik. Amalan ini akan dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang bertangungjawab dan berkualiti.


e.         Kemudahan Interaksi Sosial

Mempertingkatkan kemudahan yang sesuai bagi menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan belia dan masyarakat. Untuk meningkatkan usaha perpaduan negara, semangat kebangsaan, kesedaran, kewarganegaraan dan perasaan tanggungjawab melalui program secara formal dan tidak formal.


f.          Perkongsian Dalam Pembangunan

Menggunakan perkongsian dan kerjasama antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk pembangunan generasi belia. Untuk menjayakan penglibatan belia sepenuhnya dalam pembangunan negara, penekanan terhadap:
i.      semangat kesukarelaan yang akan menjamin kesediaan untuk memberi semangat ikhlas demi kejayaan dan kebahagiaan bersama.
ii.     Autonomi dalam menjalankan rancangan-rancangan agar terpupuk perasaan yakin pada diri sendiri.
iii.    Pengenalan prinsip-prinsip untuk menyemai rasa cinta terhadap hidup secara demokrasi.[7]


g.         Jaringan Hubungan Antarabangsa

Menggalakkan generasi belia meningkatkan jaringan dan interaksi dengan masyarakat antarabangsa.










Pelaksanaan

i.              Bahagian Perkhidmatan Belia di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat diwujudkan untuk membimbing dan memberi perkhidmatan sosial kepada golongan belia.

ii.             Kementerian Belia dan Sukan ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan dasar-dasar untuk menjalankan kegiatan yang memanfaatkan golongan belia.

iii.            Program Rakan Muda’ diwujudkan untuk meningkatkan penglibatan belia dalam pelbagai bidang untuk membentuk masyarakat yang seimbang, berdaya saing, berani dan dinamik selaras dengan kehendak negara.

iv.           Koperasi Belia diadakan mewujudkan oraganisasi yang bercorak koperasi peringkat kebangsaan demi menjaga kepentingan belia dalam bidang ekonomi dan sosial.

v.            Program Belia Berniaga membekalkan kursus-kursus keusahawanan untuk memberi kemahiran kepada belia.

vi.           Kemahiran Vokasional dan Teknikal turut diadakan untuk memperlengkap kemahiran belia untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. Contohnya, Institut Kemahiran Belia Negara ditubuhkan untuk menggalakkan belia-belia mendapatkan latihan kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor industri ke arah mencapai Wawasan 2020.

vii.          Badan-badan Sukarela menganjurkan pelbagai program dari semasa ke semasa untuk membangunkan belia negara.

viii.         Slogan ‘Malaysia Boleh’ merupakan galakan untuk memperjuang semangat kebangsaan di kalangan belia negara.

ix.           Sepuluh aspek yang menjadi motto ialah:

a.            Malaysia Cergas
b.            Malaysia Cemerlang
c.            Malaysia Patriotik
d.            Malaysia harmoni
e.            Malaysia Mahir
f.             Malaysia Mulia
g.            Malaysia Sejagat
h.            Malaysia Prihatin
i.              Malaysia Berbudaya












Program Belia (Perniagaan)

a.         Belia Berniaga

Rancangan ini bertujuan usahawan-usahawan di kalangan belia dengan mendorong mereka menggunakan kemahiran yang telah diperolehi melalui kursus-kursus keusahawanan yang disediakan.[8]


b.         Koperasi Belia

Bertujuan meninggikan taraf hidup belia-belia amnya dan ahli-ahli khususnya dan menjaga kepentingan belia dalam semua bidang terutama ekonomi dan sosial supaya dapat mewujudkan satu organisasi perniagaan besar yang bercorak koperasi di peringkat nasional.


c.         Belia Peladang

Bertujuan untuk melibatkan para belia dalam projek pertanian, penternakan dan perusahaan-perusahaan berasaskan pertanian, dengan bermatlamat untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan sendiri di kalangan belia-belia terutama sekali mereka yang tinggal di luar bandar


Program Latihan

a.         Latihan dan Bimbingan

Bertujuan memberi dan menguruskan latihan kemahiran vokasional dan teknikal untuk membolehkan belia mendapat pekerjaan sendiri serta melengkapkan latihan kemahiran kerja belia.

b.         Cawangan Latihan dan Bimbingan

Ditubuhkan dengan tujuan merancangkan aktiviti-aktiviti bercorak latihan kemahiran secara formal dan latihan secara tidak formal.

Badan-badan Belia terdiri daripada persatuan, pertubuhan dan majlis belia yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan termasuk juga badan-badan sukarela seperti kesenian, kebajikan, sukan, kerjaya dan keagamaan dan badan-badan politik dan kesatuan sekerja[9]. Dari semasa ke semasa, badan ini menganjurkan program-program latihan dan bengkel kepimpinan kepada ahli-ahli untuk mencungkil bakat kepimpinan.







Pencapaian

i.              Belia akan sedar tanggungjawab mereka terhadap negara.
ii.             Mengurangkan masalah sosial.
iii.            Belia menjadi progresif.


Kesimpulan

Dasar Belia Negara adalah panduan yang dapat memberi peluang dan ruang kepada semua pihak dalam merancang dan melaksanakan program untuk memperkasa pembangunan belia.


Text Box: Malaysia Cergas mengajak rakyat MALAYSIA keluar rumah – ke padang, ke taman, ke gelanggang, ke pusat sukan – untuk mengambil bahagian.

Ia merupakan hasrat membentuk satu imej Nasional, menjadikan masyarakat Malaysia suatu bangsa ‘peserta’ bukan suatu bangsa ‘penonton’ dalam kegiatan fizikal dan sukan.
 







Text Box: “Jadi, nombor satu bina diri, dan bina bangsa. Kedua, mempunyai wawasan dan tahu ke mana hendak pergi. Jadi dia menjadi belia berwawasan dan paling akhir sekali sama ada dia bina bangsa atau mempunyai wawasan, yang paling penting ialah dia seorang belia Malaysia”. 
- Datuk Azalina Othman Said, 
Menteri Belia dan Sukan.
















13.3  DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN


Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Dasar ini menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di mata dunia antarabangsa.

Perancangan Kebudayaan bagi sesebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum adalah sangat penting supaya ciri-ciri kebudayaan yang lahir akan mencerminkan cara hidup sesuatu bangsa di sesebuah negara[10]. Perancangan Kebudayaan akan menentukan sifat-sifat yang terbaik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan.


Objektif

i.              Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan
ii.             Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan
iii.            Memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi


Falsafah

Kebudayaan Kebangsaan Malaysia berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan:

i.              Berteraskan Kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau Ini

Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu-Astronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya.


ii.            Unsur-Unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai Dan Wajar Diterima.

Unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi pertimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah begantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara serta kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

iii.           Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbangi dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Ketiga-tiga prinsip asas ini adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971[11].


Strategi Dan Pelaksanaan

Objektif dasar ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:

i.              Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya.

ii.             Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendukung dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan.

iii.            Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia.

iv.           Memenuhi keperluan sosiobudaya.

v.            Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

 

Pencapaian


Pelbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai matlamat dasar ini dan secara umumnya pencapaian matlamat dan objektif dasar telah menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan. Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini, meskipun masih lagi baru usianya namun pembentukan identiti nasional dan perpaduan kaum serta nilai murni Islam telah pun dilaksanakan. Identiti kewarganegaraan dan seni budaya Malaysia juga didapati di dalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga di dalam kegiatan seni sukan sama ada di peringkat rasmi atau tidak rasmi. Di antaranya ialah:

i.              Kerajaan Malaysia menyediakan pendidikan asas percuma selama 6 tahun yang melibatkan sekolah-sekolah, guru-guru dan buku-buku dalam bahasa Tionghua dan Tamil.
ii.             Di peringkat menengah pula, kerajaan dikehendaki oleh undang-undang untuk menyediakan guru bahasa Cina atau Tamil sekiranya ibubapa kepada 15 orang atau lebih pelajar Cina dan India meminta kelas-kelas bahasa ibunda.

iii.            Di peringkat pengajian tinggi pula kerajaan telah lama menubuhkan  jabatan-jabatan pengajian Cina dan Tamil di Universiti Malaya.
iv.           Program-program dalam bahasa Cina dan Tamil kerap disiarkan oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).
v.            Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Wesak dan Krismas telah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am.


Kesimpulan

Kejayaan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini adalah bergantung kepada peruntukan kewangan, kepakaran dan kecekapan pengurusan yang mengendali dan melaksanakan dasar ini. Sokongan secara langsung atau tidak langsung oleh semua adalah penting bagi kejayaan program dan aktiviti-aktiviti dasar ini.
                       
                                                                                                                                                                                                        13.4  DASAR WAWASAN 2020

Wawasan 2020 dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pada tahun 1991. Wawasan 2020 mengandungi suatu pemikiran dan rangka kerja tentang matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020[12].

Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi semata-mata tetapi juga merangkumi aspek politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari dan progresif dan makmur.

Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Malaysia akan menjadi negara maju mengikut acuan sendiri tanpa terikut-ikut akan cara dan corak negara maju yang ada sekarang.


Objektif

i.              Objektif utama Wawasan 2020 adalah membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam seluruh aspek kehidupan sama ada dalam bidang ekonomi, politik, sosial, kebudayaan mahupun kemajuan dalam jiwa rakyat Malaysia.

ii.             Ini bermakna Malaysia bukan sahaja setakat ingin mencapai kemajuan fizikal seperti yang dicapai oleh kebanyakan negara maju, malahan kemajuan yang dihajati meliputi nilai-nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri rakyat Malaysia.

iii.            Diharapkan menjelang tahun 2020, Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bersatu, progresif dan mampu berdikari.

iv.           Dengan itu, akan lahirlah masyarakat yang bertoleransi, berdaya saing, berdaya tahan, dinamik dan demokratik.

v.            Bagi mencapai objektif ini, rakayat Malaysia harus mengatasi sembilan cabaran atau rintangan yang digariskan dalam Wawasan 2020.



CABARAN DAN STRATEGI PELAKSANAAN WAWASAN 2020


CABARAN
CIRI-CIRI
STRATEGI PELAKSANAAN
1.   Membina bangsa Malaysia  yang bersatu padu
Mewujudkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum yang memiliki matlamat  untuk melahirkan bangsa Malaysia yang:
§  Menjadikan Malaysia sebuah negara aman.
§  Berintegrasi di peringkat negeri.
§  Wujud integrasi kaum.
§  Bekerjasama antara kaum.
§  Setia dan dedikasi terhadap negara.

§  Sekolah Wawasan, iaitu perkongsian kemudahan antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan diperkenalkan.
§  Program Khidmat Negara dipelkenalkan kepada remaja berumur 18 tahun untuk memupuk semangat patriotik, selain semangat perpaduan.

2.   Membina masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
Rakyat Malaysia diharapkan:
§  Berjiwa bebas
§  Tenteram
§  Berkeyakinan terhadap keupayaan diri
§  Gagah menghadapi pelbagai cabaran
§  Tidak mengalah kepada sesiapa
§  Memperkenalkan cogan kata ‘Malaysia Boleh’ pada tahun 1990 sebagai pendorong untuk meningkatkan keyakinan diri rakyat.

3.   Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.

Melahirkan masyarakat Malaysia yang:
§  Mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang
§  Mengamalkan demokrasi
§  Majlis Perundingan Ekonomi (MAPEN) yang merupakan forum untuk perbincangan pendapat rakyat berkenaan dasar ekonomi diperkenalkan kerajaan.

4.   Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika
Rakyat Malaysia memiliki:
§  Nilai kukuh dalam agama
§  Nilai moral dan etika yang tinggi
§  Penekanan mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam terhadap pelajar.

5.   Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi
Mewujudkan masyarakat yang:
§  Liberal dan bertolak ansur
§  Bebas mengamalkan adat dan kebudayaan tersendiri
§  Mementingkan kesetiaan kepada negara kita

§  Program ‘Citrawarna’yang diadakan setiap tahun menonjolkan kebudayaan negeri-negeri berbeza, selain meningkatkan sektor pelancongan.

6.   Membina masyarakat yang maju dan saintifik
Mewujudkan masyarakat yang:
§  Memiliki daya perubahan tinggi
§  Menyumbang kepada sains dan teknologi masa depan
§  Mengadakan projek mega, iaitu Koridor Raya Multimedia (MSC) bagi menyediakan masyarakat ke arah negara maju.
§  Program Sekolah Bestari, iaitu setiap sekolah dapat dihubungi oleh Rangkaian Kawasan Tampatan  (LAN) dan menghubungkan Rangkaian Kawasan Meluas (WAN) ke sekolah lain bertujuan untuk melahirkan celik komputer
§  Mata Pelajaran teknologi maklumat unutk peperiksaan SPM) disediakan sebagai langkah mewujudkan lebih banyak sumber tenaga mahir dalam ICT
§  Bidang teknik dan vokasional serta politeknik berteraskan kemahiran ditambah
§  Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (P&P) bagi mempercepatkan usaha kita daripada bergantung pada teknologi luar negara.












7.   Mewujudkan masyarakat dan budaya penyayang
Mewujudkan masyarakat yang mengutamakan buadaya penyayang, iaitu :
§  Kepentingan masyarakat lebih diutamakan
§  Mementingkan kebajikan semua insan
§  Mempunyai sistem kekeluargaan yang kukuh

§  Dalam rancangan ‘Malaysia Hari ini’ di TV3, segmen ‘Jejak Kasih’ diadakan.
§  Hotline 8003040 diadakan untuk membantu mangsa-mangsa penganiayaan.
§  Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga 1955 diluluskan untuk membantu mangsa rumah tangga.
§  Yayasan Penyayang Malaysia (CARE) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menyediakan tempat tinggal dan pembiayaaan untuk anak-anak yatim

8.   Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya
Masyarakat yang :
§  Melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama
§  Perkongsian dalam bidang ekonomi.
§  Tidak wujud pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

§  Tumpuan diberikan kepada pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPBB) agar meningkatkan taraf ekonomi mereka memandangkan kebanyakan Bumiputera merupakan golongan yang ketinggalan dari segi sosioekonomi.

9.   Memupuk dan membina masyarakat makmur
Mewujudkan masyarakat makmur dan mempunyai :
§  Ekonomi berdaya saing
§  Dinamik
§  kental






§  Penggunaan gantian optik oleh Telekom Malaysia untuk memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada masyarakat
§  Sistem LRT (Ligh Railway Transit) dan Monorel diwujudkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat







Dimensi Dasar Wawasan Negara (DWN)

Dimensi baru dasar yang diperkenalkan dalam DWN ialah:

i.              Membangunkan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan.
ii.             Menjana pertumbuhan yang didorong oleh sumber dan kekuatan tempatan melalui pengukuhan pelaburan dalam negeri dan pembangunan keupayaan tempatan di samping penarikan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan ke dalam bidang strategik.
iii.            Menjadikan sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan lebih dinamik melalui penerapan pengetahuan yang tinggi.
iv.           Membasmi kemiskinan di kalangan kelompok kecil miskin di kawasan terpencil, iaitu orang asli dan kumpulan minoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak serta meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup kumpulan berpendapatan 30% terendah.
v.            Mencapai penyertaan Bumiputera yang berkesan dan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30% menjelang 2010.
vi.           Meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi utama.
vii.          Mengorientasikan semula pembangunan sumber manusia bagi menyokong pembentukan masyarakat yang berasaskan pengetahuan. 


Pembentukan Satu Negara Satu Bangsa

Ramai yang beranggapan kewujudan masyarakat pelbagai kaum di negara ini berpunca daripada kolonialisme, tetapi kita perlu menerima realiti bahawa kewujudan rakan-rakan kita daripada kaum lain menambahkan keunikan ini. Peratusan Melayu 55%, Cina 25%, India 8% dan lain-lain etnik ialah 12%. Nisbah kependudukan yang hampir seimbang antara peribumi dan bukan peribumi seperti ini agak sukar ditemui di kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Amerika Syarikat, Kanada, Britain dan sebagainya.

Kita bersatu padu dalam kepelbagaian yang menjadikan masyarakat negara ini bertambah erat, tidak ada budaya lagi yang lebih dominan daripada budaya lain. Amalan saling menghormati dan mengunjung amat terserlah setiap kali musim ‘perayaan’. Bagi memantapkan lagi hubungan sesama kaum, Projek Sekolah Wawasan dilancarkan atas tujuan melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu[13]. Kesepaduan ini jelas dilihat melalui sokongan yang diberikan oleh setiap pihak sama ada kerajaan atau swasta dalam setiap projek atau aktiviti yang dilakukan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan atau latar agama. Contohnya:

i.              Pelayaran solo mengelilingi dunia oleh Dato’ Azhar Mansur.
ii.             Kejayaan M. Magendran dan M. Mohandas mendaki Gunung Everest.
iii.            Penjelajahan Datuk Sharifah Mazlina ke Kutub Utara.






Kejayaan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan negara yang telah, sedang dan akan dilaksanakan berjaya membuahkan kemajuan infrastruktur yang menjadi kebanggaan negara. Contoh infrastruktur mega yang terdapat di Malaysia:

i.              Menara Berkembar Petronas (KLCC)
ii.             Sistem Pengangkutan Aliran Ringan (ERL, STAR-LRT, PUTRA-LRT, Monorel)
iii.            Jambatan Pulau Pinang
iv.           Menara Kuala Lumpur (KL Tower)
v.            Pusat Pentadbiran Putrajaya
vi.           Koridor Raya Multimedia (MSC)
vii.          Litar Antarabangsa Sepang (SIC-F1)
viii.         Kilang Pembuatan Kereta Nasinal (PROTON)
ix.           Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Antaranya termasuklah bangunan tinggi, kemudahan pengangkutan darat, udara dan laut yang canggih, kemudahan sukan dan pusat pengeluaran automobil yang bertaraf dunia. Misalnya, Menara Berkembar Petronas yang mencapai ketinggian 1483 kaki merupakan satu-satunya menara berkembar di dunia. Begitu juga dengan Menara Kuala Lumpur (KL Tower) yang mencapai ketinggian 421 meter dan merupakan menara keempat tertinggi di dunia.

Negara kita juga telah berjaya membina Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang menempatkan hampir semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan persekutuan dengan menggunakan seni bina dan reka bentuk tempatan dan Islam. Putrajaya dibina berkonsepkan ‘Bandaraya Dalam Taman’ yang direkabentuk sebagai sebuah bandaraya bestari yang menggabungkan ciri-ciri teknologi canggih yang mampu menerapkan suasana perubahan-perubahan yang progresif bagi memenuhi matlamat dan aspirasi negara bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Pembinaan pusat seumpama ini bertujuan untuk menjimatkan kos penyewaan bangunan sebelum ini yang menelan beribu-ribu ringgit setiap bulan di Kuala Lumpur di samping melicinkan pentadbiran negara serta menguruskan negara secara berpusat. Sempena Sukan Komanwel 1998, negara telah membina kemudahan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang merupakan antara yang terbaik di dunia[14]. Kemudahan seperti boleh melahirkan jaguh-jaguh sukan negara yang setanding dengan jaguh sukan di negara luar. Contoh lain ialah pembinaan litar perlumbaan yang terletak di Sepang, SIC-Formula 1, yang mula dibina pada akhir bulan September 1997 dan siap pada akhir tahun 1998. Malaysia menjadi tuan rumah pertandingan Formula 1 buat pertama kalinya pada 15 Oktober 1999 sekaligus telah mengharumkan nama negara dan Sepang khususnya di dalam peta pelancongan antarabangsa. Hasilnya negara telah berjaya melahirkan tokoh muda negara dalam sukan bermotor seperti Alex Yong, Sharul Yuzi dan beberapa personaliti lain.

Bagi menghadapi globalisasi dan kemajuan dunia, kita telah berjaya membina Koridor Raya Multimedia (MSC) di Cyberjaya, peringkat nasional dan Asia Tenggara. Penggunaan teknologi maklumat (ICT) adalah perlu untuk kemajuan negara dan ketamadunan bangsa di negara ini.




Negara Perindustrian

Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju.

Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih di pertengahan jalan. Ini kerana, proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

 Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sangat penting. Ia berkait rapat dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran.


Keadilan Ekonomi Dan Sosial

Dalam sebuah negara yang maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir. Penyataan wawasan ini merupakan penegasan semula ke atas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan keseimbangan ekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan di antara bandar dan luar bandar[15].

Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang telah diberikan kepada sesuatu kaum/ golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggap sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidakadilan.


Moral Dan Etika

Konsep negara maju yang ingin dicapai oleh Malaysia bercirikan “ala-Malaysia” iaitu berpegang kepada falsafah moral etika yang tinggi berasaskan kepercayaan kepada agama.

Falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.


Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan

Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara.

Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara.

Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.  


Kesimpulan

Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan (framework of action) bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur.



13.5  PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) dilancarkan  secara rasminya  oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004 bagi membentuk  suatu gerakan nasional secara terancang, sistematik, bersepadu dan berterusan ke arah pembangunan  sebuah negara yang berteraskan nilai-nilai murni dan berintegriti tinggi[16].

Gerakan pemantapan integriti ini melibatkan pelbagai komponen seperti keluarga,komuniti dan masyarakat sivil (pelbagai badan bukan kerajaan) serta sektor-sektor agama, sosiobudaya, ekonomi, politik dan pentadbiran.


Objektif

Objektif umum PIN adalah untuk merealisasikan aspirasi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Objektif-objektif khusus PIN adalah seperti berikut:

i.              Memberi hala tuju serta bimbingan kepada pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.
ii.             Meningkatkan kesedaran ,komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan  integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.
iii.            Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti.
iv.           Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat  dan negara,dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.
v.            Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke -21, khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
Keperluan Pelan Integriti Nasional

Arus pemodenan telah menghakis sedikit sebanyak sistem nilai masyarakat Malaysia. Hakikat ini jelas terlihat dalam:

i.              Sikap tidak bertanggungjawab dan kurang kepekaan sivik, terutamanya di lebuh raya dan jalan raya
ii.             Sikap dan tindakan tidak bertanggungjawab terhadap kemudahan awam dan alam sekitar
iii.            Layanan khidmat kaunter yang kurang mesra pelanggan
iv.           Amalan melompat queue (giliran)

Mentaliti materialistik (suka kepada jalan mudah dan ingin cepat kaya) juga semakin menular dalam budaya masyarakat Malaysia. Mentaliti ini telah mengakibatkan peningkatan gejala rasuah serta penyelewengan dan salah guna kuasa.

Satu kajian mengenai persepsi umum terhadap gejala rasuah Malaysia yang dijalankan pada tahun 2002 mendapati bahawa 15% daripada 7954 responden mengaku telah membabitkan diri secara langsung dalam aktiviti rasuah manakala lebih kurang 20% pula telah menyaksikan aktiviti rasuah secara langsung.


Sasaran PIN 2004-2008

Sasaran PIN yang utama bagi tempoh lima tahun pertama (2004-2008) adalah seperti berikut:

i.              Mengurangkan  gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan.
ii.             Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi.
iii.            Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
iv.           Memantapkan institusi keluarga dan komuniti.
v.            Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat[17].


STRATEGI PELAKSANAAN

PIN mempunyai dua strategi bersifat preventif iaitu:

i.          Menerapkan nilai-nilai murni di kalangan anggota perkhidmatan awam dan rakyat.
ii.          Memantapkan lagi proses kerja untuk mengurangkan peluang bagi rasuah dan penyelewengan berlaku.

Bagi melaksanakan kedua-dua strategi tersebut,kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) dibentuk di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

Objektif JKP di semua peringkat ialah untuk memastikan bahawa jentera pentadbiran Kerajaan bertambah cekap, berdisiplin dan berpegang teguh kepada syarat-syarat keutuhan yang paling tinggi dengan berpandukan nilai-nilai murni.

Bagi meningkatkan integriti dalam sektor swasta Kerajaan telah merumuskan satu kod etika untuk syarikat-syarikat  swasta iaitu Malaysian Code Of Corporate Governance. Kerajaan juga melancarkan satu kod etika bagi wakil rakyat. Antaranya wakil-wakil rakyat dikehendaki mengisytiharkan harta mereka.


Antara Usaha-Usaha Yang Telah Dijalankan Oleh Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Jabatan Perdana Menteri

Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Jabatan Perdana Menteri, merupakan satu jabatan kerajaan yang bertujuan mempertingkatkan perpaduan negara dan integrasi nasional. Visi JPNIN untuk menjadi sebuah agensi kerajaan yang unggul dalam usaha melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, berwawasan dan berdaya maju. Selain itu Misi JPNIN adalah untuk memupuk kesefahaman dan semangat muhibah melalui jaringan dan interaksi sosial ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan beridentiti nasional. Objektif umum JPNIN memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara[18].

Terdapat banyak program yang dianjurkan oleh JPNIN seperti Seminar Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, Mesyuarat PANEL Penasihat Perpaduan, Lawatan Integrasi Sempena Keputeraan yang Di Pertuan Agong dan sebagainya. Antara objektif seminar tersebut ialah:

i.              Memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia tentang perpaduan negara dan integrasi nasional.
ii.             Membincangkan semua aspek; cabaran dan isu berkaitan dengan perpaduan negara dan integrasi nasional.
iii.            Menyediakan forum untuk pertukaran dan perkongsian idea dan pengalaman berkaitan dengan perpaduan negara dan integrasi nasional.
iv.           Membentuk jaringan (network) kepada pakar, penyelidik dan pengamal dari dalam dan luar negara dalam bidang perpaduan negara dan integrasi nasional.
v.            Mengenalpasti program pemekaan perpaduan yang boleh dilaksanakan oleh JPNIN.
vi.           Menyediakan Pelan Tindakan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, 2006-2010[19]

Antara pembentangan yang dibincangkan di dalam mesyuarat ialah:

i.              Pelan Tindakan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Lima Tahun (2006-2010)
ii.             Pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Negeri (JKPPN)
iii.            Laporan Jawatankuasa Kerja Panel oleh Pengerusi- Pengerusi Jawatankuasa
iv.           Laporan Resolusi Konvensyen Rukun Tetangga di Kepala Batas, Pulau Pinang.
v.            Program Rakan Muda – Jiran Muda


JPNIN juga telah dijemput untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti dan program Karnival Kejiranan yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Karnival Kejiranan 2005 yang telah diadakan di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada 12 dan 13 Mac 2005. Pengisian program adalah pameran, persembahan kebudayaan, sukan lasak, permainan tradisional dan sebagainya. Gerai-gerai pameran ini mempamerkan hasil-hasil kerja tangan dan aktiviti program yang telah berjaya dilaksanakan di peringkat kawasan masing-masing. Secara keseluruhannya, semua program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim diantara setiap kaum dengan bersama-sama menyertai aktiviti yang telah disediakan. Oleh yang demikian, interaksi setiap kaum dapat diwujudkan.




RUJUKAN


1.        Malaysia Kita (2004), ILBS.

2.            Goay Teck Chong & Wong Yew Hong (2005), Pra-U: Pengajian Am Kertas 1, Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

3.            Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997), Kenegaraan Malaysia, Serdang: Penerbit UPM.

4.            Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

5.            Ruslan Zainudin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman, Kenegaraan Malaysia, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

6.            Institut Integriti Malaysia (2004), Pelan Integriti Nasional, Kuala Lumpur.




[1] Mardiana Nordin & Hasnah Hussien,Pengajian Malaysia ,Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2004,Shah Alam Hal 175.
[2] Mardiana Nordin& Hasnah Hussin,Pengajian Malaysia,Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. Hal 271

[3] Ibid Hal 272
[4] Ruslan Zainudin, Mohd Mahadee Ismail,Zaini Othman,Kenegaraan Malaysia,Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd,Hal 299.
[5]Asnarulkhadi Abu Samah,Jayum A.Jawan,Kenegaraan Malaysia,Penerbit UPM,Hal 214.
[6] Ibid Hal 216
[7] Ibid Hal 216
[8] Ibid Hal 216
[9] Ibid Hal 217
[10] Ibid Hal 218
[11] Ibid Hal 217.
[12] Ruslan Zainudin,Mohd Mahadee Ismail,Zaini Othman,Kenegaraan Malaysia,Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd, Hal 322.
[13] Ibid, Hal 328.
[14] Ibid, Hal 326.
[15] Ibid, Hal 327
[16] Institut Integriti Malaysia,Pelan Integriti Nasional, Kuala Lumpur,2004,Hal 2
[17] Ibid,Hal 3.
[18] Ibid,Hal 3.
[19] Ibid,Hal 4

No comments:

Post a Comment