Friday 19 September 2014

BAB 8 : STRUKTUR PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

PENGENALAN

Sistem pentadbiran kerajaan Malaysia telah terbentuk sejak zaman Pra sejarah. Pada masa ini, segala aspek pemerintahan dan pentadbiran negara ditentukan oleh masyarakat Melayu tanpa adanya pengaruh daripada luar. Contohnya pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Setelah kedatangan British, pada abad ke-19, berlaku perubahan yang amat ketara dalam sistem politik dan pentadbiran negara.

Setiap badan pemerintah ini memainkan peranan penting iaitu badan eksekutif sebagai pelaksana, badan perundangan sebagai penggubal undang-undang dan badan kehakiman sebagai penegak, pengadil dan penafsir undang-undang untuk keadilan.


HASIL PEMBELAJARAN


1.            Menyatakan tugas-tugas YDPA dalam badan Eksekutif.

2.            Menyenaraikan keanggotaan Kabinet.

3.            Menjelaskan bidang kuasa Perdana Menteri dalam Kabinet.










8.1 DOKTRIN PENGASINGAN KUASA

Sistem pengasingan kuasa bermaksud badan eksekutif (pentadbiran) menjalankan hal-hal pentadbiran negara, badan legislatif (perundangan) berkuasa membentuk rang undang-undang dan badan judisiari (kehakiman) berkuasa menjalankan kuasa keadilan. Walaupun sistem pengasingan kuasa wujud, tetapi pada hakikatnya pengasingan kuasa tersebut sukar dijalankan sepenuhnya memandangkan setiap badan tersebut mempunyai perkaitan antara satu sama lain.
Rajah di atas menunjukkan doktrin pengasingan kuasa

8.2  YANG DI-PERTUAN AGONG (YDPA)

YDPA dilantik lima tahun sekali daripada kalangan sembilan orang raja Melayu yang dipilih oleh Majlis Raja-raja. Antara tugas YDPA ialah:
i.              Bidang kuasa Eksekutif (pentadbiran)
ii.             Bidang kuasa Legislatif (Perundangan),
iii.            Bidang kuasa Judisiari (Kehakiman),
iv.           Kuasa budi bicara,
v.            Tugas-tugas lain

Dalam badan ini, YDPA bertindak sebagai Ketua Negara  berkuasa untuk:
i.              Memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan membubar Parlimen,
ii.             Meluluskan Rang Undang-undang.

Walaubagaimanapun, terdapat perkara yang tidak boleh dilakukan oleh YDPA menurut Perkara 34, Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu:

i.              Baginda tidak boleh menjalankan tugasnya sebagai raja di negeri baginda, kecuali tugas-tugas baginda sebagai ketua agama Islam.
ii.             Baginda tidak boleh memegang sesuatu jawatan yang baginda ada apa-apa saraan.
iii.            Baginda tidak boleh mengambil bahagian yang aktif dalam apa juga perusahaan.

Selain itu, Baginda juga bertindak sebagai Ketua Negara atau Ketua Persekutuan dan mempunyai beberapa peranan penting berkaitan dengan badan eksekutif (Jemaah Menteri). YDPA memainkan empat peranan utama iaitu:

i.              Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan - YDPA bertindak sebagai punca kuasa eksekutif. Bermakna segala urusan kerajaan dijalankan atas nama baginda. Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan baginda mesti bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau atas nasihat seorang menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri. Perkara 40(1[a]) Perlembagaan Persekutuan (pindaan perlembagaan) memperuntukkan bahawa baginda mesti bertindak atas nasihat yang diberikan.
ii.             Perkara 40(2)a Perlembagaan Persekutuan - memperuntukkan kuasa budi bicara baginda untuk melantik Perdana Menteri. Tetapi baginda dikehendaki mengikut kebiasaaan peraturan demokrasi berparlimen. Perlantikan tersebut hendaklah di kalangan ahli Dewan Rakyat dan merupakan ketua parti yang telah memenangi pilihanraya Parlimen sebelum ini.
iii.            Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan - memberi kuasa kepada baginda untuk melantik Jemaah Menteri dan Perkara 43(2) menyatakan susunan yang patut diikuti Baginda dalam hal tersebut iaitu, melantik seorang Perdana Menteri terdahulu (43[a]), kemudian barulah melantik anggota Jemaah Menteri atas nasihat Perdana Menteri.
iv.           Perkara 40(2)b Perlembagan Persekutuan - memperuntukkan kuasa budi bicara kepada baginda untuk mempersetujui atau tidak permintaan untuk membubarkan Parlimen.  


8.3  KUASA EKSEKUTIF (PENTADBIRAN)
                            
Di Malaysia, kuasa eksekutif dijalankan oleh pentadbiran peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.

8.3.1 Sejarah

Sejarah pengenalan Jemaah Menteri bermula pada tahun 1951 melalui penubuhan kabinet mini yang dinamakan Sistem Ahli (Member System). Penubuhan sistem ahli ini adalah hasil usaha Dato’ Onn Ja’afar supaya orang tempatan terlibat dalam pentadbiran koloni sebagai langkah untuk menuju kemerdekaan dan pemerintahan sendiri.[1] Dalam sistem ahli, seseorang yang dilantik adalah ibarat seorang menteri kerana beliau memainkan peranan yang sama. Beberapa buah jabatan akan diletak di bawah kawalan seorang ahli.

Oleh kerana Sistem Ahli diwujudkan di bawah pemerintahan penjajah dan bukannya bagi sebuah negara merdeka, maka semua ahli bertanggungjawab secara langsung kepada Pesuruhjaya Tinggi British. Sistem Ahli ini berakhir pada Ogos 1955 apabila pilihanraya umum pertama diadakan pada bulan Ogos 1955. Selepas piliharaya 1955, sebuah kerajaan baru telah dibentuk di mana Parti Perikatan (antara UMNO, MCA, MIC) telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dilantik sebagai Ketua Menteri[2] dan seiring dengan itu lahir pula sebuah kabinet moden pramerdeka.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama dan kabinet yang dibentuk pada ketika itu merupakan kabinet pertama selepas Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan. Seterusnya, sistem kabinet ini berlanjutan sehingga ke hari ini.

8.3.2 Perlantikan Kabinet / Jemaah Menteri Kini

Kabinet atau Jemaah Menteri adalah sebuah badan yang melaksanakan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong. Dasar atau polisi kabinet adalah tugas yang dilaksanakan oleh jentera pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan atau Kerajaan Pusat.[3] Kabinet ini akan mengandungi seorang Perdana Menteri dan beberapa orang menteri yang bertanggungjawab ke atas kementerian (portfolio) masing-masing.

Namun begitu, ada juga menteri-menteri yang memegang lebih daripada satu portfolio.[4] Misalnya Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang secara serentak jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Dalam Perlembagaan memperuntukkan perlantikan ahli Jemaah Menteri iaitu:
i.          Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ahli-ahli Jemaah Menteri dilantik oleh YDPA untuk menasihati baginda dalam menjalankan tugas-tugasnya.
ii.         Perkara 43(2[a]) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan YDPA dikehendaki melantik terlebih dahulu seorang Perdana Menteri yang pada pendapat baginda akan mendapat sokongan majoriti di Parlimen (Dewan Rakyat). Perdana Menteri akan mengetuai Jemaah Menteri yang akan dilantik oleh baginda kemudiannya.
iii.        Perkara 43(2[b]) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa baginda akan melantik menteri-menteri dari kedua-kedua Dewan (Rakyat dan Negara) atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam konteks Demokrasi Berparlimen, ahli-ahli Jemaah Menteri bertanggungjawab bersama di atas segala keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri (Kabinet). Keadaan ini membawa maksud bahawa walaupun seorang menteri itu tidak bersetuju dengan keputusan jemaah, beliau tetap dikehendaki bersetuju dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh jemaah tersebut. Dan adalah melanggar etika jawatannya sekiranya seorang ahli jemaah itu membantah secara terbuka.

Dalam perjalanan sistem jemaah menteri juga, peranan menteri-menteri adalah penting kerana seorang menteri merupakan pembawa usul atau rang undang-undang kerajaan. Oleh itu, seorang menteri itu akan merujuk kepada jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat sebelum rang undang-undang itu diusulkan di Parlimen.[5] Bagi membantu menteri-menteri melaksanakan tugas masing-masing, Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa YDPA akan melantik timbalan-timbalan menteri atas nasihat Perdana Menteri. Tugas timbalan menteri adalah untuk membantu menteri. Bagi melaksanakan tugas-tugas Jemaah Menteri juga, seorang setiausaha parlimen dilantik oleh Perdana Menteri mengikut Perkara 43B(1) Perlembagaan Persekutuan. Tugasnya adalah untuk membantu menteri dan timbalan menteri dan semasa menjalankan tugas ini, mereka mempunyai kuasa yang penuh sebagai seorang menteri dan timbalan menteri mengikut Perkara 43B(2) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Perdana Menteri juga diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang setiausaha politik yang tidak semestinya daripada kalangan ahli mana-mana dewan Parlimen. Mesyuarat Kabinet atau Jemaah Menteri diadakan seminggu sekali iaitu pada hari Rabu.


8.3.3  Perdana Menteri

Ketua Jemaah Menteri

Perdana Menteri adalah Ketua Jemaah Menteri. Ini bermakna beliau berkuasa mencalonkan sesiapa sahaja untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ahli kabinet.

Selain itu, Perdana Menteri juga mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan seminggu sekali. Sebagai pengerusi, beliau boleh menentu dan mengawal agenda mesyuarat (apa yang boleh dibincangkan dan batas-batas yang mengawal perbincangan perkara-perkara tertentu). Dalam sistem demokrasi berparlimen yang mempunyai banyak parti berasaskan pelbagai kepentingan, pilihan seorang Perdana Menteri mengenai siapa yang patut dilantik agak terbatas kerana beliau perlu mengimbangkan kepentingan-kepentingan ini.

Walau apa sekalipun cara seorang itu dilantik menganggotai Jemaah Menteri, seorang yang dilantik tetap akan setia kepada Perdana Menteri kerana perlantikan itu merupakan hak atau prerogatifnya. Oleh itu, kuasa dan pengaruh beliau akan bertambah dengan setiap perlantikan.

Ketua Pentadbir Utama

Perdana Menteri juga memainkan peranan sebagai ketua pentadbir utama negara. Ini kerana semua dasar yang diamalkan oleh kerajaan (termasuk kementerian) diturunkan dari pemerintah yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri. Sebagai ketua pentadbir negara, seorang Perdana Menteri memainkan peranan sebagai juru jual penting dasar-dasar dan program-program yang agak mendadak dan menyeluruh, yang bertujuan:

i.              Meningkatkan prestasi perkhidmatan awam
ii.             Mengubah sikap pengawai perkhidmatan awam
iii.            Merapatkan hubungan sektor awam dengan swasta

Antara dasar dan program yang dimaksudkan adalah Dasar Penswastaan. Pensyarikatan Malaysia, Dasar Pandang Ke Timur, dan Penggunaan Perakam Waktu. Bukanlah mudah untuk memperkenalkan dasar dan program yang ditujukan khas untuk mengubah institusi dan sikap di kalangan pegawai perkhidmatan awam yang sudah tertanam sebelum itu. Tetapi kejayaan dan penerimaan dasar dan program itu menunjukkan kebijaksanaan, kualiti kepimpinan dan kewibawaan seorang Perdana Menteri sebagai ketua pentadbir utama negara.


Ketua Parti Pemerintah

Seorang Perdana Menteri sudah semestinya merupakan ketua sebuah parti poltik. Dalam sistem demokrasi yang didokong oleh persaingan parti politik, asas untuk menjadi Perdana Menteri terletak pada kejayaan parti pimpinan beliau memungut kerusi terbanyak dalam pilihanraya umum. Keadaan inilah yang memudahkan tugas Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri. Oleh itu, baginda tidak perlu menggunakan budi bicara, tetapi mematuhi konvensyen dan amalan biasa di mana ketua parti politik yang telah memenangi majoriti kerusi Parlimen dijemput untuk menubuhkan sebuah kerajaan.

Oleh yang demikian, ketua parti UMNO (atau Perikatan[6] yang dipimpin oleh UMNO) dilantik sebagai Perdana Menteri dan dijemput untuk menubuhkan kerajaan.
Semenjak tahun 1957, perlantikan seorang Perdana Menteri berjalan dengan lancar kerana UMNO atau parti Perikatan yang diketuai oleh UMNO telah berjaya memenangi pilihanraya umum Parlimen dengan majoriti yang jelas. Kepelbagaian parti yang menganggotai Barisan Nasional juga memberi batas-batas tertentu kepada seorang Perdana Menteri. Satu daripada batasan ini ialah bahawa seorang Perdana Menteri perlu mengambil kira perwakilan dari semua parti anggota apabila membuat pencalonan untuk mengisi keanggotaan Jemaah Menteri.

Dengan itu, Perdana Menteri tidaklah sebebas yang diingini dan tidak semestinya calon-calon yang dilantik dari kalangan parti anggota adalah yang terbaik. Kebebasan Perdana Menteri untuk memecat seorang menteri yang tidak berkesan juga adalah terikat kepada dasar politik perikatan Barisan Nasional.


Pegawai Diplomatik Utama

Perdana Menteri juga merupakan seorang pegawai diplomatik utama negara. Oleh itu, beliau memainkan peranan seperti berikut :

i.              Hubungan dengan negara luar
Seorang Perdana Menteri menentukan negara mana yang akan mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, termasuk meletak dan menetukan taraf perwakilan di sesuatu negara luar itu.

ii.             Peranan Malaysia di arena antarabangsa
Peranan Malaysia di dalam arena antarabangsa juga ditentukan oleh seorang Perdana Menteri. Tetapi kejayaan Malaysia di arena antarabangsa lebih bergantung kepada personaliti dan kepimpinan seorang Perdana Menteri, bukannya semata-mata ke atas keputusan untuk berbuat demikian.

Negarawan Dan Jurucakap Dunia Membangun
                                                              
Status negarawan adalah satu pengiktirafan dan penghormatan yang paling tinggi bagi dunia politik, di dalam atau luar negara. Bukan semua Perdana Menteri dapat mencapai taraf penghormatan ini. Pada 1950-an dan 1960-an, keadaan agak lebih mudah bagi seorang Perdana Menteri menonjolkan diri mereka kerana isu adalah jelas dan merentasi kebanyakan negara yang dijajahi oleh kuasa asing.
Oleh yang demikian, beberapa Perdana Menteri dari Dunia Ketiga (membangun) menonjol sebagai pejuang kebangsaan dan penentang kuasa penjajah seperti Nehru, Ghandi, Naser, Sukarno, dan Sun Yat Sen. YDPA berkuasa untuk melantik menteri-menteri yang lain atas nasihat Perdana Menteri yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seorang timbalan menteri yang dilantik untuk membantu menteri.

Perdana Menteri
Tempoh
Tahun
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

1955-1957
1957-1970

2
13
Tun Abdul Razak Hussein
1970-1976
6
Tun Hussein Dato’ Onn
1976-1981
5
Tun  Dr . Mahathir Mohamed
1981-2003
22
Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
2003 – 2009
6
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
2009 – kini


Perdana Menteri Malaysia hingga kini


8.4 KOMPONEN PARLIMEN

Parlimen merupakan badan perundangan bagi Malaysia dan kedudukannya terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian 4, Bab 4, Perkara 44-65. Parlimen merupakan satu badan yang menunjukkan sekali lagi tentang kewujudan demokrasi berparlimen melalui pemilihan ahli-ahlinya dalam Dewan Rakyat melalui pilihanraya. Badan ini mempunyai tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Bil.

Dewan Rakyat
Dewan Negara
1.
Syarat kelayakan ahli
21 tahun ke atas
30 tahun keatas                                    
2.
Tempoh jawatan
5 tahun
3 tahun
( 2 penggal= 6 tahun)
3.
Bilangan ahli
222 orang ahli
(mengikut persempadanan tahun 2008)
70 orang
1. 2 orang bagi setiap negeri yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN)
2. 2 orang wakil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang wakil dari Wilayah Persekutuan Putrajaya dan seorang wakil dari Wilayah Persekutuan Labuan  yang dilantik oleh YDPA
3. 40 orang ahli yang dilantik oleh YDPA





Bil.

Dewan Rakyat
Dewan Negara
4.
Sebab-sebab hilang kelayakan





























1.    Gila/tidak sempurna akal
2.    Muflis-yang belum dibebaskan lagi
3.    Pegang jawatan bergaji sepenuh masa dalam perkhidmatan awam
4.    Tidak hadir dalam persidangan Dewan Rakyat selama 6 bulan berturut-turut tanpa izin dari Dewan rakyat
5.    Gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihanraya dalam tempoh yang ditetapkan setelah mengambil bahagian dalam pilihanraya
6.    Sabit kesalahan jenayah dalam mana-mana Mahkamah Persekutuan-penjara tidak kurang 1 tahun, denda tidak kurang RM2000 dan tidak mendapat pengampunan
7.    Memperoleh kewarganegaraan asing secara sukarela dan memberi taat setia kepada Negara itu.
1. Dilucutkan jawatan-dengan sebab.
2.  Meletak jawatan.
5.
Tugas/ bidang kuasa
- tugas Dewan Rakyat-menggubal dan meluluskan Rang Undang-Undang(RU2)
- RU2 kewangan hanya boleh dimulakan perbahasannya di DR.
- tugas DN-membahas RU2 lebih teliti
- Dewan Negara tidak boleh menolak RU2 yang telah diluluskan oleh DR tetapi berkuasa untuk menangguh RU2.
- Penangguhan bagi RU2 kewangan hanya boleh dibuat selama sebulan dan bagi RU2 lain boleh ditangguhkan selama setahun

8.5    BADAN JUDISIARI (KEHAKIMAN)

8.5.1 Kuasa Kehakiman Di Malaysia

Kehakiman merupakan satu badan dalam sistem perundangan. Kuasa kehakiman diperuntukkan dalam perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

 8.5.2 Kebebasan Badan Kehakiman
Kebebasan badan kehakiman dapat dilihat pada kedudukannya yang tidak memihak dan bebas daripada kawalan dua cabang kerajaan yang lain iaitu perundangan dan pentadbiran.

8.5.3 Pelantikan Kehakiman
Pelantikan hakim dibuat oleh YDPA setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja dan mendapat nasihat Perdana Menteri.

 8.5.4 Fungsi Badan Kehakiman
i.      Mentafsir Undang-undang
ii.     Mengadili pendakwaan jenayah
iii.    Mengadili tindakan sivil
iv.   Mendengar rayuan daripada mahkamah bawahan
v.    Pengurusan harta pusaka
vi.   Mengeluarkan waran tangkap
vii.  Menguruskan dan mengadili hal-hal berkaitan hal ehwal keluarga Islam








KESIMPULAN

Oleh yang demikian, kabinet yang terkandung di dalam badan eksekutif memainkan peranan yang sangat penting dan ianya dipengaruhi oleh kepimpinan penyandangnya. Walau bagaimanapun, keberkesanan kepimpinan seorang yang dilantik bergantung kepada ciri-ciri atau sifat peribadi yang dimilikinya. Bak kata pepatah “Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Nama”.

Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong merupakan lambang perpaduan dan kedaulatan negara. Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan baginda sebagai tunggak pemerintahan negara, kuasa kerajaan sebenar terletak pada tangan seorang Perdana Menteri yang merupakan ketua kerajaan.

Perdana Menteri mengetuai Jemaah Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menasihati baginda dalam menjalankan tugas-tugasnya sebagai ketua negara yang diberikan kuasa eksekutif oleh Perlembagaan. Seorang Perdana Menteri memegang jawatan itu selagi beliau mendapat sokongan majoriti di Parlimen.Oleh yang demikian, Perdana Menteri memainkan pelbagai peranan sama ada di dalam mahupun di luar kerajaan. Perjalanan pentadbiran kerajaan bertambah lancar dan teratur dengan peranan yang dimainkan oleh Jemaah Menteri yang terdiri daripada menteri-menteri yang dilantik mewakili portfolio masing-masing.
                                                                                               



RUJUKAN


1.            Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2005), Malaysia Kita: Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan (Sejarah, Pentadbiran & Dasar-dasar Pembangunan, International Law Book Services.

2.            Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997), Kenegaraan Malaysia, Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

3.            Mahdi Shuid & Mohd. Fauzi Yunus (2002), Pengajian Malaysia, Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

4.            Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.





[1] Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (1997), Kenegaraan Malaysia, Penerbit Universiti Putra Malaysia, hlm. 171.
[2] Dahulu dikenali sebagai Ketua Menteri dan sekarang dikenali sebagai Perdana Menteri.
[3] Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2005), Malaysia Kita : Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan (Sejarah, Pentadbiran & Dasar-dasar Pembangunan, International Law Book Services, hlm. 217.
[4] Mahdi Shuid & Mohd. Fauzi Yunus (2002), Pengajian Malaysia, Pearson Malaysia Sdn. Bhd., hlm. 48.
[5] Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., hlm. 85.
[6] Pari Perikatan kini dikenali sebagai Barisan Nasional iaitu gabungan antara Parti UMNO, MCA dan MIC.

No comments:

Post a Comment