Saturday 16 August 2014

BAB 1: MASYARAKAT



PENGENALAN

Pada tahun 1948, seorang pakar antropologi yang bernama J.S. Furnival pernah menulis dan menghuraikan pandangan beliau berhubung masyarakat majmuk. Menurut beliau, masyarakat majmuk merujuk kepada masyarakat campuran yang berbilang bangsa. Namun campuran ini dalam erti kata yang sebenar bergaul, tetapi tidak bercantum. Setiap kumpulan mengamalkan agama dan adat, kebudayaan, bahasa, fahaman dan cara hidupnya sendiri. Masyarakat majmuk ini juga hidup bersebelahan, tetapi terasing dalam satu unit politik. Dari segi ekonomi pula, wujud pembahagian pekerjaan mengikut kaum dan etnik.

Menurut pandangan seorang penulis sejarah, penduduk di Tanah Melayu sebelum merdeka digambarkan sebagai hampir tidak mempunyai sebarang persamaan dalam setiap perkara hidup mereka, melainkan mereka tinggal di dalam sesebuah negara.

HASIL PEMBELAJARAN
1.            Menyatakan definisi masyarakat secara umum dengan merujuk kepada takrifan istilah.
2.            Menyatakan definisi masyarakat majmuk dengan merujuk kepada pendapat tokoh.
3.            Menerangkan teori asal-usul penduduk awal.
4.            Menerangkan ciri-ciri masyarakat majmuk mengikut J.S Furnivall.
5.           Menghuraikan faktor-faktor pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia sama ada dari aspek dalaman dan luaran.
6.            Membincangkan kesan perubahan ke atas masyarakat di Malaysia ekoran daripada kemasukan  imigran ke Tanah Melayu.
7.            Menilai kesan penghijrahan imigran ke atas pembinaan negara bangsa serta dapat mengaitkannya dengan keadaan semasa.

1.1    DEFINISI MASYARAKAT

Masyarakat menurut definisi Kamus Dewan (2005) ialah kumpulan manusia yang hidup bersama-sama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota sesebuah masyarakat. Dalam konteks Malaysia, hubungan harmoni antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh. Masyarakat Malaysia sering disebut sebagai masyarakat majmuk iaitu sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan budaya, agama, bahasa, adat resam dan cara hidup yang tersendiri.

Dari segi sejarahnya, masyarakat Malaysia mempunyai asas kukuh untuk mewujudkan masyarakat berilmu, bermoral dan mendukung cita-cita murni bangsa Malaysia berteraskan konsep negara bangsa. Namun begitu, konsep masyarakat Malaysia tidak boleh disamakan dengan  konsep bangsa Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza, walaupun merujuk kepada satu entiti politik yang sama iaitu Malaysia.

Masyarakat Malaysia adalah konsep yang lebih luas skopnya merujuk kepada satu cita-cita politik, para pemimpin Malaysia bersama-sama masyarakatnya telah menggariskan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 yang berasaskan satu bangsa bersepadu yang dikenali sebagai bangsa Malaysia. Bangsa malaysia itu merupakan satu bangsa idaman yang kita kehendaki berteraskan hubungan etnik yang harmonis.

Dalam usaha memahami konsep negara bangsa terdapat beberapa definisi yang perlu difahami iaitu negara,  bangsa, ras dan etnik. Istilah negara telah diberi takrifan seperti yang dikemukakan oleh sarjana antaranya Harold J.A Laski &  R.A Dahl. Harold J.A Laski (1984), menyatakan negara sebagai satu kelompok masyarakat yang bersatu & mendapat kuasa yang sah disisi undang-undang. Kuasa itu mengatasi kuasa-kuasa lain yang dimiliki oleh orang perseorangan atau kumpulan yang merupakan sebahagian daripada masyarakat itu.[1]

Robert A. Dahl (1983) menyatakan bahawa negara adalah satu sistem politik yang didirikan oleh orang yang mendiami satu wilayah yang tetap dan mempunyai kerajaan yang memerintah wilayah tersebut.

Menerusi  dua takrifan tersebut, maka “negara” dapat diistilahkan sebagai satu unit politik yang mempunyai penduduk yang menetap di satu kawasan atau wilayah dengan memiliki sempadan yang jelas. Penduduk itu pula diperintah oleh sebuah kerajaan yang mempunyai kedaulatan dan diakui sah pemerintahannyan serta berkuasa untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang serta peraturan supaya dipatuhi oleh rakyatnya.

Negara yang cuba diterangkan itu adalah merujuk kepada negara Malaysia yang mempunyai 13 buah negeri serta bentuk pemerintahan persekutuan yang didasari dengan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Etnik boleh didefinisikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik mempunyai erti yang berkaitan rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia.

Seterusnya istilah bangsa pula mempunyai maksud yang lebih luas jika dibandingkan dengan Ras atau Etnik. Contohnya : Merujuk kepada kumpulan masyarakat yang tinggal di satu ruang wilayah yang mempunyai sempadan tetapi masih lagi dalam satu kerajaan yang sama serta mentaati undang-undang yang sama.

Secara keseluruhannya, negara bangsa merujuk kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu tanpa ada pemisahan sama ada dari segi keturunan, kaum, agama, bahasa, budaya, daerah dan lain-lain.

Rakyat yang mendiami kawasan tersebut juga yakin dan percaya kepada sistem pemerintahan dan undang-undang yang dilaksanakan.[ Sebagai contoh di Malaysia, komponen yang membentuk negara bangsa Malaysia ialah negara, bangsa, kerajaan dan Perlembagaan Persekutuan.

1.2       LATARBELAKANG PENDUDUK ASAL


Terdapat beberapa pendapat yang telah memperkatakan tentang keberadaan masyarakat Malaysia yang ada kini. Antara tokoh yang memberi respon terhadap hal ini antaranya adalah Sarasin Bersaudara (1892/93) dan Heine-Geldern (1932) dan Peacock. Beliau berpendapat bahawa orang Melayu:

berasal dari wilayah Yunnan melalui dua gelombang iaitu  Melayu Proto (antara tahun 3000-2500 SM) dan Melayu Deutro (antara tahun 1500 SM-300 M.)”.

Justeru itu, terdapat satu lagi teori yang memperkatakan tentang kelompok penduduk peribumi yang merupakan penduduk asal Malaysia. Hal ini berdasarkan kepada satu teori yang dikemukan oleh Prof. Dr. Wan Hashim Wan Teh (1970-an):

Australopithecus
Pithecanthropus
Neanderthal
“....terdapat tiga fenomena iaitu 1. antara 2 -3 juta tahun dahulu terdapat tiga jenis manusia pr-moden iaitu Australopithecus, Pithecanthropus (homo Erectus) dan Neanderthal pernah  mendiami alam Melayu. 2. Wujud manusia moden di alam Melayu kira-kira 35,000 tahun lalu (dikatakan manusia bertamadun) dan 3. sebelum pleistosen kira-kira 10,000 SM, telah wujud di alam Melayu kehidupan manusia yang tergolong dalam kategori manusia moden”.



Beliau merumuskan, berdasarkan bukti arkeologi, etnologi dan linguistik jelas bercanggah dengan teori migrasi ras Melayu dari utara ke selatan.




1.3       CIRI-CIRI MASYARAKAT MAJMUK

Konsep masyarakat majmuk mula dipelopori oleh seorang pakar antropologi iaitu J.S Furnivall berdasarkan kajian yang dibuatnya di Indonesia dan Burma (Myanmar) pada tahun 1948. Konsep ini digunakan secara khusus untuk merujuk kepada masyarakat tropika yang berada di bawah kuasa penjajah dengan bercirikan perpecahan dan konflik antara kelompok yang berlainan keturunan di bawah satu sistem politik.

Menurut beliau, masyarakat majmuk merujuk kepada masyarakat campuran yang berbilang bangsa. Namun campuran ini dalam erti kata yang sebenar bergaul, tetapi tidak bercantum. Setiap kumpulan mengamalkan agama dan adat, kebudayaan, bahasa, fahaman dan cara hidupnya sendiri. Masyarakat majmuk ini juga hidup bersebelahan, tetapi terasing dalam satu unit politik. Dari segi ekonomi pula, wujud pembahagian pekerjaan mengikut kaum dan etnik.

Menurut pandangan seorang penulis sejarah, penduduk di Tanah Melayu sebelum merdeka digambarkan sebagai hampir tidak mempunyai sebarang persamaan dalam setiap perkara hidup mereka, melainkan mereka tinggal di dalam sesebuah negara.

Dalam konteks memahami kerangka masyarakat Malaysia beberapa konsep perlu diteliti serta difahami untuk memudahkan pemahaman tentang perkara tersebut. Antaranya konsep masyarakat majmuk dan masyarakat pelbagai kaum.

Menurut J.S Furnival, masyarakat majmuk ialah masyarakat yang hidup berdampingan, tetapi berlainan dalam satu entiti politik. Walaupun pendapat Furnival itu mengambil contoh Burma dan Indonesia tetapi sebenarnya perkara yang sama juga turut berlaku di sekitar Tanah Melayu.

Dengan kata lain, pendapat Furnival itu dapat difahami sebagai satu masyarakat yang hidup bersama tetapi tidak bersatu. Setiap kaum mempunyai bahasa, budaya, agama dan nilai pemikiran yang berbeza. Setiap perhubungan itu lebih bersifat ekonomi iaitu dalam urusan jual beli.[3]

Masyarakat pelbagai kaum yang tidak lagi dicirikan oleh perbezaan yang besar di kalangan mereka. Ini bermakna masyarakat kepelbagaian mempunyai ciri-ciri yang berlawanan dengan ciri-ciri masyarakat majmuk.[4]

Ciri-ciri masyarakat majmuk adalah seperti:

i.              Pelbagai jenis manusia
ii.             Bercampur tetapi tidak bersatu
iii.            Berdekatan tetapi berpisah dalam sistem politik yang sama atau penempatan berasingan
iv.           Berpegang kepada budaya, agama, bahasa, idea, dan kaedah sendiri
v.            Bergaul tetapi tidak bercantum
vi.           Pengasingan pekerjaan mengikut kaum

1.4         FAKTOR PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK

1.4.1      PENJAJAHAN BRITISH

Penjajahan British merupakan faktor utama terjadinya masyrakat majmuk di Malaysia dan ia  juga sebenarnya telah mengakibatkan berlakunya perubahan dalam sejarah pentadbiran negara. Semasa British mentadbir Tanah Melayu, pelbagai cara telah dibuat untuk mengubah sistem pemerintahan kerajaan tradisi kepada pemerintahan bercorak barat. British juga telah memperkenalkan sistem ‘Divide & Rule’ iaitu pecah dan perintah yang mana mereka telah membahagikan kawasan mengikut provinsi tertentu kemudian memerintah kawasan tersebut mengikut cara ‘ kesatuan’.

Dasar British ini telah menyebabkab ketiga-tiga kaum itu hidup berpisah antara satu sama lain. Melalui Dasar ini juga British telah menentukan peranan setiap untuk tidak berinteraksi antara kaum tersebut. British tidak mahu tiga kaum utama itu bersatu dan seterusnya akan menentang pihak British.[5]


1.4.2    PERTUMBUHAN PERUSAHAAN GETAH DAN BIJIH TIMAH DI TANAH MELAYU


Perkembangan perusahaan getah dan bijih timah di Tanah Melayu menimbulkan keperluan terhadap tenaga buruh yang ramai. Permintaan yang tinggi terhadap getah dan bijih timah bagi menghasilkan pelbagai jenis barangan serta perkembangan Revolusi Industri di Eropah menyebabkan pihak Inggeris telah memajukan sektor getah dan perlombongan bijih timah. Tambahan pula, harga getah dan bijih timah melambung tinggi di pasaran dunia.

Pembesar Melayu pula telah menemui banyak kawasan lombong bijih timah yang baru menyebabkan mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada orang Melayu yang melombong secara sambilan. Untuk mendapatkan hasil yang banyak dan lumayan, pembesar Melayu telah mendorong kemasukan pelombong Cina dan berpuas hati dengan mengutip komisen dan cukai. Perkembangan ini telah mendorong dan menjadi faktor penarik orang Cina untuk berhijrah ke Tanah Melayu.


1.4.3      KESTABILAN POLITIK TANAH MELAYU


Secara keseluruhannya, hampir semua negeri Melayu berada di bawah jajahan British telah terjamin kestabilan politiknya. Kestabilan politik British ini telah membawa kestabilan ekonomi di Tanah Melayu.

Dasar pemerintahan British yang melaksanakan sistem ekonomi bebas (laissez-faire) telah membuka peluang pekerjaan yang luas dan mendorong perkembangan ekonomi. Bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, banyak sumber tenaga buruh diperlukan untuk memenuhi keperluan pengusaha-pengusaha tempatan dan Eropah. Maka akhirnya, faktor ini telah mendorong kemasukan beramai-ramai buruh dari negara China untuk mengerjakan lombong bijih timah dan ladang getah.

1.4.4      KESUKARAN HIDUP DI INDIA DAN KESENGSARAAN HIDUP DI  NEGARA CHINA


Sekitar abad ke 19, negara China mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat. Keadaan penduduk yang terlalu ramai telah membataskan kegiatan ekonomi masyarakat Cina. Ramai yang tidak  mendapat pekerjaan kerana kawasan pertanian yang terhad serta berlaku ketidakstabilan ekonomi dan politik di China menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi.

Kesengsaraan hidup ini pula ditambah dengan masalah kebuluran dan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan meningkatnya kadar kematian. Ketidaksanggupan untuk menanggung penderitaan ini menyebabkan ramai penduduk di negara China berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Bagi kaum India, kesukaran hidup di India membawa kepada penghijrahan penduduk India ke Tanah Melayu. Keadaan di India yang terletak di bawah penjajahan British telah menimbulkan banyak masalah, terutama dalam kegiatan ekonomi tempatan. Pengenalan undang-undang Inggeris menyebabkan kegiatan perdagangan orang India terbatas dan terpaksa menghadapi saingan dari pedagang Eropah.

Pengenalan sistem milik tanah menyebabkan ramai petani India kehilangan tanah pertanian mereka. Kawasan pertanian semakin terhad dan kejadian bencana alam seperti kemarau telah menjejaskan kegiatan pertanian kerana ramai petani hilang mata pencarian dan sukar mendapatkan bekalan makanan. Lantaran itu, masalah kemiskinan dan kebuluran yang semakin ketara di India. Untuk mengelakkan masalah itu, ramai orang India telah berhijrah ke tempat baru untuk mencari kehidupan dan keadaan yang lebih selesa dan baik. Maka, Tanah melayu merupakan salah satu destinasi utama mereka memandangkan terdapat peluang pekerjaan yang luas di sini.


1.4.5      BENCANA ALAM YANG BERLELUASA


Bencana alam yang sering berlaku di negara China seperti banjir dan kemarau telah merosakkan tanaman mereka. Bencana yang berlaku ini telah menambahkan penderitaan rakyat. Tambahan pula, banyak binatang perosak seperti tikus dan belalang juga turut memusnahkan tanaman. Rakyat bukan sahaja terdesak oleh keadaan yang berlaku dalamm negeri, tetapi ditambah pula oleh bencana di luar kawalan manusia. Sekitar tahun 1900, kemarau yang teruk melanda negara China. Pengalihan aliran Sungai Kuning dan Honan ke Shantung menyebabkan berlaku kejadian banjir besar.


1.4.6      KETIDAKSTABILAN POLITIK DAN EKONOMI DI NEGARA CHINA


Pada zaman pemerintahan Manchu, tercetus pemberontakan yang berleluasa, terutama di kawasan selatan negara China kerana semasa pemerintahan Dinasti Manchu, telah mengenakan cukai yang terlalu tinggi terhadap para petani dan kurang prihatin terhadap masalah rakyat. Kerajaan Manchu menindas para petani dan kurang prihatin terhadap masalah rakyat.

Keadaan bertambah genting apabila berlakunya Pemberontakan Taiping yang tercetus sekitar tahun 1857 di kawasan tengah dan selatan negara China dan diikuti dengan berlakunya Pemberontakan Boxer. Kesan daripada ketidakstabilan politik ini telah mendorong kepada kemerosotan ekonomi negara China.

Keadaan ekonomi  penduduk China bertambah teruk apabila berlakunya kemasukan barang-barang dari Barat terutamanya selepas Perang Candu, menyebabkan ramai orang Cina hilang pekerjaan, terutama di sektor pembuatan, pengangkutan dan perniagaan. Hal ini telah meningkatkan kadar pengangguran dan inflasi di negara China.


1.5       IMPAK KE ATAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA

1.5.1      POLITIK

a.            Fahaman Dan Pengaruh Politik Yang Berbeza

Bagi kaum Cina dan India,mereka lebih pentingkan hal-hal politik yang berlaku di Negara asal mereka berbanding apa yang berlaku di Tanah Melayu. Contohnya pada tahun 1930, pergeseran yang berlaku antara orang Cina dengan Jepun di China telah mendorong masyarakat Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk membantu sanak saudara mereka di sana.[6]

Saluran-saluran informasi yang amat berbeza yang mengekalkan identity kaum, bahasa, dan budaya masing-masing sama ada dalam pendidikan, program agama, akhbar dan persatuan-persatuan sosial.

Perhubungan antara kaum tidak begitu baik kerana wujud jurang dan prasangka yang mendalam antara satu sama lain. Tidak berlaku proses asimilasi antara kaum kerana dasar pecah dan perintah yang di amalkan oleh British.[7]

Orang Melayu pula, sentiasa ingin memastikan hak dan kepentingan mereka sebagai anak jati Tanah Melayu terbela. Ia banyak dizahirkan dan diperjuangkan dalam majalah-majalah seperti Saudara, Pengasuh, Utusan Melayu, Warta Melaya dan Majlis.

Perasaan curiga juga amat menebal dalam diri setiap kaum itu sendiri dan menyebabkan mereka sukar disatukan antara satu sama lain.

1.5.2      EKONOMI

a.         Perbezaan Tumpuan Sektor Ekonomi

Kesan dasar pecah dan perintah, orang Melayu kekal menjadi petani dan nelayan, kaum Cina digalakkan bergiat dalam sektor perdagangan dan perlombongan sementara orang India mengusahakan estet-estet getah dan kelapa. Jadi kaum-kaum ini berjumpa dan berurusan dalam hal-hal yang berkaitan sahaja seperti urusan jual beli dan perkhidmatan kerajaan.

b.            Masalah Ekonomi

Berlaku ketidakseimbangan pendapatan antara ketiga-tiga kaum dan menyebabkan mereka saling mencurigai dan cemburukan kelebihan kaum-kaum lain. Orang Melayu dan penduduk asli yang lain menguasai bidang yang mundur dan berteknologi rendah sehingga menyebabkan banyak buruh Melayu tetapi pulangan / gaji terlalu rendah dan tidak menguntungkan. Ini berbeza dengan kaum-kaum lain.[8]


1.5.3      SOSIAL

a.            Pengasingan Sistem Pendidikan

Wujud sistem pendidikan yang berbeza berdasarkan tiga kaum iaitu Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil. Kaum Melayu dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah vernakular dan sekolah beraliran Inggeris. Namun, sekolah beraliran Inggeris hanya untuk anak-anak bangsawan sahaja.

Sekolah Cina dan Tamil, kebanyakan tenaga pengajarnya diambil dari negara asal masing-masing dan menyebabkan perbezaan kepada sukatan pelajaran. Guru-guru berkenaan banyak meniup semangat cintakan negara asal mereka dan lebih mementingkan pergolakan politik, ekonomi dan sosial di negara sendiri berbanding apa yang berlaku di tanah Melayu. Ia menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat cintakan Tanah Melayu dan tidak terlalu mengambil berat tentang aspek perpaduan dan pendidikan tempatan.[9]

b.            Pemisahan Tempat Tinggal

Ia adalah kesan daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh kerajaan British. Petempatan lebih bercirikan sesuatu kaum yang wujud di Tanah Melayu iaitu kaum Cina, Melayu dan India. Ia memang disengajakan kerana pihak British bimbang kaum-kaum ini akan menentang mereka sekiranya wujud perpaduan diantara ketiga-tiga kaum tersebut, terutamanya dari segi politik dan ekonomi.[10]

Dari segi psikologi, ketiga-tiga kaum ini rasa lebih selamat untuk membina petempatan berhampiran dengan rakan-rakan, saudara-mara sendiri terutama bagi, mendapatkan bantuan semasa kesusahan.

Kaum-kaum ini juga kurang memahami budaya, agama dan adat resam kaum-kaum lain. Ekoran itu, mereka takut untuk berada dalam satu kelompok masyarakat / kawasan tempat tinggal yang sama kerana bimbang akan mencetuskan perselisihan faham.[11]

Kebanyakan orang India tinggal di kawasan perladangan, kaum Cina menetap di kawasan perlombongan, pekan-pekan dan bandar dan kaum Melayu dibiarkan membina petempatan di pesisir pantai, kampong dan kawasan-kawasan pedalaman.
RUJUKAN

1.            Mahdi Shuid et.al, (2005), Pra - U STPM: Sejarah Malaysia, Petaling Jaya: Longman.

2.            Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, (2004), Pengajian Malaysia, Selangor: Fajar Bakti.

3.            Nazaruddin Mohd Jali et.al., (2004) Pengajian Malaysia: Kenegaraan Dan Kewarganegaraan, Selangor: Prentice Hall.

4.            Ruslan Zainuddin et. al., (2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti.




[1] Ruslan Zainuddin et.al.,  (2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti, hlm.3
[2] Ibid.
[3] Nazaruddin Mohd Jali dll, ( 2004) Pengajian Malaysia: Kenegaraan Dan Kewarganegaraan, Prentice Hall: Selangor, hlm. 223
[4]Nota En Hussin (UTM), Masyarakat Majmuk, hlm. 128.
[5] Mahdi Shuid dll, (2005), Pra - U STPM: Sejarah Malaysia, Longman: Petaling Jaya, hlm. 100
[6] Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, (2004), Pengajian Malaysia, Fajar Bakti; Selangor, hlm. 180.
[7] Mahdi Shuid et. al., (2005), Pra - U STPM: Sejarah Malaysia, hlm 102
[8] Ibid, hlm. 180.
[9] Ibid, hlm.179.
[10] Mardiana Nordin& Hasnah Hussiin, 2004, Pengajian Malaysia, hlm. 178.
[11] Ibid.


*Merupakan modul lama (modul 2009) yang menggunakan kod EUA/TUA 3073&4073 
*Modul baru akan di update semula.

No comments:

Post a Comment