Monday 18 August 2014

BAB 3: HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

PENGENALAN

Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang diasaskan oleh hubungan etnik yang positif dan bersifat sinergi telah menarik minat negara luar untuk mengetahui rahsia di sebalik kejayaan ini. Kekuatan hubungan yang terjalin antara etnik ini sebenarnya bukanlah untuk dihuraikan kepada orang luar, tetapi yang penting kepada rakyat Malaysia sendiri.

Sehingga hari ini, kebanyakan negara mahu menjadikan Malaysia sebagai model negara yang dilihat berjaya mempertahankan hubungan pelbagai etnik sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia juga mempunyai pasang-surutnya dalam menangani kemelut konflik hubungan etnik.

HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi hubungan etnik di Malaysia.
2.   Membezakan konsep-konsep yang digunakan dalam pendekatan untuk menyatupadukan masyarakat di Malaysia.
3.           Menghuraikan secara kritis mengenai cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam pembinaan negara bangsa.

3.1    FAKTOR MEMPENGARUHI HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
           
3.1.1     GALAKAN KEPADA PENDUDUK BERHIJRAH

Menempatkan penduduk di satu-satu kawasan boleh menggalakkan  pergaulan dan pertembungan yang lebih kerap antara sesuatu kaum.Antara langkah yang boleh dilakukan untuk membolehkan rakyat negara ini untuk berpindah dari kawasan petempatan tradisi masing-masing seperti:

a.            Menyatukan perkhidmatan awam antara semua negeri di Malaysia. Pegawai kerajaan serta keluarga mereka boleh diarahkan untuk berpindah dan berkhidmat di wilayah-wilayah yang memerlukan khidmat mereka. Selain daripada itu para pegawai ini juga boleh digalakkan untuk menyertai seminar, persidangan dan program latihan di beberapa pusat bandar.[1] Ini adalah untuk menggalakkan para pegawai  ini berjumpa dan berinteraksi antara satu sama lain .

b.            Mewujudkan perkembangan peluang perniagaan yang lebih baik ditempat lain.[2] Langkah ini khusus untuk para peniaga di kawasan mundur atau di kawasan-kawasan luar bandar berhijrah ke kawasan yang lebih maju dalam usaha  untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

c.            Dalam bidang keselamatan pula, pasukan-pasukan keselamatan seperti tentera dan polis dari wilayah-wilayah lain boleh dipindahkan ke wilayah-wilayah tertentu dengan tujuan untuk memenuhi keperluan keselamatan negara.



3.1.2 PENYERAGAMAN SISTEM PENDIDIKAN (MELALUI DASAR-DASAR PELAJARAN)

Semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Fenn–Wu, Undang-Undang Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan beberapa dasar yang lain yang berhubung dengan isi pendidikan berperanan untuk memupuk perpaduan[3]. Penyata  Razak 1956 contohnya mengemukakan cadangan untuk mewujudkan satu sistem pendidikan sahaja iaitu Sistem Pendidikan Kebangsaan[4]  yang tujuannya adalah untuk mewujudkan hubungan etnik yang lebih erat di Malaysia. Dasar-dasar tersebut penting bagi memastikan pengasingan yang wujud dalam sistem pendidikan sebelum ini dapat dimansuh dan digantikan dengan sistem pendidikan yang lebih seragam dan menyeluruh.[5]

3.1.3     PERANAN MEDIA MASSA

Alat-alat media massa seperti radio dan televisyen serta akhbar juga digunakan  untuk mengukuhkan hubungan etnik di negara ini. Pendedahan kepada pelbagai berita, laporan dan dasar kerajaan akan dapat mengurangkan jurang maklumat yang wujud. Ini akan dapat mengurangkan masalah prasangka akibat pelbagai maklumat yang tidak tepat. Selain itu juga media massa penting untuk mengalihkan perhatian kaum  pendatang dari tertumpu kepada maklumat dari negara asal mereka dan  memberi perhatian kepada Tanah Melayu.


3.1.4     INTEGRASI EKONOMI

Integrasi ekonomi juga memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan hubungan etnik di negara ini. Hal ini dilaksanakan melalui dasar-dasar pembangunan  seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan beberapa dasar lagi yang tujuannya adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi yang wujud akibat dasar yang dilaksanakan oleh pihak British pada zaman penjajahan. Dengan terhapusnya perbezaan fungsi ekonomi mengikut kaum, perpaduan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi akan dapat diwujudkan.[6] Dasar-dasar ekonomi juga boleh memastikan pengagihan ekonomi yang tidak seimbang selama ini sehingga mewujudkan perasaan saling mencemburui akan dapat dihapuskan.[7]


3.1.5   PENYATUAN  FAHAMAN POLITIK

Sistem kerajaan campuran yang terdiri dari pelbagai kaum merupakan satu lagi cara untuk menggabungkan fahaman politik antara kaum. Perpaduan politik penting memandangkan penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai kaum. Justeru itu muncul Parti Perikatan, iaitu hasil gabungan UMNO, MCA dan MIC.[8]  Ketiga-ketiga parti ini mewakili tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kesan daripada proses penggabungan ini telah mewujudkan kestabilan dan perpaduan politik dan juga pembangunan negara. Bagi mengukuhkan asas perpaduan politik negara ini struktur perikatan parti UMNO, MCA dan MIC telah diperluaskan dengan penubuhan Barisan Nasional yang mengandungi lebih banyak parti komponen.[9] Menerusi perpaduan politik ini maka, sebarang asas pertikaian dan pertelingkahan dapat dibenteras dan sebuah negara yang aman dan makmur dapat diwujudkan . 

3.2    PENDEKATAN MENYATUPADUKAN MASYARAKAT MALAYSIA

Terdapat empat pendekatan utama dalam usaha untuk menyatupadukan              masyarakat  Malaysia iaitu:


3.2.1   AKULTURASI

Akulturasi merupakan satu proses penyerapan budaya antara kumpulan minoriti dan majoriti.[10] Namun demikian bukan semua aspek kehidupan yang mereka  pelajari tetapi hanyalah melibatkan aspek budaya sahaja. Dengan kata lain, hanya aspek ilmu pengetahuan, kepercayaan, seni lukis, moral dan akhlak, bahasa, undang- undang, adat resam dan lain-lain kemahiran yang dipelajari.[11]

Sebagai contoh, amalan pemberian sampul berisi wang (angpou) dalam masyarakat Melayu, Orang Cina dan India sudah boleh berbaju  kurung, berbaju Melayu dan berkebaya. Mereka pandai makan menggunakan tangan, makan nasi lemak, menari tarian-tarian Melayu seperti Mak Yong dan Kuda Kepang, menyaksikan wayang kulit dan mempelajari seni silat.

Memandangkan proses ini berlaku secara berterusan maka kita dapat membezakan antara orang Cina Malaysia dengan orang Cina dari tanah besar China. Sama juga kita dapat membezakan antara orang India Malaysia  dan orang India dari negara India. Walaupun mereka banyak terpengaruh dengan budaya kaum Melayu tetapi mereka masih dianggap sebagai orang Cina dan India kerana mereka masih mengekalkan identiti asal mereka.


3.2.2.  DIFUSI

Difusi adalah suatu proses penyebaran unsur-unsur kebudayaan dari satu individu kepada individu lain dan dari masyarakat kepada masyarakat yang lain.[12] Proses difusi terbahagi kepada dua jenis iaitu:

            a.         Difusi antara anggota dalam masyarakat (intra – society diffusion)
            b.         Difusi antara masyarakat (inter – society diffusion

Terdapat beberapa faktor yang membantu kejayaan difusi di antara anggota masyarakat iaitu:

i.              Unsur baru yang disebarkan adalah berguna. Sekiranya unsur baru itu tidak berguna maka ia akan gagal untuk disebarkan. Contohnya teknologi menorah getah lebih mudah disebarkan di kampung-kampung berbanding teknologi lif. Ini kerana teknologi lif tidak berguna kepada penduduk kampung.
ii.        Individu yang menyebarkan unsur baru mempunyai peranan sosial dan kedudukan tinggi. Sekiranya individu yang menyebarkan unsur baru itu kedudukan sosialnya rendah maka difusi tidak akan berjaya. Contohnya pegawai pertanian dan pegawai MARDI lebih mudah menyebarkan penemuan-penemuan teknologi baru berbanding orang awam.
iii.            Peranan pihak kerajaan samada menyokong atau menyekat penyebaran       sesuatu unsur baru. Contohnya penyebaran ajaran sesat di Malaysia tidak berjaya kerana ia disekat oleh pihak kerajaan.
iv.           Unsur baru yang disebarkan tidak bercanggah dengan fungsi unsur lama memudahkan kejayaan difusi. Jika disebaliknya maka difusi akan gagal.

Faktor- faktor kejayaan difusi di antara masyarakat ialah:

i.         Wujudnya hubungan kuat antara masyarakat memudahkan difusi ini tersebar. Tetapi sekiranya hubungan antara masyarakat lemah maka difusi tidak akan berjaya.
ii.         Sekiranya unsur baru yang disebarkan berguna kepada masyarakat maka difusi akan berjaya. Tetapi sekiranya tidak berguna maka difusi  gagal.
iii.      Masyarakat yang menyebarkan unsur-unsur baru berperanan atau tidak dalam unsur-unsur yang disebarkan. Contohnya masyarakat Jepun lebih senang menyebarkan teknologi industri ke negara Asia kerana mereka memang terkenal dalam bidang tersebut.
iv.       Wujudnya unsur paksaan atau tidak. Contohnya kerajaan boleh  memaksa setiap penduduk membuat My-Card tetapi tidak memaksa mereka menggunakan kad kredit.



3.2.3   ASIMILASI

Asimilasi ialah satu proses percantuman dan penyatuan di antara kelompok atau individu yang berlainan kebudayaan sehingga membentuk satu kelompok  dengan kebudayaan dan identiti yang sama.Ia berkaitan dengan penyerapan sehala individu atau kelompok ke dalam kelompok lain.[13]




Asimilasi juga merupakan satu proses percampuran kumpulan-kumpulan  minoriti ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.[14]

Faktor kejayaan proses asimilasi ialah:

i.          Kelompok minoriti sanggup membuang identiti mereka dan menerima identitikelompok majoriti. Contohnya orang Cina di  Kelantan.
ii.      Kelompok majoriti sanggup menerima kelompok minoriti dalam kehidupan mereka. Contohnya orang Jawa di Selangor.
iii.        Saiz kelompok majoriti dan minoriti tidak sama. Sekiranya saiz          kelompok majoriti  lebih  besar  maka  mudahlah berlaku  asimilasi. Jika  sebaliknya maka sukar asimilasi berlaku.
iv.        Berlaku amalgamasi (perkahwinan campur) akan memudahkan dan mempercepatkan proses asimilasi. Contohnya perkahwinan antara kaum India dan Melayu.



3.2.4   INTEGRASI

Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial, ekonomi dan  petempatan dalam sesebuah unit politik.[15] 

Proses integrasi banyak melibatkan penyatuan aspek fizikal, sosial, ekonomi, politik   serta melibatkan penyatuan biologikal iaitu perkahwinan campur. Proses ini lebih   menekankan ikatan batin iaitu ikatan perasaan, hati dan pemikiran sesama manusia   yang akan melahirkan identiti nasional di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.

Integrasi merupakan proses penyatuan kelompok yang berlainan atarbelakang menjadi sebuah masyarakat yang terikat dengan norma (kebiasaan) dan nilai serta kepentingan bersama.

Keseluruhannya, proses integrasi dapat dikatakan sebagai satu proses yang membentuk sebuah masyarakat yang hidup aman damai secara bersama, berasa kepentingan antara satu sama lain, boleh berkerjasama dalam pelbagai lapangan, bersedia untuk berkongsi hidup dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan bersama.[16] Integrasi tidak akan berjaya sekiranya wujud perasaan kekitaan dan kesukuan dalam setiap anggota masyarakat

 3.3    CABARAN PEMBINAAN NEGARA BANGSA

3.3.1   PERPADUAN

a.            Pemasyarakatan Dan Pemasyarakatan Semula

Corak pemasyarakatan dan pemasyarakatan semula di kalangan pelbagai kaum di Malaysia sebelum ini lebih menumpu kepada budaya sendiri sahaja. justeru usaha kerajaan ialah memastikan setiap anggota sesuatu kelompok didedahkan dengan seluas-luasnya kepada cara hidup, keadaan hidup, dan masalah hidup kaum-kaum lain.[17]

Anggota-anggota setiap institusi sosial seperti pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan serta agensi-agensi formal dan tidak formal telah sama-sama menggiatkan usaha-usaha pemasyarakatan dan pemasyarakatan semula ahli-ahlinya bagi tujuan yang sama.

Melalui kurikulum dan juga ko-kurikulum di sekolah dan juga universiti generasi muda dapat berdamping dengan kaum lain. Begitu juga keadaannya dengan program Rukun Tetangga.

b.            Pengurangan Identifikasi Kelompok

Pengurangan identifikasi kelompok di kalangan penduduk tempatan telah digalakkan. Melaluinya darjah keterbukaan diri terhadap kumpulan dan budaya lain dapat dipertingkatkan. Sedikit sebanyak strategi yang diatur dapat dilaksanakan, di antaranya melalui pertubuhan dan juga kegiatan sukan yang melibatkan semua kaum.


c.            Pengurangan Tuntutan Kumpulan

Ada sesetengah kumpulan kaum di negara ini yang menyuarakan tuntutan-tuntutan yang boleh menimbulkan konflik dan tidak selari dengan matlamat pembangunan negara.

Pengurangan tuntutan-tuntutan ini dilakukan sekalipun ini bererti pengorbanan demi untuk memupuk toleransi dan hubungan yang akrab antara kumpulan. Usaha-usaha seperti penggabungan parti-parti politik ke dalam satu badan   (seperti Barisan Nasional) merupakan di antara usaha kearah ini.[18]


d.            Pengwujudan Hubungan Kohesif

Hubungan kohesif antara kumpulan-kumpulan etnik di negara kita dipupuk dari  semasa ke semasa bagi memastikan setiap kumpulan dapat memahami kumpulan-kumpulan lain dengan lebih mendalam.

Perlaksanaan dasar mengenai hal tertentu seperti perumahan, perniagaan dan sebagainya menggunalkan strategi yang mendorong perdampingan individu pelbagai etnik.[19]


3.3.2   PENGAGIHAN KEKAYAAN

Melalui Dasar Ekonomi Baru kerajaan telah mengadakan usaha-usaha ke arah memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Kerajaan bukan sahaja ingin mengurangkan jurang perbezaan pendapatan, bahkan tumpuan utamanya ialah ke arah pengurusan semula corak gunatenaga dan hakmilik agar semua kaum akan dapat menikmati faedah-faedah dari proses membangun.[20]

Antara strategi yang telah dilaksanakan adalah seperti memodenkan kawasan luar bandar bagi meninggikan daya  pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin.  Kedua, membangunkan masyarakat  bumiputera dalam sektor perdagangan dan industri supaya setanding dengan bukan bumiputera dalam kegiatan ekonomi moden termasuklah menambahkan hakmilik bumiputera dalam pemilikan saham dalam sektor syarikat dan yang ketiga, menyusun semula corak gunatenaga mengikut sektor dan jenis pekerjaan secara berperingkat melalui pertumbuhan ekonomi supaya dapat mencerminkan susunan kaum.[21]   
           
Strategi perindustrian untuk menyusun semula masyarakat dalam konteks ekonomi yang berkembang memberi keutamaan kepada usaha-usaha menggalakkan tenaga buruh yang banyak, penyertaan orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain dalam semua peringkat pengurusan dan pengeluaran, perkongsian modal dan lain-lain kegiatan ekonomi berasaskan sumber alam tempatan, perusahaan berorientasikan eksport dan galakan penempatan perusaan-perusahaan di negeri-negeri yang kurang maju.[22]


3.3.3   JATI DIRI

Jati diri bertujuan untuk mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat Malaysia yang unggul berasaskan muafakat dan yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun. Untuk itu, Malaysia membangun dengan tidak meniru negara-negara maju tetapi mengikut acuan sendiri.[23]    


3.3.4  IDENTITI NASIONAL 

Identiti nasional bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adab, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan  mereka kepada negara.[24]   

Antara strategi yang dilaksanakan ialah program ‘citrawarna’ yang diadakan setiap tahun menonjolkan kebudayaan negeri-negeri berbeza, selain meningkatkan sektor pelancongan negara.[25]

 RUJUKAN


1.            Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.     Mahdi Shuid dan Mohd Fauzi Yunus (2004), Pengajian Malaysia, Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

3.            Malaysia Kita (2004) Petaling Jaya: International Law Book Services.

4.            Ruslan Zainuddin et.al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

5.            Konsep-konsep Asas Sosiologi.

6.            Nazaruddin Hj. Mohd Jali et. al. (2004), Pengajian Malaysia, Petaling Jaya: Prentice Hall.

7.           Yusof Ismail & Khayati Ibrahim, Dasar-dasar Kerajaan Malaysia, Kuala Lumpur: A.S. Nordeen.

8.            Dasar-dasar Pembangunan  Malaysia (1997), Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.




[1] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin ( 2004 ) , Pengajian Malaysia ,  Shah Alam ,  Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd ,  hal  181.
[2] Ibid ; hal  181
[3] Ibid ; hal  182
[4] Mahdi Shuid dan Mohd Fauzi Yunus ( 2004 ) , Pengajian Malaysia , Petaling Jaya ,  Pearson Malaysia  Sdn Bhd ,   hal  94 .
[5] Mardiana  Nordin dan Hasnah Hussin , Pengajian Malaysia ,  hal  182.
[6] Malaysia Kita ,  ( 2004 ) Petaling Jaya , International Law Book Services ,  hal  470
[7] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin , Pengajian Malaysia , hal 182 .
[8] Ibid ; hal 182 .
[9] Malayia Kita ,  hal  471.
[10] Ruslan Zainuddin et.al, ( 2005 ), Kenegaraan Malaysia , Shah Alam : Fajar Bakti Sdn. Bhd. hal.45
[11] Ibid ; hal.45
[12] Konsep – konsep Asas Sosiologi, hal.113
[13] Ibid ; hal 117
[14] Ruslan Zainuddin et.al ( 2005 ) , Kenegaraan Malaysia , Shah Alam : Fajar Bakti Sdn. Bhd. hal.44
[15] Ibid ; hal.43
[16] Ibid ; hal.45
[17] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et. Al, (2004), Pengajian Malaysia, Petaling Jaya : Prentice Hall. Hal. 239



[18] Ibid.; hal. 240
[19] Ibid; hal. 240
[20] Yusof Ismail & Khayati Ibrahim, Dasar-dasar Kerajaan Malaysia , Kuala Lumpur : A.S. Nordeen. Hal
[21] Ibid., hal. 29
[22] Ibid., hal. 29
[23] Mardiana Nordin & Hasnah Hussein, (2004), Pengajian Malaysia , Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd. hal. 230
[24] _______________(1997), Dasar-dasar Pembangunan  Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. hal. 10
[25] Ruslan Zainudin et. Al, (2004), Kenegaraan Malaysia , Shah Alam : Fajar bakti Sdn. Bhd. hal. 323

No comments:

Post a Comment