PENGENALAN
HASIL PEMBELAJARAN
1.
Menyatakan dan menghuraikan
faktor-faktor pembentukan Malaysia .
2.
Menjelaskan reaksi
negara-negara jiran terhadap penubuhan Malaysia .
3.
Menerangkan proses-proses
pembentukan Malaysia .
4.
Membincangkan sebab-sebab
pemisahan Singapura daripada Malaysia .
6.1 FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA
6.1.1 MENGELAKKAN ANCAMAN DAN
PENGARUH KOMUNIS
Pengaruh komunis yang semakin meluas
di Asia Tenggara, terutama Singapura membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah
Melayu. Pengaruh komunis mula menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah
Singapura sejak tahun 1959, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan
Yew. Kegiatan dan pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP
berhaluan kiri menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.
Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil
Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim
dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan
ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan
dikuasai oleh pihak komunis dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah
Melayu. Oleh itu, Tunku berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat
pengaruh komunis daripada merebak di Singapura.[1]
6.1.2 MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK,
BRUNEI DAN SINGAPURA
Menerusi penubuhan Persekutuan
Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura akan
mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang dijangkakan. Ini memandangkan
negara-negara berkenaan masih lagi berada di bawah penjajahan British semasa
cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak diletakkkan dalam
status negeri jajahan, manakala Singapura dan Brunei diletakkan sebagai negeri
naungan.
Dalam perancangan penubuhan
Persekutuan Malaysia , Malaysia
akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cuba mencapai kemerdekaan secara berasingan,
besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun
sebaliknya. Jadi, dengan menyertai Malaysia ,
Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh
disegerakan.
Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan
British sebenarnya sedang dalam pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada
tanah-tanah jajahannya. Namun Sabah dan Sarawak
merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk merdeka apatah lagi
untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang kurang memuaskan. Tunku
Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak bercadang untuk memberi
kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan
membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan
mempercepatkan kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat
komunis untuk membentuk tampuk pemerintahannya.
Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan
kepada wilayah tersebut, pihak British khuatir wilayah tersebut akan
dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan British akan hilang kepentingan
ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang. Disamping itu, terdapat juga
pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina dan Indonesia
yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei .
6.1.3 PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI
Melalui Persekutuan Malaysia,
negara-negara anggota akan dapat mengadakan kerjasama ekonomi dan perdagangan
untuk faedah bersama. Secara tidak langsung, negara-negara anggota yang kaya
dengan sumber ekonomi boleh membantu negara-negara anggota yang miskin dan
kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia dapat meningkatkan pembangunan ekonomi,
terutama di Sabah dan Sarawak yang masih belum
maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura dan Brunei
pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini kerana Tanah
Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan sumber
minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi
sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia .
6.1.4 MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK .
Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak
ke dalam Malaysia, nasib penduduk di wilayah ini tidak sama dengan nasib
penduduk di Semenanjung Tanah Melayu, terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan
jawatan dan kegiatan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa
asing. Sebahagian besar penduduk pula terlibat dalam sektor pertanian dan
penggunaan tanah untuk sistem penanaman tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika
kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke dalam Persekutuan Malaysia , Kemungkinan layanan istimewa akan
diberikan kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak
adalah lebih besar. Malahan, kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia .
Sistem perhubungan di kedua-dua
wilayah ini juga daif, infrastrukturnya masih bergantung pada sungai-sungai dan
perjalanan udara. Adalah sukar untuk mewujudkan perhubungan darat secara
besar-besaran. Selain itu, golongan Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga
tidak mendapat layanan yang baik daripada kerajaan British manakala orang-orang
luar yang datang ke wilayah ini diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan,
penguasaan ekonomi, kadar celik huruf dan pengisian jawatan kerajaan lebih
tinggi di kalangan orang luar. Kaum Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi
sangat sedikit dan faktor ini membataskan peluang mereka untuk menjawat
sebarang jawatan dalam kerajaan.
6.1.5 MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA
Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan
pembentukan Malaysia perlu menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah,
Sarawak dan Brunei bukan hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja.
Jika Tanah Melayu dan Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti
penduduk Melayu. Ini kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan
apabila dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan
Melayu akan menjadi golongan terbesar.
Apabila pencantuman berlaku antara
Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan masyarakat Cina akan menjadi 43.5%,
sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini kerana anggaran penduduk Tanah Melayu
pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira 50% dan orang Cina 36.9%. Justeru,
apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bilangan kaum Bumiputera
termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara orang Cina menjadi 42.4%. Ini
bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu dan Bumiputera tidak terancam,
kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan
kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.[2]
6.2 REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN
Terdapat tentangan yang perlu dihadapi dari 2 negara
iaitu Filipina dan Indonesia .
Filipina memprotes pembentukan Malaysia
dan Indonesia pula cuba menghalang pembentukan Malaysia .
6.2.1 FILIPINA
Presiden Macapagal mendakwa Sabah adalah sebahagian
daripada milik negaranya.Jadi, pembentukan Malaysia akan menyulitkan lagi
tuntutan Filipina terhadap Sabah. Filipina terus membantah walaupun rakyat
Sabah memilih untuk menyertai Malaysia .
Filipina kemudianya memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia .
6.2.2 INDONESIA
Presiden Sukarno mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20
Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’.
Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia . Tindakan ini adalah
kerana penubuhan Malaysia
mengancam idea pembentukan empayar Indonesia Raya. Ianya juga merupakan taktik mengalih
perhatian rakyatnya daripada beberapa masalah dalaman.
Dasar konfrantasi Sukarno memuncak dengan
penghantaran Tentera Indonesia
sempadan Sabah dan Sarawak . Tentara Indonesia
juga mendarat di pantai barat Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat
dibendung sehingga rancangan konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun
1965, Sukarno telah digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia ,
Adam Malik membuat perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos
1966.
6.3 PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA
Proses perbincangan dan perundingan
kearah pembentukan Malaysia
ini sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan
dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa tindakan juga
perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati semua pihak.
6.3.1 JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)
Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat
Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah
diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan
Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep
Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat
tersebut.
Penerangan ini didapati telah
mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut
tentang penubuhan Malaysia .
Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia . Jawatankuasa ini
dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan,
sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.
Namun, perwakilan Brunei menganggap
diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa ini
berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk
Sabah, Sarawak dan Brunei .
Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta
pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia . Keterangan-keterangan dan
perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan
pembentukan Malaysia
ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata
sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan
perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu
sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di
Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan
jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu
dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke
Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting.
Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.
6.3.2 SURUHANJAYA COBBOLD
Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara
atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961.
Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini
dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang
berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor
Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili
kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie
sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Kerajaan United Kingdom dan kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan
Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia
yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang
berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran
rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal
ini dan membuat syor-syor setelah
menimbangkan fikiran itu.
Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya
selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April
1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50
perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah
menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain
itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum
daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan
tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600
pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang
dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis
Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan,
pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja
atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat
tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar
penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.
Suruhanjaya Cobbold menamatkan
penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan
penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada
bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada
penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar
daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan
masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada
tiga golongan iaitu:
a.
1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong
penuh penggabungan tanpa syarat
b.
1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan
syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c.
1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan
dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam
pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang
20% sahaja.
6.3.3 JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN
Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat
laporan yang agak memuaskan, tugas untuk merangka syarat-syarat Persekutuan
secara terperinci telah dilakukan oleh sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa
Antara Kerajaan (JAK) yang diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai
Pengerusi, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil
kerajaan British dan wakil-wakil negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.
Jawatankuasa ini telah membentuk satu
perlembagaan khususnya yang melibatkan permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan
memorandum yang diterima daripada parti-parti politik di Sabah dan Sarawak .
Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa
ini menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan
Suruhanjaya Cobbold serta cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan
Perpaduan Malaysia sebagai asas. Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan
oleh kerajaan British pada 9 Julai 1963. Antara perkara yang menjadi teras
utama dalam perlembagaan tersebut ialah :
a.
Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi
seluruh Persekutuan Malaysia ,
kecuali Sabah dan Sarawak .
b.
Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi
Persekutuan Malaysia , tetapi
kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak
untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun
selepas kemasukan ke dalam Persekutuan.
c.
Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada kerajaan negeri
masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan kerajaan pusat. Ini
adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah dan Sarawak
bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara tersebut.
d.
Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga
Majlis Negeri membuat pindaan.
e.
Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen,
manakala Sarawak 16 dan Singapura 15 buah
kerusi.
6.3.4
REFERENDUM SINGAPURA
Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan
penyiasatan oleh Suruhanjaya Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan
suara yang dipanggil Referendum Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan
untuk mengadakan referendum sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk
Singapura untuk mendapatkan kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung
penubuhan Malaysia .
Secara keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat
Singapura menolak penubuhan Malaysia ,
tetapi menerima cadangan ini dengan pendirian mereka yang tertentu.
Kerajaan Singapura membuat keputusan
ini kerana yakin sebahagian besar parti politik di Singapura menyokong cadangan
Malaysia ,
cuma pandangan dan pendirian mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah
tidak wujud, tetapi soal penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara
ini, rakyat Singapura diberi tiga pilihan, iaitu :
a.
Pilihan A – rakyat bersetuju untuk bergabung
dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan
Persekutuan Tanah Melayu melalui Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara
keseluruhan, pilihan ini mendapat 397 626 undi).
b.
Pilihan B – rakyat bersetuju untuk bergabung
tanpa syarat dan kedudukan Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu
lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini
mendapat 9442 undi).
c.
Pilihan C – rakyat bersetuju untuk bergabung
dengan syarat dan faedah yang hampir sama seperti yang diperoleh
wilayah-wilayah Borneo dengan penyertaan ini
(secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).
Referendum Singapura ini telah
diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis dan pihak komunis yang tidak
bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu telah memulau
pungutan suara dengan membuang undi kosong. Namun selepas referendum selesai,
laporan menunjukkan 71% pengundi menyokong pembentukan Malaysia .
Penganalisis sejarah mendakwa sokongan
Singapura ini adalah ekoran kejayaan kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung
tiada kemungkinan taraf kerakyatan mereka akan dilucutkan dengan penggabungan,
perdagangan antarabangsa Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung
dan ancaman komunis akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini.
Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju
untuk menyertai Malaysia
dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh kerajaan Singapura
sendiri.[3]
6.4 PEMISAHAN SINGAPURA
Semenjak Singapura menyertai Malaysia,
banyak perselisihan yang timbul antara kerajaan Singapura dengan kerajaan
Persekutuan di Kuala Lumpur. Perselisihan ini menjadi semakin rumit dan
melibatkan banyak isu yang tiada akhirnya. Malahan tidak mungkin untuk Singapura
terus kekal dalam Malaysia
tanpa suasana tegang yang boleh mencetuskan keganasan. Para pemimpin Malaysia,
terutamanya Tunku Abdul Rahman berpendapat lebih wajar Singapura berpisah
daripada Malaysia sebagai jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis
yang timbul, demi kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan
menghindarkan konflik politik yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah dari
Malaysia
pada Ogos 1965.
6.4.1
FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN SINGAPURA DARI MALAYSIA.
a. Perlembagaan.
Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan
perlembagaan berkisar tentang isu ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia ,
Singapura diberi kuasa untuk memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai
pendapatan. Selain beberapa kekecualian, semua hasil yang dikutip akan
dibahagikan berasaskan 60% untuk Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan
Persekutuan. Oleh sebab beban cukai Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan
pertahanan, akibat konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula
agihan hasil dan Singapura perlu menyerahkan
60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40% seperti yang dipersetujui
sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana mengikut perjanjian Malaysia ,
terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan Disember 1968, kerajaan
Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan Singapura sebelum mengenakan
cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh ditangguhkan, jika sesuatu jenis
cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas Singapura.
Pada bulan Disember 1964, apabila
kerajaan Persekutuan membentangkan belanjawan bagi tahun 1965, terdapat
pelbagai cukai baharu yang dikenakan. Kerajaan Singapura membantah pengenalan
cukai-cukai baharu kerana mereka dikatakan tidak dibawa berunding terlebih
dahulu. Pada akhir bulan Februari 1965, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin
mengarahkan para pengusaha di Singapura berunding dahulu dengan kerajaan
Persekutuan tentang perlindungan tarif, sebelum membuka kilang. Arahan ini menimbulkan
kemarahan para pengusaha di Singapura sehingga mendapat liputan media yang
meluas.
b. Persaingan
Politik Antara PAP dan MCA
Keadaan ini dapat dilihat apabila pada
9 September 1963, Lee kuan Yew telah menyatakan bahawa kegiatan politik PAP
hanya terbatas di Singapura dan PAP tidak bercadang untuk mengambil bahagian
dalam pilihanraya di anah Melayu dalam tempoh lima tahun selepas penyatuan.
Kemudianya, PAP mengubah keputusan itu dan bertanding dalam pilihanraya umum di
Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan
bahawa PAP tidak diperlukan di Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti
perkauman Cina. Penglibatan PAP yang terlalu awal dalam kegiatan politik di
Tanah Melayu juga menjejaskan perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO dengan
MCA. Malahan, PAP dikatakan berminat untuk mengantikan MCA bagi mewakili kaum
Cina dalam Kerajaan Perikatan.
c. Masalah Perkauman
Masalah perkauman ini dapat dilihat
pada hubungan antara UMNO dengan PAP yang menjadi semakin renggang akibat beberapa
peristiwa yang berlaku di Singapura. Setelah menyertai Malaysia , orang Melayu di negeri
itu ‘berasa diri mereka diabaikan’ dan kerajaan Singapura tidak mengambil
tindakan untuk membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan
yang mewakili orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara
itu. Keadaan menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar
Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan masyarakat
Melayu di Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam golongan yang disifatkan
sebagai ‘pelampau’ dalam kerajaan Persekutuan, terutama Syed Jaafar Albar yang
dituduh oleh para pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab menyebabkan tercetusnya
rusuhan kaum di Singapura pada bulan Julai dan September 1964.
Sikap para pemimpin politik di Singapura
yang memperjuangkan konsep Malaysian
Malaysia juga kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini
seolah-olah mengenepikan institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang
Melayu. Pada bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian Solidarity Convention sebagai satu pakatan dikalangan
parti pembankang dengan slogan A
democratic Malaysian Malaysia
untuk menandingi parti Perikatan. Beliau menyeru diwujudkan satu ‘persamaan hak
bagi semua” melalui satu ideologi politik, sosial dan ekonomi yang sama untuk
semua kaum.
Kedudukan negeri-negeri di Tanah
Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin
Singapura. Mereka menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan
taraf ekonomi dan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga
sesetengah pemimpin di Sarawak, Sabah dan
negeri-negeri lain bertindak balas. Memandangkan sebahagian besar pihak
pembangkang terdiri daripada bukan Melayu, keadaan ini seolah-olah mencerminkan
penentangan mereka terhadap orang Melayu yang menguasai kerajaan. Keadaan yang
berlaku bukan lagi berbentuk pertikaian antara PAP dengan UMNO, tetapi lebih
menjurus rebutan kuasa politik antara kaum Melayu dengan bukan Melayu
d. Perbezaan Pendekatan
Parti Perikatan Dan PAP
PAP berhasrat untuk mewujudkan
masyarakat ‘bukan perkauman’ secara serta-merta dan berpendapat konflik timbul
akibat wujudnya dua bentuk masyarakat yang berlainan. PAP berminat untuk berdebat
secara terbuka dalam hampir semua isu politik dan melaksanakan dasar-dasar
baharu dengan segera. Parti Perikatan terutama UMNO merupakan parti yang
dibentuk dengan struktur perkauman berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia
wujud di Malaysia .
Parti Perikatan berpendapat perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum
boleh mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam
menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan
dengan PAP.
Kesimpulan
Hubungan yang tegang antara Singapura
dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya tiba dikemuncaknya menjelang Mei 1965
sehingga menimbulkan kebimbangan Tunku Abdul Rahman yang berpendapat Singapura
perlu disingkirkan dari Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman membuat
pengumuman rasmi di Parlimen dan membentangkan rang undang-undang pemisahan
Singapura. Rang undang-undang tersebut diluluskan dan tiada yang menentang atau
berkecuali dan keputusan itu diambil tanpa dihadiri oleh perwakilan Singapura. Pemisahan
ini menamatkan pertikaian politik yang berlarutan antara kerajaan Persekutuan
dengan kerajaan Singapura. Pertikaian itu jika dibiarkan berterusan boleh
memburukkan lagi keadaan sehingga mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan
darah. Setelah pemisahan Singapura , Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan
Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak . [4]
RUJUKAN
1.
Ruslan Zainudin et. al.(2005), Kenegaraan
Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd.
2.
Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn.
Bhd..
[1] Ruslan Zainudin et. al.(2005), Kenegaraan
Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd., hal 165.
[2] Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn.
Bhd., 2004, hal 65-67.
[3] Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd. , 2004, hal 71-74
[4] Ruslan Zainuddin et.al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn.
Bhd., hal. 174-176.