Friday, 22 August 2014

BAB 4: ZAMAN PENJAJAHAN

PENGENALAN

Tanah Melayu merupakan kawasan yang strategik yang berada di tengah-tengah jalan perdagangan antara timur dan barat. Sumber alam semulajadinya yang melimpah luah seperti rempah, bijih timah dan hasil-hasil hutan menarik minat kuasa asing dari eropah untuk menguasainya. Portugis, Belanda, British dan Jepun adalah kuasa-kuasa asing yang telah menjajah Tanah Melayu dan mengaut hasil bumi Tanah Melayu untuk kepentingan mereka. British merupakan negara penjajah yang paling banyak meninggalkan kesan ke atas sosio budaya  di Tanah Melayu.

Penjajahan di Tanah Melayu bermula apabila Portugis menakluki Melaka pada 1511 sehingga 1641, Belanda pada tahun 1641 sehingga 1824, British pada tahun 1824 sehingga 1957 dan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945.

HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menyata dan menghuraikan faktor-faktor campur tangan British.
2.            Menerangkan reaksi awal masyarakat tempatan terhadap penjajahan British.
3.            Membincangkan kesan penjajahan British di Tanah Melayu.           

4.1    FAKTOR CAMPURTANGAN BRITISH

Secara umumnya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya campur tangan dan perluasan kuasa Inggeris di negeri-negeri Melayu termasuk Sabah dan Sarawak. Antara faktor-faktor tersebut seperti faktor ekonomi, politik dan sosial.


4.1.1  FAKTOR EKONOMI

Pada kurun ke-19, beberapa ciptaan terbaru telah berjaya ditemui yang memerlukan penggunaan bijih timah. Bijih timah amat diperlukan dalam perusahaan mengetin makanan dan minuman.[1] Pelaksanaan dasar imperialisme Barat ini adalah lanjutan kepada perkembangan sistem ekonomi kapitalisme dan pengamalan suatu dasar ekonomi yang dikenali sebagai merkantilisme pada abad ke-16 dan ke-17. Kapitalisme ialah sistem ekonomi yang menggalakan pengumpulan modal, hak milik persendirian, persaingan untuk pasaran dan perniagaan untuk keuntungan. Sementara merkantilisme merupakan sistem yang menjadikan  sesebuah negara kaya dan berkuasa. Dengan kata lain, sistem ini menekankan kekayaan dan kekuasaan sesebuah negara.

Rentetan itu, pihak barat terutamanya British berlumba-lumba melaksanakan dasar imperialisme bagi tujuan menambahkan sumber dan hasil ekonomi mereka.Tanah Melayu amat terkenal dengan kekayaan hasil bumi, ini merupakan sebab utama British ingin menjajah dan menguasai segala punca ekonomi dan mengeksploitasi hasil bumi yang ada. Apa yang jelas ialah pelaksanaan dasar kolonialisme British khasnya ke atas Tanah Melayu bertujuan untuk mendapatkan keperluan bahan mentah dan mengembangkan pasaran dan pelaburan British.


4.1.2  FAKTOR POLITIK

a.         Masalah Yang Berlaku Di  Negeri-Negeri Melayu

Perang saudara antara pembesar-pembesar Melayu dalam merebut takhta dan kawasan. Contohnya di Perak, British mengambil kesempatan ini akibat perebutan takhta kerajaan Perak dan perbalahan antara kumpulan kongsi gelap Cina. [2]

British campur tangan di Selangor kerana mengambil kesempatan dari perbalahan pembesar-pembesar Melayu iaitu antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi yang bersaing untuk menguasai daerah Klang yang kaya dengan Bijih Timah.

b.         Perubahan  Politik Dan Dasar Di Britain

Pihak Barat telah melaksanakan dasar kolonialisme dan imperialismenya dalam usaha mengembangkan pengaruhnya ke seluruh pelusuk dunia. Perkembangan dasar ini adalah hasil daripada perubahan sistem politik, pandangan hidup, dan penciptaan teknologi baru. [3] Semenanjung Tanah Melayu adalah destinasi yang menjadi tumpuan utama pihak Barat terutamanya British kerana  banyak sumber dan hasil bumi yang belum dieksploitasi oleh penduduk tempatan.

Pihak British telah melihat Semenanjung Tanah Melayu sebagai pangkalan utama yang boleh mendatangkan keuntungan besar kepada mereka untuk menyokong perkembangan yang berlaku di dalam negara. Pembukaan Terusan Suez dalam tahun 1869, mempercepatkan urusan perdagangan. Kesan daripada perkembangan ini, kegiatan perdagangan antara Asia dan Benua Eropah semakin meningkat kerana perjalanan yang jauh antara kedua-dua kawasan ini telah dipendekkan. Peningkatan perdagangan ini dapat dilihat daripada pembukaan beberapa pelabuhan yang baru seperti Singapura yang telah menjadi pelabuhan antarabangsa selepas tahun 1870.[4]


c.         Faktor Kebimbangan Campur Tangan Kuasa-Kuasa Asing

Selain British, kuasa Barat lain seperi Perancis, Itali, Jerman, dan Rusia sedang bersaing untuk meluaskan jajahan taklukan masing-masing. Pada tahun 1870-an  kuasa-kuasa asing seperti Itali, Perancis, Jerman dan Rusia bersaing untuk mendapatkan tanah jajahan yang akan dijadikan sebagai pembekal bahan-bahan mentah.

Tanpa pengawalan politik dan campur tangan dalam pentadbiran tempatan, kuasa-kuasa ini boleh masuk dengan mudah melalui persahabatan dan hubungan perekonomian dengan raja-raja Melayu. Justeru itu, campur tangan dianggap jalan terbaik bagi British untuk mengelakkan fenomena ini. [5]


4.1.3     FAKTOR SOSIAL

Penyebaran Agama Kristian

Kuasa  barat juga mempunyai keyakinan yang sama dengan menggunakan ungkapan tugas untuk menyebarkan  dan mengembangkan Agama Kristian di Asia Tenggara dan hasilnya ramai penduduk di tanah jajahan menganut agama ini. [6] (Gold, Gosper, and Glory)
  
4.2    REAKSI AWAL MASYARAKAT TEMPATAN

Sejak kejatuhan kerajaan Melaka, negeri-negeri di Tanah Melayu telah beberapa kali ditawan dan dijajah oleh kuasa asing seperti Portugis, Belanda, British dan Jepun. Rakyat negara ini sentiasa berjuang dalam usaha untuk menghalau penjajah dan memerdekakan Tanah Melayu. Rakyat Tanah Melayu sanggup berjuang dan berkorban nyawa untuk membebaskan tanah air dari kuasa penjajah. Keadaan ini dapat dilihat di negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan yang pernah dinaungi oleh kerajaan Siam tetapi sentiasa melancarkan serangan untuk kebebasan. Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan ini lahir dalam beberapa peringkat dan keadaan iaitu:

i.              Peringkat awal yang berupa penentangan bersenjata dan libatkan pertumpahan darah
ii.             Peringkat keseluruhan yang menglibatkan isu dan media tertentu. [7]


4.2.1   PERINGKAT AWAL PENENTANGAN BERSENJATA MENENTANG PENJAJAH

Penentangan yang tercetus diperingkat awal oleh masyarakat tempatan berjaya dipatahkan oleh kerajaan British. Ini menunjukan lahirnya semangat nasionalisme di kalangan masyarakat tempatan dan penentangan terhadap penjajah untuk menuntut kemerdekaan.


a.            Penentangan Di Naning

Melalui Perjanjian Inggeris - Belanda pada 17 Mac 1824, Malaka diletakkan di bawah kuasa British. British mendakwa Naning merupakan sebahagian daripada wilayah Melaka (Naning terletak di sempadan daripada antara Melaka dan Negeri Sembilan). Gabenor Fullerton berpendapat penduduk Naning perlu membayar 1/10 daripada hasil ekonomi mereka kepada kerajaan British di Melaka. Hal ini mendapat tentangan daripada Dol Said iaitu penghulu Naning.

Perang Naning yang tercetus pada Julai 1831 bermula dengan British menghantar pasukan tentera untuk menangkap Dol Said dan memaksa pengikut-pengikutnya menerima cadangan British tetapi serangan yang pertama British dapat  ditewaskan oleh Dol Said. Pada tahun 1832 Dol Said telah melancarkan serangan kedua dengan mendapat sokongan daripada penduduk Rembau, Sri Menanti, dan Sungai Ujong tetapi juga tewas. Oleh itu pihak British mengisytiharkan Naning sebahagian daripada wilayah Melaka. Pada bulan Februari 1834 Dol Said telah menyerah diri dan dibenarkan menetap di Melaka. [8]


b.            Penentangan Di Selangor

Pada tahun 1849 Penguasa daerah Klang iaitu Raja Sulaiman telah mangkat dan digantikan dengan  Raja Abdullah dengan mengenepikan Raja Mahadi iaitu anak Raja Sulaiman. Hal ini menyebabkan berlakunya permusuhan antara 2 kelompok iaitu kelompok Raja Mahadi dan kelompok Raja Abdullah. Pada tahun 1867, Raja Mahadi berjaya mengusir Raja Abdullah dari Klang.  Apabila Raja Abdullah mangkat, anaknya Raja Ismail pula memusuhi Raja Mahadi.
Dalam tahun 1868 Sultan Selangor telah melantik Tengku Kudin sebagai wizurai Selangor untuk menghentikan permusuhan tersebut. Tengku Kudin telah berpihak kepada Raja Ismail dan telah membantunya merampas semula daerah Klang pada tahun 1870. Pada masa yang sama pihak  British juga turut memberi sokongan kepada Raja Ismail. Walaupun peristiwa di Selangor lebih mirip perang saudara tetapi disebabkan campur tangan British dalam perang tersebut, tentangan daripada Raja Mahadi sudah menampakkan tentangan penduduk tempatan terhadap penjajahan British. [9]


c.            Penentangan Di Perak

Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, telah meletakkan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama di Perak. Sistem Residen tidak mendapat kerjasama daripada Sultan Abdullah dan pembesar Melayu yang lain disebabkan oleh sikap Birch. Ketidakpuasan terhadap Sistem Residen dan sikap peribadi Birch telah membawa kepada komplot antara pembesar Melayu untuk membunuhnya.

Sultan Abdullah dan Raja Ismail telah menghantar senjata kepada Dato Maharajalela dan beliau telah mengarahkan supaya Pandak Indut dan Seputum membunuh Birch. Birch telah berjaya dibunuh di Pasir Salak pada 12 November 1875. Terdapat juga beberapa sebab lain yang menjadi punca penentangan di Perak iaitu:

i.             Kerajaan British dan Birch telah menyekat hak untuk mengutip cukai yang sebelum ini diamalkan oleh pembesar Melayu. Kutipan cukai adalah sumber pendapatan utama pembesar Melayu ketika itu.
ii.             Kerajaan British telah menggunakan Birch untuk memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat penyerahan kuasa kepada kerajaan Inggeris.
iii.     Pembaharuan yang diperkenalkan terlalu mendadak. Contohnya menghapuskan sistem pengabadian iaitu seseorang menjadi hamba pemiutang kerana tidak mampu untuk membayar hutang. Selain itu, Birch juga memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang lari daripada tuannya. Campurtangan dalam adat istiadat orang Melayu juga telah menambahkan kemarahan kepada pembesar Melayu.
iv.           Sikap Birch juga telah menambahkan kemarahan pembesar Melayu. Antaranya seperti Birch telah melaksanakan pembaharuan yang terburu-buru dan tindakannya itu tidak mengambil kira perasaan orang Melayu. Birch juga tidak pandai  berbahasa Melayu dan ini telah menyukarkan beliau untuk berkomunikasi dengan orang Melayu. Selain itu, sikap Birch yang sangat kasar misalnya beliau pernah membakar rumah 2 orang pembesar Perak iaitu Raja Ngah Ibrahim dan Tengku Paling Besar yang berkuasa memungut cukai.


British telah menyerang Pasir Salak pada 15 November 1875 kerana bertindak balas terhadap pembunuhan Birch. Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Pak Indut dan Seputum digantung di Matang pada Januari 1879. Sultan Abdullah dan Raja Ngah Ibrahim didapati bersubahat dan dibuang negeri ke Pulau Seychelles. [10]
  
d.            Penentangan Di Pahang

J.P. Rodger telah dilantik menjadi residen yang pertama di Pahang pada Oktober 1888. Perlantikan itu mendapat tentangan daripada pembesar Melayu. Penentangan diketuai oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.

Terdapat beberapa faktor penentangan iaitu:

i.              Kehilangan Kuasa Dan Keistimewaan Sultan Dan Pembesar Di Pahang

Kerajaan Bitish telah memperkenalkan Undang-Undang Tanah yang menyekat kebebasan Pembesar Melayu. Selain itu, Sistem Kerah dan Hamba Abdi dihapuskan dan Pembesar Melayu pula  tidak boleh menghakimi kes-kes jenayah dan sivil.

British juga menggantikan penghulu-penghulu tradisi dengan pegawai British. Ia menglibatkan Maharajalela Perbai Jelai, Orang Kaya Chenor, Orang Kaya Semantan dan Orang Kaya Termeloh.


ii.            Ketidakpuasan Sultan Ahmad, Dato Bahaman dan Tok Gajah

British telah memaksa Sultan Ahmad  menandatangani surat penyerahan kuasa kepada Tengku Mahmud (digemari British). Selain itu, British juga enggan menambah elaun Dato Bahaman yang sebelum ini hanya berjumlah $70 sahaja. Rayuan Tok Gajah untuk menambahkan elaun bulanan juga tidak dilayan.
  
iii.           Ketidakpuasan Hati Rakyat Pahang

British telah memperkenalkan sistem lesen dan permit kepada masyarakat tempatan yang ingin memungut hasil hutan seperti kayu dan daun rumbia. Rakyat juga dilarang memakai keris yang sebelum ini merupakan pakaian harian mereka. Disamping itu, British telah memperkenalkan cukai tanah dan sistem kerah bagi projek awam dan menglibatkan rakyat tempatan. Denda sebanyak $25 atau penjara tiga bulan boleh dikenakan bagi mereka  yang melanggar arahan kerah.

Rasa tidak puas hati ini telah mencetuskan pemberontakan pada bulan Disember 1891. Pemberontakan ini telah diketuai oleh Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah dan disertai oleh 700 orang pengikut. Pemberontakan ini berakhir apabila Dato Bahaman dan pengikutnya telah ditewaskan pada 1895 dan terpaksa menyerah diri. Dato Bahaman melarikan diri ke Siam manakala Tok Gajah dan Mat Kilau telah membawa diri ke Terengganu. [11]


e.            Penentangan Di Kelantan

Melalui perjanjian Inggeris – Siam (Perjanjian Bangkok), kuasa Siam ke atas Kelantan telah diserahkan kepada British. James Scott Mason telah dilantik menjadi penasihat British yang pertama di Kelantan. Penentangan yang tercetus di Kelantan telah dipimpin oleh seorang pedagang tempatan iaitu Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut).
  
Antara sebab-sebab berlakunya penentangan di Kelantan adalah:

i.              Ketidakpuasan Hati Engku Besar Jeram

Perlantikan pegawai daerah di Pasir Puteh telah mengakibatkan kehilangan kuasa tradisional pembesar Melayu iaitu Engku Besar Jeram Tun Ahmad. Beliau telah kehilangan kuasa dan dipaksa membayar cukai.

ii.            Pengenalan Sistem Tanah Baharu 1915

Sistem tanah baharu ini diperkenalkan di mana orang ramai perlu membayar sewa yang tetap.

iii.           Pengenalan Cukai Pertanian

British telah mengenakan cukai terhadap hasil tanaman utama penduduk Kelantan iaitu padi dan kelapa.

iv.           Sikap Pegawai Daerah Pasir Puteh

Pegawai Daerah Pasir Puteh yang dilantik oleh British iaitu Che Abdul Latif ialah seorang yang kasar dan terlalu tegas. Beliau telah mencaci pembayar cukai yang lewat.

Perasaan tidak puas hati ini telah mencetuskan pemberontakan yang diketuai oleh Tok Janggut di Pasir Puteh pada 29 April 1915. Dengan bantuan Sultan Kelantan, British telah berjaya menumpaskan pemberontakan ini dan berjaya membunuh Tok Janggut pada 24 Mei 1915. [12]


f.             Penentangan Di Terengganu

Pemberontakan di Terengganu diketuai oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid (Haji Abdul Rahman Limbong). Pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Tani.

Faktor–faktor penentangan di Terengganu ialah:

i.              Kerajaan British telah mengenakan cukai terhadap hasil tanah dan rakyat juga dikenakan cukaikepala.
ii.             British memperkenalkan sistem pendidikan barat yang berbeza dengan sistem pendididkan tradisional.
iii.            British memperkenalkan Pas Kebenaran kepada sesiapa yang membuka tanah, bercucuk tanam dan memungut hasil hutan yang sebelum ini menjadi hak awam.

Pemberontakan ini telah bermula pada 21 Mei 1928 dimana orang Melayu telah menyerang balai polis dan pejabat daerah di Kuala Berang. Walaubagaimanapun pemberontakan ini berjaya ditumpaskan oleh British dan Haji Abdul Rahman Limbong telah dibuang negeri ke Makkah.[13]

g.            Penentangan Di Sarawak

Sebelum Perang Dunia Kedua, Sarawak ditadbir oleh Dinasti Brooke iaitu James Brooke, Charles Brooke, dan Charles Vyner Brooke. Semasa pemerintahan dinasti ini terdapat  beberapa pemberontakan seperti:

Pada tahun 1853 James Brooke telah menghapuskan amalan pemburuan kepala. Hal ini telah menimbulkan kemarhan kaum Iban kerana ia merupakan amalan tradisional masyarakat tersebut. Rentap telah mengetuai penentangan terhadap Brooke di mana beliau telah menyerang kubu kerajaan dan berjaya membunuh pegawai Inggeris. British telah cuba membunuh Rentap tetapi tidak berjaya.

Pada tahun 1859 di bawah pentadbiran Charles Brooke pula, pembesar tempatan di bawah Syariff Masahor dan Abdul Ghapur telah membunuh pegawai British iaitu Fox dan Steele. Charles Brooke telah membalas serangan tersebut dan menyebabkan Abdul Ghapur telah dibuang negeri ke Singapura manakala Syariff Masahor telah melarikan diri ke Brunei.

Pada tahun 1893 semasa pentadbiran Charles Brooke, masyarakat Iban telah menyerang Brooke di hulu Sungai Batang Lupar. Ia berpuncanya daripada tindakan  Brooke yang telah menghapuskan adat dan amalan tradisi mereka.

Pada tahun 1920 di bawah pemerintahan Vyner Brooke, masyarakat Dayak telah menentang pembayaran cukai dan memberontak di Sungai Kanowit. Ia diketuai oleh Penghulu Asun. [14]
  
h.            Penentangan Di Sabah

Sebelum Perang Dunia Kedua, Sabah telah berada di bawah Syarikat Borneo Utara British. Dua pemberontakan yang pernah tercetus adalah pemberontakan Mat Salleh dan pemberontakan Rundum.

i.              Pemberontakan Mat Salleh

Mat Salleh tidak suka dengan pembangunan yang dilakukan oleh pihak British sehingga menyukarkan rakyat. Oleh itu pada tahun 1894, beliau telah mengetuai satu pemberontakan di Sungai Sugut. Pada tahun 1895, British telah menyerang Kampung Mat Salleh. Mat Salleh telah memberontak dan membakar perkampungan Gaya yang memusnahkan rumah dan Pejabat Residen di Ambong. Akhirnya Mat Salleh terbunuh dalam satu pertempuran pada 31 Januari 1900. 

ii.            Pemberontakan Rundum

Pemberontakan ini telah dicetuskan oleh kaum Murut. Ia tercetus pada Febuari 1915 di daerah Rundum dan diketuai oleh tokoh tempatan yang bernama Antanum. Faktor-faktor pemberontakan tersebut adalah:

-       Pengenalan cukai terhadap beras dan ubi kayu yang digunakan untuk membuat tapai. Ini menimbulkan kemarahan rakyat tempatan kerana tapai merupakan  makanan tradisi masyarakat Murut.
-               Pengenalan Ordinan yang melarang tindakan membersihkan hutan untuk pertanian pindah.
-               Mengerahkan rakyat tempatan membina jalan-jalan kecil di hutan tanpa sebarang upah

Pemberontakan ini terdiri daripada 1000 orang yang telah menyerang dan membakar pejabat kerajaan di persidangan. Antanum telah ditawan oleh British dan dihukum bunuh.[15]
  
4.2.2  PERJUANGAN PERINGKAT KESELURUHAN

Perjuangan peringkat keseluruhan melibatkan nasionalisme Melayu, nasionalisme Cina dan nasionalisme India.

NASIONALISME MELAYU

Semangat nasionalisme Melayu telah berkembang mengikut tahap-tahap tertentu. Ia melibatkan tahap keagamaan (1906-1926), tahap sosial dan ekonomi (1926-1938) dan tahap politik (mulai tahun 1938). Nasionalisme Melayu ini telah dipimpin oleh 3 golongan utama iaitu golongan berpendidikan Islam, golongan berpendidikan Melayu dan golongan berpendidikan Inggeris.

a.         Tahap Keagamaan

Tahap ini dipengaruhi oleh Gerakan Reformis Islam  yang berlaku di Timur Tengah terutama di Turki dan Mesir. Gerakan di Timur Tengah ini diketuai oleh Sheikh Muhammad Abduh dan kumpulan penyokongnya ‘Al-Manar’ di Kaherah. Kumpulan itu memperjuangkan konsep Pan-Islam (pembebasan agama Islam dari fahaman kuno). Perjuangan ini juga dikenali sebagai ‘Pembaharuan Islam’ atau ‘Gerakan Wahabi’. Ia di pelopori oleh Syeikh Tahir Jaluludin dan Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi. Mereka menggelarkan kumpulan mereka sebagai Kaum Muda. Kumpulan mereka telah menerbitkan beberapa majalah seperti Al Iman, Al-Ikhwan, Saudara dan Neracha untuk menyebarkan ideologi mereka. Perjuangan Kaum Muda telah mendapat tentangan daripada Kaum Tua yang terdiri daripada golongan elit Melayu tradisional dan ulama. 

b.         Tahap Sosial Dan Ekonomi

Perjuangan tahap ini lebih bersifat sekular dan bertumpu kepada sosioekonomi. Perjuangan ini lahir akibat kesedaran masyarakat Melayu yang ketinggalan dari segi ekonomi dan politik berbanding kaum lain. Kelahiran persatuan seperti Persatuan Melayu Singapura (1926) yang berperanan untuk memastikan orang Melayu tidak ketinggalan untuk mendapatkan arus kemodenan manakala penubuhan Persaudaraan Sahabat Pena (PASPAM) pada tahun 1934 untuk memperjuangkan pemulihan sosioekonomi orang Melayu.


c.         Tahap Politik

Pada tahap inii beberapa parti politik yang ditubuhkan memperjuangkan konsep “Tanah Melayu Untuk Orang Melayu”. Antaranya Pertubuhan Kesatuan Melayu Muda pada tahun 1938 untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan penyatuan Indonesia untuk membentuk “Melayu Raya”. Perjuangan Kesatuan Melayu Muda kurang mendapat sambutan kerana perjuangannya dengan Indonesia yang dianggap terlalu radikal. [16]


NASIONALISME CINA

Faktor yang membangkitkan semangat nasionalisme Cina ialah kewujudan Gerakan Pembaharuan 100 hari. Gerakan Pembaharuan ini adalah bertujuan untuk membawa kemodenan kepada negara Cina. Namun pengaruh ini telah merebak ke negeri Selangor dan Perak. Gerakan Revolusioner turut mempengaruhi nasionalisme di Tanah Melayu. Gerakan ini dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen yang menentang kekejaman kerajaan Manchu.

Pengaruh lain adalah pengaruh Parti Kuomitang. Parti ini telah memperjuangkan semangat penyatuan dengan negara Cina dan mengukuhkan negara melalui perindustrian dan pemodenan. [17]


NASIONALISME INDIA

Isu yang membangkitkan semangat nasionalisme orang India ialah kegiatan Antikolonial di kalangan orang Punjabi. Kegiatan ini adalah dipengaruhi oleh Pergerakan ‘Ghadr’ yang bertujuan untuk menghalau British dari India. Pergerakan ini telah mempengaruhi semangat orang India di Tanah Melayu.        

Parti-parti yang lahir adalah untuk bertujuan membela nasib orang India. Antaranya adalah Persatuan India Taiping dan Persatuan India Selangor. Persatuan ini juga adalah untuk meningkatkan taraf sosioekonomi orang India seperti menubuhkan sekolah, pusat kesihatan kecil dan kelas bahasa Hindi. Central Indian Assciation (CIAM) yang ditubuhkan pada tahun 1936 telah menggabungkan 12 persatuan dan 4 Dewan Perniagaan India. CIAM memperjuangkan kemajuan dan kepentingan politik orang India di Tanah Melayu. [18] 

4.2.3  PERJUANGAN MELALUI PERSATUAN

KESATUAN MELAYU SINGAPURA (KMS)

Pada tahun 1926 golongan orang Melayu Singapura yang berpendidikan Inggeris telah menubuhkan sebuah parti separuh politik iaitu KMS. Pengasasnya ialah Mohammad Eunos Abdullah. Pada tahun 1937 cawangan KMS dibuka di Melaka dan Pulau Magribi. Tujuan utama penubuhan kesatuan ini ialah:

i.              Memperbaiki kedudukan sosioekonomi orang Melayu dan memupuk kecenderungan mereka dalam bidang politik.
ii.             Menjadi perantaraan antara orang Melayu dengan kerajaan British.
  

PERSAUDARAAN SAHABAT PENA (PASPAM)

Ditubuhkan oleh golongan berpendidikan Melayu pada tahun 1934. Ia bertujuan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi orang Melayu. Ia juga merupakan sebuah pertubuhan kesusasteraan Melayu yang pro-kaum muda. Pemimpin utamanya ialah Syed Alwi, S.M Zainal Abidin dan Syeikh Abdullah Al-Magribi.

PERSATUAN MELAYU PERAK

Ditubuhkan pada 18 September 1937 di Ipoh. Keahlianya seramai 104 orang dan pengasasnya ialah Wan Mohd Nur bin Wan Nasir. Perjuangan Persatuan ini  ialah meninggikan taraf ekonomi dan pendidikan rakyat serta memelihara kepentingan orang Melayu dalam pentadbiran negara

PERSATUAN MELAYU SELANGOR

Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada bulan Jun 1938 dan pengasasnya ialah Tengku Ismail bin Tengku Yassim, Raja Bot bin Raja Yacob dan Raja Yacob bin Raja Alang. Antara perjuangannya ialah mendesak British supaya menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan, mendesak kerajaan menambahkan peluang pelajaran untuk membolehkan orang Melayu melanjutkan pelajaran dan mencadangkan kerajaan British menghentikan penghijrahan orang asing ke Tanah Melayu.
  
PERSATUAN MELAYU PAHANG

Ditubuhkan pada bulan Mac 1938 dan pemimpinnya ialah Tengku Muhamad bin Sultan Ahmad. Peranannya ialah memperjuangkan kemahuan orang Melayu dan menyalurkan masalah mereka kepada kerajaan British.
  
PERSATUAN MELAYU NEGERI SEMBILAN

Ditubuhkan pada   9 September 1938 dan pemimpin utama ialah Tengku Mohamed Nasir yang bertujuan menjaga dan memajukan kepentingan orang Melayu.

PERSATUAN MELAYU KELANTAN

Ditubuhkan Pada 20 April 1939 dan keanggotaannya terhad kepada orang atasan sahaja. Pemimpin utama persatuan ini ialah Nik Muhamad Salleh bin Omar.

KESATUAN MELAYU MUDA (KMS)

Ditubuhkan pada Ogos 1938 oleh golongan berpendidikan Melayu. Pemimpin utamanya ialah Ibrahim bin Yaakob dan Ishak Haji Muhamad. Kesatuan ini memperjuangkan  kemerdekaan Tanah Melayu dan mewujudkan penyatuan dengan Indonesia ‘Indonesia Raya’ atau ‘Melayu Raya’. Kesatuan ini juga mengamalkan sikap tidak kerjasama dengan British dan disalurkan melalui akhbar seperti Warta Malaya dan Majlis.

PERSATUAN MELAYU SEMENANJUNG ATAU KONGRES MELAYU SELURUH TANAH MELAYU

Kongres ini pertama kali diadakan pada 9 Ogos 1939 di Kuala Lumpur dan pada kali kedua pada 1940. [19]
  
4.2.4 PERJUANGAN DAN IDEA-IDEA SEMANGAT KEBANGSAAN MELALUI AKHBAR DAN MAJALAH


Akhbar
Tahun Penerbitan
Pengasas
Fokus

Al-Imam
22 Julai 1906
Syed Syeikh Al-Hadi (Singapura)

Al-Imam dikatakan menyampaikan idea Kaum Muda berhubung pembaharuan dan memberi bimbingan untuk orang Melayu bangkit dari kemunduran.


Al-Ikhwan
16 September 1926
Syed Syeikh Al-Hadi (Pulau Pinang)

Al-Ikhwan bercorak Islamiah yang memuatkan isu-isu tentang kemunduran bangsa dan kebebasan kaum wanita. Majalah ini digerakkan oleh Kaum Muda.


Saudara
29 September 1928
Syed Syeikh Al-Hadi (Pulau Pinang)

Akhbar ini adalah sambungan kepada Al-Imam dan banyak menyentuh persoalan agama dan usaha-usaha untuk menggalakkan rakyat terutama orang Melayu untuk memajukan diri mereka.


Neracha
15 Februari 1911
Haji Abas Mohd Taha (Singapura)

Memiliki konsep dan ciri yang hampir sama dengan Al-Imam. Bercorak keagamaan dan memuatkan berita dari Timur Tengah, terutama berhubung semangat Pan-Islam.


Majlis
17 Disember 1931
Abdul Rahim Kajai (Kuala Lumpur)

Akhbar ini penting dalam memberi sumbangan memperjuangkan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Ruangan ini membolehkan orang ramai menulis tentang masalah politik, sosial dan ekonomi.

Warta Malaya
1 Januari 1930
Dato Onn Jaafar (Singapura)

Banyak memberi kesedaran kepada orang Melayu dan mengecam dasar-dasar Inggeris yang tidak sesuai dan sekaligus menjadi gelanggang untuk bertukar-tukar fikiran. 


Utusan Melayu
November 1907-1922.
29 Mei 1930
(Akhbar Harian)
Abdul Rahim Kajai (Singapura)

Akhbar ini dianggap sebagai lambang perpaduan orang Melayu kerana rencananya banyak membela kepentingan orang Melayu dan menentang penjajahan.

Chenderamata
Selepas Perang Dunia Kedua
Guru-guru pelatih Maktab Perguruan Sultan Idris antaranya Za’ba.

Mesej-mesej yang disampaikan selain daripada aktiviti Maktab Perguruan tersebut banyak memuatkan rencana untuk mencetuskan semangat kebangsaan pembaca.


Warta Sarawak
Pramerdeka
Komuniti Melayu Sarawak.

Agen untuk membangkitkan kesedaran dan semangat kebangsaan Melayu di Sarawak. Ia juga menekankan pendidikan orang Melayu, seruan agar mengerjakan tanah air sendiri dan bergiat dalam perniagaan.


Lembaga Melayu
31 Disember 1931
Mohd. Eunos Abdullah (Singapura)

Bermula dengan menterjemahkan berita-berita perang daripada Malay Tribute dan lama-kelamaan berfungsi sebagai media perbicaraan kepentingan orang Melayu.


Panduan Guru
Julai 1922
Mohamad Hussin Rashid

Majalah pertama terbitan Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang.



4.3    KESAN PENJAJAHAN

4.3.1   KESAN POSITIF

a.            Pembangunan Ekonomi Negara

Negeri Melayu mencapai kemajuan kerana pelaburan yang semakin giat ekoran perkembangan perusahaan bijih timah dan tanaman-tanaman lain seperti kopi dan getah. Kemasukan buruh asing yang ramai untuk berkerja dalam sektor ekonomi moden maka penempatan mula berkembang dan memunculkan perbandaran 

b.            Perubahan Pengaruh Politik

Pemerintahan yang telah dijalankan oleh pihak Inggeris telah berjaya mengembalikan keamanan di Tanah Melayu.

c.            Perkembangan Sosial

Wujudnya perkembangan infrastruktur seperti jalan raya dan jalan keretapi di samping infrastruktur lain seperti pusat kesihatan, bekalan air, bekalan elektrik, pos, telegraf dan lain-lain lagi. Perkembangan ini juga melahirkan semangat nasionalisma dalam diri orang Melayu serta melahirkan semangat ingin memerdekakan Tanah Melayu dari Inggeris.


4.3.2     KESAN NEGATIF

a.            Ketidakseragaman pengagihan kekayaan antara negeri dan wilayah atau kawasan di dalam sesebuah negri itu sendiri.
b.             Sumber dan hasil ekonomi dimonopoli oleh pelabur-pelabur barat sedangkan kaum pribumi ketinggalan
c.            Sultan tidak lagi berkuasa mutlak.
d.            Tugas pentadbiran diambil alih oleh residen
e.            Pembesar-pembesar   Melayu kehilangan peranan dan tidak berkuasa lagi.
  
Kesimpulan

Secara keseluruhannya,  zaman penjajahan kuasa asing di Tanah Melayu khususnya British mendapat tentangan yang hebat daripada penduduk tempatan. Segala pembaharuan yang dilakukan oleh British telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan penduduk tempatan. Oleh yang demikian, ini menimbulkan satu kesedaran dan semangat nasionalisme di kalangan rakyat untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman kuasa asing.  Walaubagamanapun penentangan yang dilakukan oleh penduduk tempatan tidak dapat menandingi kekuatan pihak British.  Tetapi rakyat tempatan tidak berputus asa untuk menghalau British dengan pelbagai usaha khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Tanah Melayu sehinggalah akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

RUJUKAN


1.         Mardiana Nordin, Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.            Ruslan Zainuddin et.al,(2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

3.            Yazid Jaafar et.al. (2001), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.



[1] Mardiana Nordin, Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, Fajar Bakti Sdn, Bhd. Selangor Darul Ehsan, hlm. 17.
[2]  Ibid. hlm. 18.

[3] Ruslan Zainuddin et.al,(2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Snd. Bhd. Selangor Darul Ehsan, hlm. 78.
[4] Yazid Jaafar et.al, (2001), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan, hlm. 51.
[5] Mardiana Nordin, Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, hlm. 17.
[6] Yazid Jaafar et.al, (2001), Kenegaraan Malaysia, hlm. 50.

[7] Mardiana Nordin, Hasnah Hussin (2004), Pengajian Malaysia, hlm. 37.

[8] Ibid.  hlm. 37.
[9] Ibid.  hlm. 38.
[10] Ibid.  hlm. 38.

[11] Ibid.  hlm. 39.

[12] Ibid. hlm. 40.
[13] Ibid.  hlm. 40.
[14] Ibid.  hlm. 41.
[15] Ibid.  hlm. 42.

[16] Ibid.  hlm. 43.
[17] Ibid.  hlm. 44.
[18] Ibid.  hlm. 45.
[19] Ibid. hlm. 45.