Saturday, 16 August 2014

BAB 2: BUDAYA

PENGENALAN

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat dan budaya yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

Pengetahuan terhadap kebudayaan adalah penting bagi rakyat Malaysia kerana banyak salah faham dan prasangka timbul daripada gagasan untuk mewujudkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan kebudayaan peribumi. Ini kerana kebudayaan mempunyai hubungan yang amat rapat dengan masyarakat kerana tidak akan ada kebudayaan sekiranya tidak ada masyarakat.

 HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menyatakan definisi budaya secara umum.
2.            Menyatakan ciri-ciri budaya masyarakat Malaysia.
3.            Menghuraikan jenis-jenis kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India di samping etnik-etnik lain di Sabah dan Sarawak
4.           Menjelaskan kesan ke atas pembinaan negara bangsa ekoran daripada perubahan budaya yang berlaku akibat percampuran kepelbagaian budaya yang wujud.

2.1    DEFINISI


Pada umumnya, istilah ‘kebudayaan’ sukar diberi takrif yang tepat kerana kebudayaan itu sendiri merupakan satu bidang yang sangat luas. Malahan boleh dikatakan hampir setiap pengkaji cuba memberi definisi kebudayaan mengikut tafsiran masing-masing.[1]

Bahasa Sanskrit
Perkataan ‘budaya’ berasal daripada bahasa Sanskrit, buddhayah iaitu kata jamak yang berasal daripada perkataan buddhi yang membawa maksud budi dan akal.[2]

Perkataan culture dalam bahasa Inggeris diambil daripada bahasa Latin, colore yang bererti mengolah dan mengerjakan. Berpandukan dua definisi ini mungkin dirasakan belum memadai untuk memberi gambaran yang jelas tentang maksud ‘kebudayaan’,

Dalam pengertian umum,’kebudayaan’ merupakan seluruh cara hidup masyarakat atau seluruh aspek pemikiran dan tingkah laku manusia yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi yang lain melalui proses pembelajaran. Mengikut takrif kamus dewan pula, ‘kebudayaan’ membawa maksud cara hidup sebuah masyarakat, tamadun, peradaban dan kemajuan.[3]

Buku Moden Dictionary of Sociology merujuk kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup manusia meliputi kehidupan kelompok yang bercorak kebendaan dan bukan kebendaan. Budaya kebendaan atau artifact merupakan apa saja ciptaan manusia yang berbentuk objek-objek tertentu seperti alat, bangunan,senjata dan kenderaan. Budaya bukan kebendaan atau mentifact pula ialah sesuatu ciptaan manusia yang berbentuk abstrak seperti kepercayaan, adat resam, undang-undang dan sebagainya.[4]

Secara amya, kebudayaan berfungsi melindungi diri terhadap alam, mengatur hubungan manusia dan sebagai wadah bagi segenap lapisan masyarakat. Kebudayaan tersebar melalui perlakuan manusia,sama ada baik ataupun buruk. Dengan kata lain, kebudayaan merangkumi segala kelakuan manusia yang tidak statik tetapi dinamik serta berubah mengikut perkembangan manusia dan persekitaran.

Justeru dapat dirumuskan bahawa ‘kebudayaan’ merupakan keseluruhan cara hidup manusia sama ada dalam bentuk fikiran, kepercayaan, perlakuan ataupun penghasilan dalam sesebuah masyarakat yang diterima oleh sebahagian besar anggota masyarakat itu dan diwarisi secara turun temurun. Pendek kata kebudayaan termasuklah bentuk sosial, politik, adat istiadat serta ekonomi sesebuah masyarakat.

Takrif Konsep Kebudayaan
Keseluruhan cara hidup manusia, sama ada dalam bentuk fikiran, kepercayaan, perlakuan ataupun penghasilan dalam sesebuah masyarakat yang di terima oleh sebahagian besar anggota masyarakat itu dan diwarisi secara turun temurun.
 
 








2.2       CIRI-CIRI BUDAYA

Antara ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia adalah seperti:

i.              Merupakan perkongsian suatu masyarakat
ii.             Diperolehi melalui proses pembelajaran
iii.            Tidak dapat berpisah dengan bahasa
iv.           Kewujudan nilai-nilai tertentu
v.            Mengikut keadaan bentuk muka bumi
vi.           Diwarisi secara turun temurun


2.3    JENIS-JENIS KEBUDAYAAN

2.3.1   KAUM MELAYU

Kawasan Kelompok Bahasa Austronesia
Dari segi bahasa, bahasa yang dituturkan oleh orang Melayu adalah daripada kelompok bahasa Austronesia. Bahasa ini dibahagikan kepada tiga jenis iaitu mengikut tiga kumpulan manusia berdasarkan kedudukan geografi masing-masing.[5] Tiga kumpulan tersebut adalah di semenanjung dan Kepulauan Melayu yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina dan Madagascar, kedua Malenesia, dan kepulauan sekitarnya serta ketiga Polinesia dan kepulauan sekitarnya. Bahasa yang digunakan oleh orang Melayu ialah bahasa Melayu. Sebelum kedatangan barat, tulisan yang digunakan oleh orang Melayu ialah tulisan jawi, iaitu pengaruh yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Dari segi hukum adat, dua jenis adat yang menjadi amalan penduduk Melayu di Tanah Melayu, iaitu

adat Perpatih dan adat Temenggung. Adat Perpatih diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Adat ini menekankan konsep demokrasi dan muafakat. Oleh itu rajanya bukan berkuasa mutlak.[6] Dalam adat ini juga, pewarisan harta pusaka diutamakan kepada anak perempuan. Adat Temenggung menjadi amalan masyarakat Melayu seluruh Semenanjung kecuali Negeri Sembilan. Adat ini menekankan pemerintahan raja mutlak dan keutamaan kepada kaum lelaki. Selain itu, adat ini turut mendapat pengaruh yang banyak daripada agama Islam.[7]

Secara keseluruhannya, kebudayaan masyarakat Melayu dapat difahami melalui jadual dibawah.



Klasifikasi


Jenis-jenis

Huraian
Perayaan-perayaan keagamaan
Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri setahun sekali yang diraikan dalam bulan syawal mengikut kalendar Islam. Pada hari ini diraikan sebagai hari kemenangan dan hari kegembiraan setelah semua umat islam berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan mengikut kalendar Islam, iaitu bulan sebelum bulan Syawal.


Aidiladha

Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban. Pada hari ini, masyarakat Melayu akan berkorban binatang ternakan mereka sebagai mengenang kesanggupan Nabi Ismail mengorbankan diri demi ketaatan kepada Allah (SWT).


Nuzul Quran

Hari Nuzul Quran merupakan hari ke-17 dalam bulan Ramadhan sempena hari penurunan al-Quran.

Perayaan-perayaan keagamaan

Maulud Nabi

Maulud Nabi merupakan sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad ( saw).



Awal Muharam


Hari pertama dalam tahun Islam ( Tahun Hijrah) iaitu hari pertama dalam bulan Muharam.

Kesenian
Wayang kulit

Wayang Kulit merupakan persembahan bayangan patung yang menggunakan bahasa Melayu-Siam Selatan. Seni hiburan ini popular di Pantai Timur serta mengandingi unsur dan pengaruh daripada Hindu dan Islam.


Mak Yong

Sejenis dramatari berunsurkan Negara Thai seperti gerakan tangan, jari dan posisi kaki. Demikian juga alatan muziknya seperti geduk dan gedombak. Tarian ini menggambarkan kehalusan dan keindahan istana.


Kuda Kepang

Sejenis tarian yang mendapat pengaruh Hindu dan Islam. Dramatari ini tanpa dialog yang mengisahkan satu cerita atau keadaan emosi umum dengan muzik.



Menora

Sejenis dramatari yang mengisahkan Jataka,Buddha bercirikan Negara Thai telah diserap ke dalam kebudayaan Melayu. Persembahannya menunjukkan percantuman unsur Negara Thai dengan Melayu.


Joget Gamelan

Popular di Terengganu dan Pahang. Ia berasal dari Indonesia. Tarian ini di bawa oleh orang Bugis dari Kepulauan Riau. Ia menceritakan cerita Panji seperti Raden Galuh Cendera Kirana dan Raden Ini Kertapati.

Perkahwinan
Merisik

Proses bertanya oleh keluarga lelaki terhadap keluarga perempuan sekaligus berjanji.

Bertunang

Persetujuan dan perjanjian antara dua pihak untuk melangsungkan akad nikah.


Pelamin dan bersanding

Pelamin ialah tempat pengantin duduk berdampingan ( bersanding) dan bentuknya bertingkat. Pelamin melambangkan singgah sana raja dan pengantin akan bersanding seumpama raja yang bersemayam di singgah sana kerana pada hari perkahwinan, pengantin dianggap raja sehari.

Pakaian
Sarung

Sarung boleh dipakai oleh wanita atau lelaki dalam bentuk kain lepas yang diikat di pinggang. Mempunyai tiga sifat iaitu kepala kain, badan kain, dan tepi kain. Bagi wanita sarung dipakai bersama baju kurung dan bagi lelaki sarung boleh dipakai bersama baju Melayu sahaja ataupun bersama seluar dengan dijadikan kain samping.


Pakaian Cik Siti Wan Kembang

Pakaian diraja yang masyhur di Kelantan. Terdiri daripada tiga helai kain iaitu sehelai kain sarung songket diikat seribu di pinggang, kain selendang dibelit di dada seperti berkemban dan bahu terdedah ditutup dengan kain limar panjang yang ditenun. Bersamanya dipakai pending, tali pinggang dan kalung emas bertatah permata.



Pakaian Puteri Perak


Pakaian diraja Perak berciri seluar Acheh. Baju berleher cekak musang dan seluar Acheh daripada songket.Samping dipakai bersama pending emas dan selendang songket dilampai di bahu.

Baju Kurung Teluk Belanga

Berasal dari Johor dan kini dipakai di seluruh Negara oleh perempuan dan lelaki. Lelaki bajunya lebih pendek dan diletakkan tiga kocek.

Baju Kebaya Labuh

Dipakai oleh wanita Melayu di seluruh negara. Sesetengah wanita Cina peranakan turut memakainya. Bajunya dibuat labuh hingga ke lutut, berbelah di hadapan dan dipakai bersama tiga kerongsang.

Baju Riau Pahang

Asalnya pakaian diraja Pahang dan Johor. Ia merupakan gabungan antara baju kurung cekak musang dan baju kebaya labuh. Berbelah di hadapan dan diperbuat daripada songket.



2.3.2     KAUM CINA
           
Masyarakat Cina turut mempunyai pengalaman kebudayaan dan adat resam. Antara amalan yang boleh dilihat sebagai kebudayaan dan adat resam mereka ialah:

a.            Kalendar Orang Cina

Perhitungan hari orang Cina ini bermula dari hari pertama anak bulan dan berakhir selama 29 atau 30 hari. Setiap tahun mengandungi 12 bulan dan setiap tahun dikenali dengan nama binatang-binatang tertentu. Apabila cukup 12 tahun, nama yang pertama akan diulang. Nama-nama tersebut ialah tikus, lembu jantan, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi.[8]


b.            Keinginan Mendapat Anak Lelaki Pertama


Keinginan mendapat anak lelaki sememangnya kuat di kalangan masyarakat Cina kerana anak lelaki akan mengekalkan nama keluarga dan orang yang mengendalikan upacara roh kepada ibu bapa yang meninggal dunia.[9]


c.         Pelajaran


Masyarakat Cina sejak dari beribu-ribu tahun dahulu amat mementingkan pelajaran. Di Tanah Melayu dalam abad ke-19 dan ke-20, anak-anak Cina merupakan yang paling ramai bersekolah berbanding dengan anak-anak Melayu dan India. Masyarakat Cina beranggapan, bagaimana miskinpun seseorang itu bahawa mereka patut diberi peluang yang sama untuk diberi pelajaran. Pelajaran diharap dapat memajukan seluruh keluarga dan membantu sanak saudara kelak.

d.            Upacara Pengebumian


Masyarakat Cina sering mengadakan perarakan apabila berlaku sebarang kematian. Perarakan ini akan diiringi bunyian muzik dan biasanya menelan kos yang besar. Oleh itu, seseorang yang menyambut hari lahir yang ke- 60 menandakan orang itu sudah layak untuk memasuki ‘persatuan keranda’ dan ia perlu membayar yuran bulanan supaya apabila ia mati kelak ia mempunyai keranda yang baik.[10]

Selain itu, dari segi perayaan masyarakat Cina juga mempunyai beberapa perayaan yang disambut dalam satu tahun. Antara perayaan tersebut ialah:


Perayaan


Huraian
Tahun Baru Cina
(Chinese New Year)

Perayaan ini lebih mengutamakan perjumpaan keluarga yang diadakan menjelang hari tersebut. Masyarakat Cina memastikan sebelum perayaan ini menjelang, hutang hutang dibayar dan semua akaun ditutup. Persediaan bagi perayaan ini dibuat sejak hari ke- 24 bulan ke-12 lagi. Perayaan ini berlanjutan selama 3 minggu.

Chap Goh Mei

Perayaan ini diraikan pada hari ke-15 selepas tahun baru yang juga merupakan hari terakhir sambutan Tahun Baru cina.

Perayaan Ching Ming

Perayaan ini diraikan pada hari terakhir bulan kedua dalam tahun lunar. Pada hari ini, kaum keluarga melawat kubur nenek moyang untuk dibersihkan dan bersembahyang.

Perayaan Hantu Lapar

Perayaan ini diraikan pada hari ke-15 dalam bulan ketujuh. Perayaan ini lebih popular di Pulau Pinang. Hari ini diraikan sempena ingatan terhadap seseorang bernama Mu Lien yang juga dikenali sebagai Ti Tsang Wang yang menyelamatkan ibunya daripada syaitan-syaitan yang kelaparan.

Perayaan Kuih Bulan

Perayaan ini diraikan pada hari ke-15 dalam bulan kelima. Ia diraikan sempena mengingati kejayaan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahan kerajaan Mongol pada abad ke-14 di Negara China. Kuih Bulan dijadikan alat untuk menyampaikan mesej dalam intinya. Tanglung yang turut menjadi sebahagian daripada perayaan ini sebenarnya mengambil daripada kegunaannya pada waktu itu yang dijadikan sebagai medium isyarat dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain.

Dari segi pakaian, masyarakat Cina kini kebanyakkannya telah menggunakan pakaian moden yang bercirikan barat. Namun, pakaian tradisi golongan wanita Cina masih digunakan hingga kini. Salah satu darinya ialah
Cheongsam

Samfoo
‘samfoo’. ‘Samfoo’ terdiri daripada kombinasi blaus dan seluar. Pakaian ini lebih kerap digunakan oleh golongan tua. Sejenis lagi ialah ‘cheongsam’.

Dari segi makanan, makanan asas bagi masyarakat Cina di negara ini ialah nasi. Namun, jenis makanan utama terdiri daripada Kantonis, Hokkien, dan Szechuan.[11] Jelas menunjukkan masyarakat Cina mempunyai identiti atau budaya mereka tersendiri. Budaya yang diamalkan jauh berbeza daripada budaya masyarakat tempatan dan kaum pendatang yang lain.[12]




2.3.3   KAUM INDIA

Masyarakat India juga mempunyai nilai-nilai kebudayaan dan adat tradisi mereka yang tersendiri. Kebudayaan kaum ini juga dibawa dari tanah asal mereka dan kini kebudayaan mereka turut mengalami asimilasi dengan budaya tempatan.

Masyarakat India mempunyai berbagai-bagai perayaan. Tiga jenis perayaan utama ialah Deepavali, Thaipusam dan Thai Ponggal. Selain dari itu, masyarakat Hindu juga merayakan beberapa perayaan lain yang diraikan di kuil-kuil tertentu di seluruh negara.


Perayaan


Huraian
Deepavali

Perayaan ini juga dipanggil perayaan lampu. Diraikan dalam bulan ’Kartikal’ dalam agama Hindu yang biasanya jatuh pada bulan Oktober atau November. Masyarakat India meraikan hari ini sebagai simbol keterangan yang boleh menghalau kuasa jahat (kegelapan). Disebelah pagi pada hari perayaan ini, mereka akan bangun dan mandi dengan minyak wangian, mengenakan pakaian baru dan bersembahyang ataupun ke kuil.

Thaipusam

Thaipusam ialah perayaan yang mula dirayakan di Tamil Nadu (India selatan). Namanya diambil daripada bahasa tamil sendiri iaitu Thai (selalunya merujuk pada bulan Januari atau Febuari) dan Pusam (perayaan). Perayaan ini sering diraikan secara besar-besaran di tiga buah kuil utama Balathandayuthabani di Pulau Pinang dan kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, Selangor  dan Kuil Sri Subramaniam di Ipoh. Masyarakat Hindu biasanya membayar nazar pada perayaan ini.

Thai Ponggal

 Perayaan ini merupakan perayaan penuai atau petani. Ia dirayakan pada awal bulan ‘Thai’,. Perayaan ini kurang disambut di bandar,tetapi masih diraikan oleh masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang atau estet-estet.
Sari
Dari segi pakaian, golongan wanitanya kerap menggunakan ‘sari’ iaitu sejenis pakaian daripada kain sepanjang enam ela yang dililitkan dikeliling badan dan dipakai bersama dengan sehelai blaus. Pakaian tradisi kaum lelaki pula digelar ‘dhotis’ iaitu sejenis kain berwarna putih. Kaum lelaki juga mengenakan ‘vesti’ atau ‘kurta’ iaitu pakaian putih untuk ke kuil atau perayaan tertentu.
Kurta


Vesti
Dhotis



Makanan masyarakat India di negara ini ialah nasi ataupun roti-roti tertentu. Antara jenis roti yang popular ialah ‘chappati’, ‘parratta’ dan ‘puri’. Nasi dan roti dimakan bersama dengan kari atau dal. Masyarakat India tidak makan daging babi dan lembu.









Capati
Kari India
Puri
2.3.4   MASYARAKAT SABAH

i.              Kadazan-Dusun

Masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah juga mempunyai berbagai-bagai kebudayaan dan adat resam. Misalnya apabila berlaku kematian, proses pengebumian melibatkan seluruh masyarakat. Unggun api dihidupkan untuk menghalau hantu dan roh-roh jahat. Selain itu, wujud konsep-konsep seperti ‘ mihad’ iaitu menangisi mayat, ‘memojuk’ iaitu memandikan mayat, ‘menguman’ iaitu menghiasai mayat dan mendandan mayat, ‘lobong’ iaitu kubur serta ‘panukup’ iaitu kenduri.[13]

Bagi kelahiran proses memberi nama bayi juga melibatkan perbincangan dengan ahli keluarga dan jiran. Adat ‘ mintuhun’ pula ialah adat menjejakkan kaki bayi ke tanah.


ii.            Bajau

Dalam kehidupan masyarakat Bajau, terdapat empat kategori norma atau nilai iaitu hubungan lelaki dengan perempuan, pertunangan, perkahwinan dan perceraian. Masyarakat Kadazan-Dusun juga menghasilkan kraf tangan seperti tudung terendak, perangkap binatang daripada buluh, perangkap tikus, perangkap tupai dan perangkap burung.


2.3.5   MASYARAKAT SARAWAK.

i.              Iban

Bagi masyarakat Iban, sejenis budaya lama yang popular dipanggil perburuan kepala (head hunting). Seorang lelaki akan memburu kepala untuk ditunjukkan kepada bakal mertuanya ataupun sebagai lambang kepahlawanan mereka. Kini amalan ini sudah tidak diamalkan. Masyarakat Iban mengamalkan konsep muafakat yang dipanggil ‘utai basai gagamit’ ( tidak ada masalah besar yang tidak boleh diatasi).[14]

Masyarakat Iban tinggal di rumah panjang. Rumah ini didiami oleh beberapa buah keluarga. Rumah panjang terbahagi kepada beberapa bilik dan setiap bilik dihuni oleh sebuah keluarga yang biasanya keluarga asas. Rumah panjang suku Kelabit pula tidak ada bilik untuk keluarga, Cuma terdapat bilik memisahkan ruang sebelah luar dengan ruang sebelah dalam.

Bagi rumah orang Iban, disebelah belakang bilik ialah tempat makan dan dapur. Jika ada keramaian, makanan dihidang di beranda (ruai). Sebelah luar bilik juga terdapat ruang yang dipanggil ‘panggan’ iaitu tempat tidur orang bujang dan tetamu lelaki. Di bawah rumah ialah tempat binatang ternakan seperti babi dan ayam.[15]

Masyarakat Iban mempunyai upacara-upacara khas dalam adat kematian. Ia melibatkan seluruh ahli rumah panjang dan perundingan dengan ‘ tuai rumah’ (ketua rumah). Dalam kelahiran pula, bayi yang baharu dilahirkan dimasukkan garam ke mulutnya. Proses ini dipanggil ‘garam’.[16] Sementara ibunya akan melalui proses ‘berkindu’ ataupun berdiang unggun api selama 41 hari dan 41 malam. Dari segi kesenian, masyarakat ini banyak menghasilkan kraf tangan seperti anyaman, kain selimut dan bakul daripada rotan. Jenis-jenis tarian mereka pula adalah seperti ngajat, berpencaha, berkuntau, main kerichap dan main chekak. Sehingga hari ini, masyarakat Sarawak masih mengekalkan beberapa tradisi, misalnya ‘Datun Julut’ di kalangan orang Bidayuh. Tarian ini ditarikan dengan lemah gemalai oleh pemuda-pemudi dengan iringan muzik. Kaum Iban pula terkenal dengan tarian perang yang dikenali sebagai ’ngajat bunuh’. Tarian ini melambangkan unsur kebudayaan mereka yang gagah berani menentang sebarang bentuk penjajahan.


ii.            Melanau

Masyarakat Melanau juga aktif menghasilkan kraftangan seperti bakul, tikar, perangkap ikan, tudung saji di samping menghasilkan ukiran kayu dan perahu. Masyarakat Sarawak juga sangat terkenal dengan tenunan kain pandaknya yang juga dikenali sebagai ‘Pua Kumbu’.[17]


2.4    IMPAK KE ATAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Antara kesan-kesan yang diperolehi dari kepelbagaian budaya ialah;

a.         Wujud kepelbagaian masyarakat yang unik – Masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain, Cina, dan juga India.


b.         Keterbukaan atau toleransi antara kaum – Kepelbagaian kaum ini menjadikan masyarakat yang wujud di Malaysia lebih unik dan menarik kerana di dalamya terdapat pelbagai budaya, bahasa, agama, muzik, tarian dan kesenian, pakaian dan makanan yang ada antaranya boleh dikongsi bersama.

c.         Wujud beberapa aspek persamaan budaya – Walaupun setiap kaum di Malaysia mempunyai kebudayaan berbeza namun wujud beberapa aspek persamaan yang boleh ditemui di kalangan semua kaum seperti kekeluargaan, adat resam, objek-objek kebendaan dan nilai-nilai keagamaan. Misalnya setiap kaum di Malaysia menghormati adat resam yang diwarisi secara turun temurun. Biar kaya atau miskin, masing-masing berusaha untuk mematuhi adapt resam turun temurun ini. Pepatah Melayu yang menyebut ‘biar mati anak, jangan mati adat‘ sebenarnya mempunyai makna yang sama bagi semua kaum di Malaysia.

Contohnya, semua kaum mempunyai adat resam yang menekankan pentingnya menghormati orang tua, terutama ibu bapa atas jasa dan pengorbanan mereka. Dalam sebarang upacara dan adat istiadat orang tua sentiasa memainkan peranan penting dan mereka todak boleh diketepikan. Bagi semua kaum di Malaysia ikatan kekeluargaan di kalangan anggota keluarga sangat diutamakan.[18]

d.         Wujud persefahaman antara kaum – Walaupun kepelbagaian kaum ini adakalanya menimbulkan sedikit masalah kerana kurangnya perasaan saling memahami antara satu kaum dengan kaum lain tetapi perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar jika setiap kaum bersedia untuk mempelajari dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kaum-kaum lain. Cara ini juga boleh membantu kita untuk memahami dengan lebih baik tentang masyarakat yang kita bersama-sama menganggotainya.






RUJUKAN



1.            Ruslan Zainuddin et. al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.            Kamus Dewan (2002), Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3.            Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Fajar bakti Sdn. Bhd.





[1] Ruslan Zainuddin,et al,(2005) Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti,hlm. 8.
[2] Ibid.
[3] Kamus Dewan,(2002) Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm.180.
[4] Ruslan Zainuddin,et al,(2005) Kenegaraan Malaysia,hlm.8.
[5] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, (2004) Pengajian Malaysia, Fajar bakti Sdn.Bhd,,hlm.159-160.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, hlm.162.
[9] Ibid.
[10] Ibid,hlm.163
[11] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, hlm.164.
[12] Ibid.
[13] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, hlm.166.
[14] Ibid.hlm,165.
[15] Ibid.
[16] Ibid,hlm.166.
[17] Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, hlm. 166.
[18] Ruslan Zainuddin,et al., Kenegaraan Malaysia, hlm. 9-10.