Friday 19 September 2014

BAB 9: KEMENTERIAN

PENGENALAN

Malaysia mengamalkan Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen berlandaskan Perlembagaan Persekutun. Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah berasaskan Perlebagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Malaysia ialah sebuah Persekutuan di mana kuasa pemerintahan dibahagikan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Terdapat tiga peringkat pentadbiran iaitu Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Kerajaan Tempatan. Kementerian adalah merupakan salah satu komponen utama dalam sistem Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Terdapat beberapa buah kementerian yang telah diwujudkan di mana setiap kementerian mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang tersendiri.


HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menyatakan jenis-jenis kementerian di Malaysia.
2.            Menjelaskan peranan-peranan kementerian di Malaysia.
3.            Membandingkan peranan 2 daripada 5 kementerian yang telah diberikan.







Pengenalan

Kementerian merupakan agensi yang tertinggi Kerajaan.[1] Dalam setiap kementerian akan diketuai oleh seorang menteri yang dilantik bagi menerajui kementerian tersebut. Menteri-menteri ini akan dibantu oleh Timbalan Menteri. Setiap kementerian yang diwujudkan mempunyai tanggungjawab dan peranan bagi membentuk dasar-dasar, merancang, mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan tugas-tugas yang diletakkan di bawah portfolio kementerian berkenaan.

Tugas-tugas dan tanggungjawab kementerian kemudiannya disalurkan kepada beberapa buah jabatan dan perbadanan awam yang ditubuhkan di dalam kementerian-kementerian tersebut.[2] Contoh organisasi di dalam kementerian adalah seperti berikut:


ORGANISASI SEBUAH KEMENTERIAN
Carta Organisasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Rajah 1: Organisasi sesebuah kementerian

Ketua Setiausaha (KSU) pula adalah pegawai pentadbir utama atau yang tertinggi bagi sesebuah kementerian dan merupakan penasihat kepada menteri terutamanya dalam pembentukan dasar-dasar, tanggungjawab bagi melaksanakan dasar dan melaksanakan arahan-arahan menteri.[3]

Jumlah kementerian yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia sering berubah dan keadaan ini adalah mengikut kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan. Semasa pentadbiran Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bersama-sama dengan 28 menteri yang telah dipilih untuk menerajui setiap kementerian tersebut. Manakala kini semasa pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, hanya terdapat 24 kementerian.
Berikut adalah senarai Kementerian Kerajaan Malaysia setelah rombakan terakhir pada tahun 2009[4]:
1.             Jabatan Perdana Menteri
2.             Kementerian Belia dan Sukan
5.             Kementerian Kerja Raya
6.             Kementerian Dalam Negeri
7.             Kementerian Kesihatan
8.             Kementerian Kewangan
9.             Kementerian Luar
10.          Kementerian Pelajaran
11.          Kementerian Pelancongan
13.          Kementerian Pengajian Tinggi
14.          Kementerian Pengangkutan
17.          Kementerian Pertahanan
23.          Kementerian Sumber Manusia
24.          Kementerian Wilayah Persekutuan

Walaupun terdapat 24 kementerian dalam organisasi kerajaan, hanya lima sahaja kementerian dihuraikan dengan lebih terperinci dari segi fungsi atau peranan dan juga agensi-agensi utama dalam setiap kementerian.




9.1    JENIS-JENIS KEMENTERIAN
9.1.1   JABATAN PERDANA MENTERI
Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan kementerian yang amat penting dalam organisasi kerajaan. Objektif utama JPM ialah untuk menentukan segala urusan yang melibatkan pentadbiran, kewangan, perjawatan, perkhidmatan, istiadat dan selenggaraan dilaksanakan mengikut peraturan-peraturan dan arahan-arahan dari semasa ke semasa demi untuk melicinkan pentadbiran negara.[5] Organisasi yang paling penting dalam JPM ialah Pejabat Perdana Menteri yang mempunyai misi untuk memastikan persekitaran yang efisien bagi Perdana Menteri menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan berkesan.[6] Objektif utama Pejabat Perdana Menteri ialah menyediakan perkhidmatan yang cekap, teratur dan cepat dalam menjalankan urusan tugas dan kewajipan Perdana Menteri.[7]
JPM juga menguruskan kerja majlis-majlis tertinggi seperti Majlis Tindakan Negara, Majlis Ekonomi Negara dan Majlis Keselamatan Negara. JPM diketuai oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri.
Peranan utama Jabatan Perdana Menteri
Terdapat beberapa peranan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu:
i.              Mengawas dan menyelaras semua dasar kerajaan serta pelaksanaannya.
ii.             Menyelia serta menyelaras semua aktiviti bahagian-bahagian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
iii.            Menyediakan khidmat urusetia kepada beberapa Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Kebangsaan.

Agensi-agensi Utama Dalam Jabatan Perdana Menteri
Terdapat beberapa agensi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu:
(1)          Jabatan Perkhidmatan Awam
(2)          Unit Perancang Ekonomi
(3)          Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
(4)          Jabatan Perangkaan
(5)          Jabatan Audit Negara
(6)          Badan Pencegah Rasuah (BPR)
(7)          Biro Tatanegara (BTN)
(8)          Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(9)          Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(10)        Jabatan Peguam Negara
(11)        Unit Penyelarasan Pelaksanaan
(12)        SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia)
(13)        FELDA  (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan)
(20)        Istana Negara
(24)        Lembaga Tabung Haji
(25)        Majlis Perbandaran Wilayah Persekutuan Labuan
(28)        Mahkamah Persekutuan  
(29)        Suruhanjaya Pilihanraya  (SPR)

9.1.2 KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

Visi untuk kementerian ini ialah “Menjadi sebuah agensi unggul yang bertanggungjawab mengenai pengurusan kewangan dan ekonomi negara.” [8]


Objektif Utama Kementerian Kewangan Malaysia

i.              Menggubal dan melaksanakan dasar fiskal dan kewangan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara berterusan  Memperkukuhkan daya saing dan ketahanan ekonomi negara 
ii.             Mempastikan pengurusan kewangan yang berkesan dan berhemah. 
iii.            Menjamin kekayaan negara diagihkan dengan saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Bidang kuasa Kementerian Kewangan Malaysia

i.              Menggubal dan melaksanakan dasar fiskal kewangan dan ekonomi bagi mempertingkat pengagihan serta pengurusan sumber kewangan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
ii.             Menggubal dan menyediakan prosedur, prinsip dan tatacara sistem pengurusan kewangan dan perakaunan untuk dilaksanakan oleh semua Jabatan/Agensi Kerajaan.
iii.            Menyediakan belanjawan tahunan.
iv.           Memantau pelaksanaan belanjawan tahunan.
v.            Mendapatkan pinjaman bagi pihak Kerajaan dan memberi pinjaman kepada agensi-agensi Kerajaan, sektor swasta bagi projek-projek penswastaan dan kakitangan Kerajaan. 
vi.           Menubuh dan menyusun semula syarikat-syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). 
vii.          Memantau syarikat-syarikat Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan diurus dengan berkesan
viii.         Memantau pengurusan kewangan Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun.
ix.           Menggubal dan mentadbir dasar-dasar berkaitan dengan pengurusan perolehan Kerajaan. 
x.            Memberi kelulusan kepada perolehan Kerajaan yang besar nilainya dan menyertai dalam proses perolehan di agensi-agensi Kerajaan lain.
xi.           Menggubal dasar-dasar dan menguruskan pinjaman perumahan bagi kakitangan sektor awam. 
xii.          Menerima, memantau aduan-aduan terhadap aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Perbendaharaan dan menyelesaikannya.


Agensi-agensi Utama dalam Kementerian Kewangan
Terdapat beberapa buah agensi  yang utama dalam kementerian ini iaitu:[9]
i.              Perbendaharaan Malaysia
ii.             Lembaga Hasil Dalam Negeri
iii.            Bank Negara Malaysia
iv.           Bank Simpanan Nasional
v.            Jabatan Akauntan Negara
vi.           Kastam Diraja
vii.          Kumpulan Wang Simpanan Pekerja


9.1.3 KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah diamanatkan untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Malaysia khususnya dalam pembangunan Belia dan Sukan. Sejarah penubuhan Kementerian ini bermula dengan tertubuhnya Bahagian Kebudayaan di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat dalam tahun 1953.
Pada tahun 1964, Bahagian Kebudayaan dipindahkan di bawah Kementerian Penerangan. Dengan Pemindahan ini juga dua lagi bahagian telah diwujudkan iaitu Bahagian Sukan dan Bahagian Belia.
Memandangkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh Bahagian Belia dan Bahagian Kebudayaan dalam konteks pembangunan, kerajaan telah menggabungkan tiga aspek penting iaitu Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk dikendalikan di bawah satu Kementerian yang dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1972.
Pada 20 Mei 1987, Kementerian ini sekali lagi berubah, di mana Bahagian Kebudayaan telah dipindahkan pula di bawah portfolio Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Dengan pemindahan ini, Kementerian kini dikenali sebagai Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. [10]

Objektif Kementerian Belia dan Sukan(KBS)
Objektif KBS ialah untuk membina masyarakat belia yang bersatu padu, berdisiplin, berakhlak tinggi dan bergerak maju dalam bidang sosial dan ekonomi serta untuk membina masyarakat yang sihat, cergas dan berbudaya sukan ke arah perpaduan dan pembangunan negara.

Peranan Utama Kementerian Belia Dan Sukan

Terdapat beberapa peranan utama yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan iaitu:

1.            Melengkapkan belia-belia dengan pelbagai latihan dan kemahiran vokasional serta sifat-sifat keusahawanan supaya mereka berdikari melalui kursus-kursus formal;
2.            Memberi penekanan kepada perubahan sikap bagi membentuk belia yang bertanggungjawab, dinamik , berdaya maju dan mempunyai daya kepimpinan yang baik melalui berbagai program yang diadakan di peringkat daerah, negeri, kebangsaaan dan antarabangsa;
3.            Meramaikan bilangan rakyat ke arah peningkatan kualiti hidup melalui strategi “Sukan Untuk Semua ” dan pengenalan kepada konsep “Malaysia Cergas ”; dan
4.            Meningkatkan pencapaian sukan ke arah kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa





Agensi-agensi Utama Dalam Kementerian Belia dan sukan

Terdapat beberapa agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan ini iaitu:[11]

i.              Jabatan-jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Perlis, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
ii.             Institut Kemahiran Belia Negara Dusun Tua, Selangor
iii.            Majlis Sukan Negara
iv.           Kompleks Sukan Negara
v.            Rakan Muda


9.1.4   KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (secara ringkasnya KKLW) adalah merupakan sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap kemajuan luar bandar di bawah kerajaan Malaysia.
Misi
Memajukan desa secara menyeluruh dan berkesan berteraskan nilai-nilai murni, daya tahan dan daya pasaran selaras dengan wawasan negara.
Objektif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
1.             Peningkatan Pendapatan Penduduk Desa Ke Tahap 80% Daripada Penduduk Bandar Menjelang 2020. 
2.             Mewujudkan Desa Berkualiti (Desa Q) Menjelang 2016.
3.             Mewujudkan 30% Penduduk Desa Terlibat Dalam Aktiviti Keusahawanan Menjelang 2020. 
4.             Mewujudkan masyarakat berilmu dan berkemahiran. 
5.             Mempercepatkan Pelaksanaan Konsep Dan Program Pembangunan Bersepadu. 
6.             Meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa. 
7.             Mencapai Liputan 100% Prasarana Asas, Utiliti Dan Infrastruktur Menjelang 2020. 
8.             Memastikan penduduk desa mendapat 100% manfaat Teknologi Maklumat Dan Komunikasi menjelang 2020. 
9.             Menghapuskan kemiskinan tegar, dan mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% menjelang tahun 2010.  
10.          Meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan di luar bandar.  
11.          Meningkatkan pembangunan jalan di kawasan luar bandar dan lain-lain kawasan kurang membangun.  
12.          Meningkatkan liputan bekalan elektrik bagi kawasan luar bandar di Sabah kepada 81%, dan di Sarawak kepada 90%, menjelang tahun 2010.  
13.          Meningkatkan liputan bekalan air bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kepada 70% menjelang tahun 2010.  
14.          Memastikan semua kawasan 30 km radius dari pusat bandar/pekan mendapat liputan infrastruktur 100% menjelang 2016.  
15.          Meneruskan usaha merapatkan jurang digital dan meningkatkan penembusan perkhidmatan internet jalur lebar (broadband) melalui Pelan Jalur Lebar Negara. 
16.          Memastikan pengagihan seimbang peluang-peluang bermutu yang dapat menjana pendapatan, pekerjaan, perniagaan dan pendidikan ke seluruh pelosok negara[12].

Peranan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
1.            Meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui usaha pembangunan infrastuktur, pembangunan pertanian, penggalakan industri luar bandar, pembangunan pusat pertumbuhan luar bandar dan pembangunan wilayah-wilayah yang mundur.
2.            Merancang, melaksana dan mengesan dasar pembangunan tanah termasuk usaha-usaha penempatan semula, penyatuan, pemulihan dan penanaman semula.
3.            Menyediakan perkhidmatan pembangunan masyarakat dalam usaha mewujudkan kesedaran dan membawa perubahan sikap dikalangan penduduk luar bandar untuk berkecimpung secara aktif dalam usaha-usaha pembangunan bagi membina masyarakat progresif.
4.            Memoden dan menyusun semula kampung-kampung tradisional menjadi pusa-pusat pertumbuhan baru baru.
5.            Mengurangkan kemiskinan rakyat terutama di luar bandar melalui Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Agensi-agensi Utama Dalam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
1.    MARA
2.    KEMAS
3.    JHEOA
4.    INFRA
5.    RISDA
6.    FELCRA
7.    KEDA
8.    KEJORA
9.    KETENGAH
10.  KESEDAR



9.1.5   KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

Kementerian Pengajian Tinggi mula ditubuhkan pada 27 Mac 2004, dan ibu pejabatnya di Parcel E, Pusat Perbadanan Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Visi bagi kementerian ini ialah menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi menjelang tahun 2020. Disamping itu, misi kementerian ini juga ialah membangun dan mewujudkan persekitaran pengajian tinggi yang menggalakkan ke arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak mulia untuk keperluan negara dan antarabangsa. 
Agensi Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia terdiri daripada dua jabatan dan agensi. Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ialah Jabatan Pengurusan IPT (JPIPT) dan Jabatan Pengurusan Politeknik & Kolej Komuniti . JPIPT pula terdiri dari dua sektor pengurusan iaitu Sektor Pengurusan IPTA & Sektor Pengurusan IPTS. Sementara agensi-agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ialah MQA, PTPTN,Yayasan TAR dan 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu [13]:
1.             Universiti Malaya (UM)
2.             Universiti Sains Malaysia (USM)
3.             Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
4.             Universiti Putra Malaysia (UPM)
5.             Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
6.             Universiti Utara Malaysia (UUM)
7.             Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
8.             Universiti Malaysia Sabah (UMS)
9.             Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
10.          Universiti Teknologi MARA (UiTM)
11.          Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
12.          Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
13.          Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
14.          Universiti Malaysia Pahang (UMP)
15.          Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
16.          Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
17.          Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
18.          Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
19.          Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
20.          Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)







Objektif Utama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Kementerian Pengajian Tinggi ini mempunyai 10 objektif yang utama, iaitu:[14]
1.             Memastikan supaya sekurang-kurangnya 2 universiti negara disenaraikan sebagai antara 200 universiti terbaik di dunia dan salah sebuah universiti berkenaan disenaraikan di kalangan 50 universiti terbaik dunia.
2.             Membangunkan sekurang-kurangnya 10 pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari segi hasil penyelidikan, hakcipta, penerbitan, kerjasama penyelidikan dan pengkomersilan hasil penyelidikan.
3.             Memastikan sekurang-kurangnya 75% pensyarah institusi pengajian tinggi awam mempunyai kelayakan ijazah Doktor Falsafah atau setaraf dengannya dan 30% pensyarah politeknik dan kolej komuniti mempunyai kelayakan ijazah Sarjana, Doktor Falsafah atau setaraf denganya.
4.             Menghasilkan graduan-graduan yang kompeten untuk memenuhi keperluan guna tenaga negara dan antarabangsa dengan sasaran 75% graduan mendapat pekerjaan dalam bidang relevan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
5.             Menggalakkan pengantarabangsaan pengajian tinggi negara dengan menarik pelajar-pelajar dari luar negara bersamaan dengan 10% dari keseluruhan jumlah pelajar pengajian tinggi di peringkat diploma, ijazah dan lepasan ijazah
6.             Mempertingkatkan kohort (17-23 tahun) yang mempunyai akses pengajian tinggi kepada 40% dan memperluaskan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi semua bentuk pengajian tinggi yang konvensional dan bukan konvensional
7.             Memastikan terdapat peningkatan secara berterusan dari sumber-sumber lain dalam pembiayaan universiti awam dengan nisbah 30% ditanggung oleh universiti dan 70% oleh kerajaan.
8.             Menyediakan kemudahan prasarana pengajian tinggi yang mencukupi, setanding dengan amalan yang terbaik digunakan di peringkat antarabangsa
9.             Menyediakan kemudahan pembiayaan untuk pelajar yang berpotensi dan layak mendapat akses kepada pengajian tinggi.
10.          Meningkatkan jalinan hubungan strategik diantara institusi pengajian tinggi tempatan dengan institusi pengajian tinggi luar negara, serta institusi penyelidikan ternama dalam dan luar negara dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan.

Bidang Kuasa Kementerian Pengajian Tinggi
Antara bidang kuasa kementerian ini ialah:
i.              Menggubal dan melaksanakan dasar-dasar berkaitan dengan pengajian tinggi.[15]
ii.             Mengawal dan mengawasi institusi-institusi pengajian tinggi awam (PTA), institusi-institusi pengajian tinggi swasta (PTS) dan kolej universiti
Kesimpulan
Dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan bertanggungjawab memberi kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. Oleh itu, kementerian sebagai jentera pentadbiran kerajaan mempunyai peranan yang besar menggubal dasar atau program serta memastikan perlaksanaannya bagi memenuhi kepentingan dan kehendak masyarakat.


RUJUKAN

6.              Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2004), Malaysia Kita, Selangor: ILBS.

7.              http://www.pmo.gov.my/

8.              Ranjit Singh Malhi (Dr) (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Kuala Lumpur: TQM Consultants Sdn. Bhd.


10.           http://ms.wikipedia.org/wiki/






[1] Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2004), Malaysia Kita, Selangor: ILBS, hlm. 218.
[2] Ibid.
[3] Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia (2004), Malaysia Kita, Selangor: ILBS, hlm. 218.
[4] http://ms.wikipedia.org/wiki/
[5] Dr. Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Kula Lumpur: TQM Consultants Sdn. Bhd., hlm. 65.
[6] http://www.pmo.gov.my/
[7] http://www.pmo.gov.my/
[8] http://www.pmo.gov.my/
[9] Dr. Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Kula Lumpur: TQM Consultants Sdn. Bhd., hlm. 59.
[10] http://www.pmo.gov.my/
[11] Dr. Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Kula Lumpur: TQM Consultants Sdn. Bhd., hlm. 61.
[12] http://www2.rurallink.gov.my/
[13] http://ms.wikipedia.org/wiki/
[14] Ibid
[15] Dr. Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia, Kula Lumpur: TQM Consultants Sdn. Bhd., hlm. 63.

No comments:

Post a Comment