Friday, 19 September 2014

BAB 10: KERAJAAN TEMPATAN

PENGENALAN

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diwujudkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Antara tujuan ianya ditubuhkan ialah untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan-kawasan yang didiami oleh mereka.

Terdapat beberapa jenis kerajaan tempatan yang ada di Malaysia di mana setiap satunya mempunyai fungsi, tugas atau bidang kuasa yang berbeza antara satu dengan yang lain.


HASIL PEMBELAJARAN

1.            Menghuraikan secara ringkas fungsi-fungsi kerajaan tempatan.
2.            Menyenaraikan 3 jenis komponen di dalam kerajaan Tempatan.
3.            Membandingbezakan bidang kuasa Kerajaan Tempatan.











Pendahuluan

Menurut Malcolm W.Norris (1989), kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia merujuk kepada kerajaan di kawasan bandar, luar bandar atau gabungan kedua-dua kawasan ini dan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri[1]. Pada asasnya, penubuhan kerajaan tempatan bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan mengambil bahagian dalam pentadbiran kawasan mereka.[2] Langkah ini bertujuan bagi memastikan segala keputusan dapat dibuat dengan cepat dan selaras dengan kehendak penduduk tempatan.

Mengikut Perkara 4, Senarai Kedua, Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tempatan yang di luar Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing. Sungguhpun kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi pentadbirannya berada di bawah kawalan kerajaan persekutuan menerusi Bahagian Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kerajaan tempatan berfungsi untuk memberi perkhidmatan perbandaran di kawasan-kawasan yang ditetapkan seperti penjagaan kebersihan am, memungut sampah, kesihatan am, menyediakan sistem tandas dan saluran najis. Badan yang menyediakan perkhidmatan ini dikenali sebagai penguasa tempatan.

Kerajaan tempatan adalah satu unit yang sah yang mempunyai kuasa untuk mendakwa dan didakwa, membuat kontrak, memiliki harta, mengutip cukai dan sewa, menikmati autonomi kewangan serta membuat undang-undang kecil (by-laws).[3]




















10.1    JENIS-JENIS KERAJAAN TEMPATAN
JENIS KERAJAAN TEMPATAN
KRITERIA
CONTOH


Dewan Bandaraya / Majlis Bandaraya

  • Pusat pentadbiran sesebuah negeri
  • Penduduknya melebihi 1 juta orang
  • Hasil pendapatan tahunan melebihi RM20 juta
  • Mempunyai pusat perniagaan dan perindustrian
  • Mempunyai pusat pengajian tinggi seperti universiti dan maktab

·   DBKL
·   Majlis Bandaraya Ipoh
·   Majlis Bandaraya Johor Bharu
·   Majlis Bandaraya Kuching Selatan


Majlis Perbandaran

  • Pusat pentadbiran sesebuah daerah
  • Jumlah penduduk melebihi 100 000 orang
  • Hasil pendapatan tahunan melebihi RM5 juta
  • Mempunyai pusat pentadbiran yang tersusun dan teratur
  • Kehendak penduduk adalah lebih tertumpu kepada perkhidmatan bandaran berbanding dengan projek-projek prasarana

·   Majlis Perbandaran Seremban
·                     Majlis Perbandaran Taiping
·   MPPJ
·   Majlis Perbandaran Kota Setar


Majlis Daerah

  • Sebuah pekan yang biasanya terletak diluar Bandar
  • Jumlah penduduknya kurang daripada 100 000 orang
  • Hasil pendapatan tahunan yang kurang daripada RM5 juta
  • Kemudahan sistem perhubungan biasanya tidak begitu baik
  • Memerlukan lebih banyak projek prasarana berbanding dengan perkhidmatan bandaran[4]


·   Majlis Daerah Tapah
·   Majlis Daerah Sabak Bernam

10.2    FUNGSI  KERAJAAN TEMPATAN

Terdapat dua prinsip utama yang menetapkan fungsi penguasa tempatan iaitu prinsip ultra-vires dan general competence.

Prinsip ultra-vires menetapkan bahawa penguasa tempatan hanya berfungsi mengikut tugas dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh undang-undang. Berasaskan prinsip ini, penguasa tempatan di Malaysia berfungsi berpandukan bidang kuasa dan tugas yang disenaraikan  oleh undang-undang.

Prinsip general competence memberi kuasa kepada penguasa tempatan menjalankan sebarang kegiatan dengan syarat penguasa tempatan itu mampu membiayai kegiatan tersebut. Prinsip ini memberi penguasa tempatan kuasa yang agak luas.[5] Pada umumnya, fungsi utama penguasa tempatan di Malaysia adalah seperti berikut:

i.              Mengawal pembangunan tanah  dan bangunan di dalam kawasan pentadbiran masing-masing
ii.             Memberikan perkhidmatan sanitari dan pembersihan seperti mengutip sampah, mencuci longkang dan memotong rumput
iii.            Mendirikan klinik dan dispensari awam dengan menetapkan bayaran bagi rawatan
iv.           Menjaga dan mengawal kesihatan awam
v.            Menyediakan perumahan awam
vi.           Membina dan menyenggara kemudahan rekreasi seperti taman awam, padang permainan, kolam renang dan gynamsium
vii.          Mengurus pasar dan gerai-gerai
viii.         Menyenggara dan membaiki jalan-jalan awam
ix.           Membina betung-betung awam
x.            Membina dan menyenggara parit dan alur air[6]


10.3    STRUKTUR ORGANISASI KERAJAAN TEMPATAN

Biasanya mesyuarat Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah diadakan dalam sebulan sekali. Keahlian Kerajaan Tempatan terdiri daripada mereka yang dilantik daripada kalangan:

i.              Ahli-ahli politik
ii.             Ketua-ketua jabatan teknikal di peringkat daerah[7]

Sesebuah Kerajaan Tempatan diketuai oleh Datuk Bandar / Yang Dipertua Majlis / Pegawai Daerah. Ahli-ahli Majlis dilantik bagi tempoh 3 tahun oleh Kerajaan Negeri.
Keputusan melantik ahli-ahli Majlis semula selepas tamat tempoh tertakluk kepada Kerajaan Negeri.







ORGANISASI
CIRI-CIRI

Datuk Bandar / Yang Dipertua Majlis / Pegawai Daerah

  • Gelaran ‘Datuk Bandar’ untuk dewan Bandar raya.
  • Jawatan ini dilantik oleh Kerajaan Negeri dan boleh disandang oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri
  • Di Wilayah Persekutuan, jawatan ini dilantik oleh menteri bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan.
  • Tugas utamanya adalah mempengerusikan mesyuarat dan memanggil mesyuarat


Setiausaha

  • Merupakan pegawai utama yang memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Tempatan


Pegawai-pegawai

  • Terbahagi kepada 2 kumpulan:
(a) Profesional-Pegawai Teknikal
(b) Pentadbir-jalankan pentadbiran
  • Terdiri daripada 8-24 orang


Ahli-ahli Majlis


  • Tempoh perkhidmatan selama 3 tahun[8]



Ahli-ahli Majlis Penguasa tempatan dilantik berdasarkan beberapa ciri tertentu iaitu:

i.              Orang yang bermastautin di kawasan penguasa tempatan itu sendiri
ii.             Mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam urusan kerajaan tempatan.
iii.            Berasal daripada sesuatu bidang pekerjaan, perdagangan dan perindustrian.
iv.           Berkemampuan untuk mewakili semua kaum di kawasan penguasa tempatan itu.

Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 8 jawatankuasa bagi setiap penguasa tempatan. Antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Keindahan dan Kebersihan, Bandar, Kewangan, Perlesenan, Lalulintas dan Perancangan. Jawatankuasa Penguasa Tempatan mempunyai 3 fungsi yang utama iaitu:

i.              Menyedia dan merancang pembangunan
ii.             Membincang isu dan masalah berkaitan bidang tugas penguasa tempatan serta membuat keputusan dan cadangan  
iii.            Menyediakan kertas kerja tentang kegiatan penguasa tempatan bagi jangka masa panjang untuk pertimbangan dan kelulusan Majlis Penguasa Tempatan.

Pegawai pentadbir yang utama bagi sesebuah Penguasa Tempatan ialah setiausaha yang bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran. Beliau dibantu oleh kakitangan semua kumpulan yang dilantik sendiri sendiri oleh Penguasa Tempatan.[9]


10.4    BIDANG TUGAS KERAJAAN TEMPATAN

Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976, bermakna semua penguasa tempatan telah disusun semula dan mempunyai kuasa-kuasa tertentu sahaja. Kuasa yang utama dan terpenting adalah seperti berikut:

i.          Kuasa untuk mengadakan undang-undang kecil.
ii.         Kuasa mengutip cukai, kadar sewa dan lain-lain.
iii.        Kuasa untuk mengadakan kumpulan wang Pihak Berkuasa Tempatan yang terletak dalam kawalan pihak itu sendiri. Ini bermakna pihak tersebut mempunyai autonomi kewangan.[10]

Kuasa-kuasa tersebut terletak kepada Pihak Berkuasa Tempatan di bawah 3 buah akta iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan serta dalam Enakmen Negeri[11] yang di gunakan.


















Akta Kerajaan Tempatan 1976

Perkara
Bidang Tugas
A.Tempat-tempat Awam
  • Tempat-tempat awam yang di maksudkan ialah mana-mana lapangan terbuka, tempat meletak kereta, kebun bunga, taman rekreasi sama ada terkepung atau tidak, yang dikhaskan atau diuntukkan bagi kegunaan orang ramai atau yang terbuka kepada orang ramai pada bila-bila masa.
  • Mengawal tempat-tempat awam.
  • Mengadakan tempat-tempat awam yang baru dan membesarkannya.
  • Menutup buat sementara waktu tempat-tempat awam.
  • Kuasa untuk mendirikan bangunan-bangunan awam di tempat-tempat terbuka.
  • Menamakan tempat-tempat awam, sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.
  • Membina, mengadakan atau mengawal taman-taman awam, padang-padang permainan, kolam renang, stadium, akuarium dan gimnasium.
  • Mendirikan perpustakaan, balai-balai seni lukis dan muzium awam.
  • Mendirikan tugu-tugu awam.
  • Mengadakan pasukan pancaragam.
B. Kebersihan dan Pengindahan
  • Kebersihan pasar, kedai makan dan minuman, penjaja gerai-gerai makanan dan minuman.
  • Menanam pokok-pokok di tempat yang sesuai.
C. Perusahaan dan Perdagangan
  • Membenarkan penguasa-penguasa tempatan untuk berkecimpung dalam bidang perusahaan dan perdagangan yang boleh memberi keuntungan kepada penguasa tempatan.
D. Pengangkutan
  • Penguasa tempatan dibenarkan untuk mengadakan atau menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam dalam atau di luar kawasan mereka.
E. Pembekalan Elektrik
  • Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta Elektrik 1949, penguasa tempatan dibolehkan untuk menjalankan kerja-kerja untuk membekalkan kepada penduduknya lampu, haba dan kuasa serta elektrik.
F. Membuat Kontrak
  • Penguasa tempatan dibenarkan untuk membuat kontrak dengan penguasa tempatan lain atau mana-mana orang yang menjalankan perusahaan yang dibenarkan.[12]


Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976

Pihak penguasa tempatan mempunyai tugas seperti mengatur, mengawal  dan merancang kemajuan penggunaan semua tanah dan bangunan dalam kawasan masing-masing. Mengusaha, membantu dan menggalakkan pemungutan, penyenggaraan, buletin dan monograf dan lain-lain siaran yang berhubung dengan perancangan bandar dan desa dan metodologinya.
Melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan terhadapnya dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa negeri atau Jawatankuasa Perancangan Negeri.[13]


Akta Jalan, Parit Dan Bangunan

Perkara
Bidang Tugas
A. Jalan
  • Menyelenggara dan memperbaiki jalan-jalan awam.
  • Membina, membuat dan memperelokkan jalan
  • Meminta pihak berkuasa negeri supaya mengambil tanah yang berdekatan dengan jalan untuk tujuan menyusun atur, melebar, membuka, membesar dan memperelokkan jalan atau membuat jalan-jalan baru.
  • Memproses permohonan yang dikemukakan oleh pihak tertentu untuk membuat jalan-jalan baru.
  • Mengisytiharkan jalan awam, pesendirian sebagai jalan awam.
  • Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan boleh menetapkan nama atau mengubah nama-nama jalan.
  • Menentukan nombor-nombor rumah.
  • Membuat kontrak dengan mana-mana pemunya atau penduduk untuk menyapu atau membersihkan jalan.
B. Pembentungan dan Perparitan
  • Membuat betung-betung awam.
  • Membina dan menyenggara alur air.
  • Membaiki, mengubah dan menutup atau membinasakan betung-betung.
  • Mengarahkan tuan punya rumah atau bangunan mengadakan ruang tandas, ruang sink, ruang bilik mandi dan sebagainya yang mencukupi.
  • Mengambil alih pengawalan dan sebagainya tangki-tangki najis persendirian dan loji-loji pembersihan.
  • Mengisytiharkan pembetungan persendirian sebagai pembetungan awam.
C.Lorong Belakang
  • Memastikan setiap tapak bangunan mempunyai tanah untuk tujuan mengadakan lorong belakang.
  • Menyusun atur dan membina lorong belakang dan menuntut kos perbelanjaan daripada tuan punya bangunan atau tanah atau pemaju.
  • Mengisytiharkan lorong belakang sebagai jalan awam.
D. Bangunan
  • Permohonan untuk mendirikan bangunan hendaklah di kemukakan kepada pihak berkuasa tempatan.
  • Memberi arahan-arahan yang tertentu kepada orang yang memohon untuk mendirikan bangunan.
  • Meruntuh atau memindahkan bangunan yang tidak dibenarkan.
  • Memindahkan sekatan, petak, galeri, loteng, bumbung, siling atau binaan lain yang telah di buat tanpa kebenaran bertulis.
  • Menutup dan menjamin keselamatan bangunan yang di tinggalkan.[14]
BIDANG KUASA LAIN

Antara bidang kuasa lain di bawah Kerajaan Tempatan ialah:

i.              Penguasa tempatan boleh mengarahkan supaya dijalankan pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
ii.            Penguasa atau pegawai penguasa tempatan yang diberikan kuasa secara bertulis boleh menangkap seseorang yang melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.[15]


Kesimpulan

Kerajaan tempatan timbul akibat wujudnya kesedaran bahawa, semakin tinggi aktiviti kerajaan, maka semakin sukar untuk merancang dan mentadbir aktiviti itu daripada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri ataupun wilayah. Bagi mendapatkan keberkesanan, pentadbiran awam moden tidak sahaja terletak pada dasar dan cara di bahagian pusat semata-mata malah bagaimana dilaksanakan hingga ke peringkat bawahan seperti wilayah, daerah dan juga kampung.

Oleh itu, perlu diadakan satu pentadbiran kerajaan yang meluas bagi memastikan kejayaan sesuatu rancangan. Jadi, kerajaan tempatan akan mewakili kehendak rakyat tempatan dalam mentadbir hal-ehwal tempatan yang bertujuan untuk meninggikan penyertaan rakyat dalam politik bagi kepentingan rakyat tempatan.



RUJUKAN


1.            Ahmad Atory Hussain (2002), Kerajaan Tempatan Teori Dan Peranan Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2.            Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan (2000), Selangor: Penerbit International Law Book Services.

3.            Ranjit Singh Malhi (2000), Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Federal Publications Sdn. Bhd.

4.            Ranjit Singh Malhi (Dr) (2005), Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, TQM Consultants Sdn. Bhd.

5.            Ruslan Zainuddin et.al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

6.            Wong Khek Seng et.al. (1999), Pengajian Am Kertas 1 & 2 STPM, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.                                         



[1] Ruslan Zainuddin et.al. (2005), Kenegaraan Malaysia, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlm. 259
[2] Wong Khek Seng et.al. (1999), Pengajian Am Kertas 1 & 2 STPM, Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlm. 135
[3] Ruslan Zainuddin et.al. (2005), hlm. 259
[4] Dr. Ranjit Singh Malhi (2005), Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, TQM Consultants Sdn. Bhd, hlm. 89-90
[5] Ruslan Zainuddin et.al (2005), hal 262-263
[6] Ranjit Singh Malhi (2000), Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Federal Publications Sdn. Bhd. Hlm. 86
[7] Wong Khek Seng et.al (2004), hlm. 95
[8] Wong Khek Seng et.al (2004), hlm. 95-96
[9] Ruslan Zainuddin et.al (2005) hlm. 265
[10] International Law Book Services (2000), Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan, Selangor: Penerbit International Law Book Services, hlm. 236.
[11] International Law Book Services (2000), hlm. 237.
[12] Ahmad Atory Hussain (2002), Kerajaan Tempatan Teori dan Peranan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 126.
[13] Ahmad Atory Hussain (2002), hlm. 127.
[14] Ahmad Atory Hussain (2002), hlm. 128.
[15] Ahmad Atory Hussain (2002), hlm. 128.